
Inovasi, Batu Asas Transformasi
- 13 November 2018
- Keselamatan

Artikel ini diadaptasi dari teks ucapan pembukaan bagi sambutan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan Tahun 2018.
Setiap tahun, Kementerian Pertahanan menganjurkan pertandingan Kumpulan Inovasi Kreatif (KIK) di peringkat Kementerian. Tahun ini sebanyak 58 kumpulan telah mengambil bahagian dalam Konvensyen KIK yang melibatkan inovasi bukan sahaja dari segi penciptaan produk, tetapi juga dari segi penambahbaikan proses.
Malangnya, kebanyakan idea-idea yang bernas sebelum ini tidak diketengahkan atas beberapa faktor termasuk kekangan kewangan, amalan sedia ada yang tidak mengadaptasi idea inovatif dan kekurangan usaha memupuk budaya pemikiran di luar kotak.
Di sini saya ingin berkongsi serba-sedikit hasrat saya terhadap kementerian ini.
Pertama, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) besar dari segi keanggotaan dan kewangan, sehubungan itu kita harus berusaha menjadi satu testpad untuk inovasi. Kita perlu menghasilkan satu persekitaran kondusif yang menghargai bakat, berusaha untuk kecemerlangan dan berani menguji idea baru. Umpamanya, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ataupun MESTECC telahpun menyatakan hasrat untuk meningkatkan kecekapan tenaga (energy efficiency) dalam negara ini. Bayangkanlah impak yang kita akan hasilkan jika kem-kem ATM sudi menjadi perintis ataupun “pioneer” dalam usaha transformasi penggunaan tenaga di pejabat-pejabat dan kem-kem kita.
Kedua, Kementah dan ATM perlu menganggap kita sendiri sebagai pemangkin perubahan (catalyst for change) kepada negara kita. Dalam bukunya yang bertajuk “The Enterpreneurial State”, Mariana Mazzucato, seorang ahi akademik Itali-Amerika, telahpun menggariskan kepentingan untuk kerajaan melabur dalam sektor R&D dan inovasi unutk membentuk dan mewujudkan pasaran baru yang membawa manfaat kepada pembangunan negara. Selalunya, kerajaan dilihat sebagai satu jentera yang birokratik, tetapi sebenarnya ia boleh dan harus mengambil risiko yang sewajarnya. Kita boleh lihat bahawa usaha inovasi dalam sektor pertahanan selalunya membawa spinoff kepada ekonomi secara keseluruhan. Contohnya, Internet, satu inovasi yang membolehkan kewujudan pelbagai teknologi hari ini, adalah hasil daripada satu program pada tahun 1960-an oleh Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA) yang merupakan satu agensi di bawah Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. Global Positioning System (GPS) juga merupakan hasil daripada satu program ketenteraan Amerika Syarikat pada 1970-an, malah SIRI yang merupakan salah satu ciri utama dalam Iphone juga adalah satu spinoff daripada project Artificial Intelligence yang dibiayai oleh DARPA.
Ketiga, jikalau kita mahu menjadi benar-benar inovatif, kita mesti menghapuskan amalan memberi projek kepada syarikat-syarikat industri pertahanan yang sekadar menjadi “posmen” ataupun ejen yang mendapat komisien melalui penjualan produk orang lain. Ini bukan saja satu isu dari segi ketelusan dan tadbir urus yang baik, tetapi juga dari segi keselamatan, iaitu kebolehan kita untuk bergantung kepada diri sendiri ataupun self reliant. Kementerian sedang menghasilkan draf Pelan Pembangunan Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan ataupun Defence, Enforcement and Security Industry Blueprint (DESIB) dan saya berharap bahawa dengan pelan ini, kita akan ada satu halatuju yang lebih jelas dalam usaha membangunkan industri pertahanan tempatan. Meskipun Malaysia mungkin telah tertinggal di belakang berbanding negara lain, namun dengan dasar yang tepat, kita mampu mencapai halatuju yang ditetapkan, satu langkah demi satu langkah.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!