Pasukan Simpanan Sukarela harus bertindak selari dengan perubahan demografi di Malaysia

Saya berbesar hati dapat bertemu mata dan berdialog panjang lebar dalam majlis makan tengahari bersama Komander-komander Askar Wataniah di Melaka hari ini, sempena Mesyuarat Sidang Komander Askar Wataniah Siri 31/2019 dipengerusikan Dato’ Hasagaya Abdullah, Timbalan Panglima Tentera Darat. Terima kasih buat tuan rumah, Panglima 3 Divisyen, Mej Jen Dato’ Mohammad bin Abdul Rahman, dan Panglima 1 Briged Brig Jen Mhd Nazri bin Abd Rahman.

Saya gembira dapat bertemu Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang berangkat hadir ke sidang yang berlangsung selama tiga hari ini.

Turut berangkat ialah Komander Rejimen 513 AW Tunku Temenggong Kedah, Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Ibni Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Komander Rejimen 512 AW Tengku Sri Temenggong Terengganu Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Populasi rakyat Malaysia bekerja, terutamanya golongan muda yang menjadi kumpulan sasaran Pasukan Simpanan, kini bertumpu di Lembah Kelang dan beberapa lagi bandar utama. Rekaletak pasukan Wataniah pada masa ini adalah berasaskan wilayah dan geografi. Kita harus memikirkan bagaimana untuk memudahkan penglibatan warga muda di bandar-bandar utama, khususnya untuk menepati jadual kerja mereka.

Wataniah juga mungkin harus memberi tumpuan kepada kualiti, dan bukan sahaja bilangan. Kita juga harus memperjelaskan tujuan dan objektif pasukan simpanan, dengan menyasarkan latihan pasukan simpanan yang berkualiti yang mampu bertempur bersama-sama anggota biasa. Unit Pakar yang menggunakan kekuatan pakar anggota awam melalui pasukan Wataniah harus dipertingkat dan dikembangkan, terutamanya dalam bidang perubatan, cyber, pertempuran urban dan sebagainya.

Sebagaimana pentingnya imbuhan kewangan, rasa bangga dan rasa berbakti kepada negara harus menjadi asas kelangsungan Pasukan Simpanan. Sayap simpanan bagi setiap perkhidmatan – Darat, Laut dan Udara; harus meneroka cara-cara untuk mempertingkat pengalaman para anggota simpanan, seperti di lapangan, di atas kapal dan sebagainya, agar mereka yang benar-benar mahu berbakti kepada negara akan berasa bangga dengan khidmat mereka, manakala mereka yang mahu menambah pengalaman dapat melihat Pasukan Simpanan sebagai sebuah organisasi pilihan utama.

Adalah penting juga untuk negara secara keseluruhan menghayati suatu kesedaran tentang keselamatan (security concsiousness) dan melihat soal keselamatan negara sebagai suatu soal yang harus diberi tumpuan. Dengan kesedaran sedemikian; para majikan dan orang ramai akan dapat memahami, menghargai serta menyokong peranan Pasukan SImpanan, yang sekaligus akan menggalakkan penyertaan yang lebih baik.

Pusat Sistem Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM)

Khamis lalu saya sempat berkunjung ke Pusat Sistem Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM). Saya disambut Pengarahnya, Kapten Ismail Othman; yang memberi taklimat tentang sistem pengurusan sumber manusia yang digunakan bagi menguruskan tenaga anggota simpanan TLDM.

Kapten Ismail dan pasukannya telah melaksanakan beberapa inisiatif yang begitu cemerlang dalam merangka dan membangunkan sistem ini. Sistem yang dibangunkan secara dalaman oleh beberapa anggota simpanan yang berkepakaran dan berdedikasi ini terdiri daripada sistem e-Learning yang dipanggil LINAR (Learning & Information for Naval Reservists). Sistem tersebut membolehkan sukarelawan berdafar untuk mempelajari kursus asas teori secara atas-talian mengikut kesesuaian masing-masing. Juga terdapat Onboard Training Program (OTP) yang membolehkan sukarelawan memilih bila dan di mana mereka ingin menghadiri latihan praktikal di pangkalan atau di atas kapal. Selain itu juga terdapat program sokongan sukarelawan (Reservist Support Program) yang mampu memadankan sukarelawan terlatih dengan pelbagai peluang pekerjaan sementara di dalam TLDM, serta sistem pengurusan pengkalan data (D-BAS) bagi memudahkan pengumupulan data dan analisis oleh pengurusan pasukan PSSTLDM.

Kesemua komponen ini saling melengkapi antara satu sama lain dan memberi fleksibiliti kepada para sukarelawan untuk merancang latihan dan waktu tugasan. Ia juga memberikan pengurusan pasukan PSSTLDM kelebihan dari segi maklumat dan kawalan ke atas unit-unit sukarelawannya di seluruh negara, membolehkan mereka menyesuaikan kemahiran tertentu kepada keperluan TLDM yang pelbagai.

Angkatan Tentera Malaysia sentiasa memerlukan mereka yang seperti Kapten Ismail serta pasukannya; yang taat setia, berdedikasi, kreatif dan proaktif!

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi