Politik gabungan adalah jalan tengah yang realistik

Sehari selepas pilihan raya kecil Tanjung Piai, seorang pakcik berketurunan Tionghua yang saya kenali sejak zaman kanak-kanak menghantar satu pesanan ringkas berbunyi, “kalau DAP terus menjadi pencacai Mahathir, DAP akan hilang segala-galanya.” Di kelompok orang Melayu pula, mesej yang diterima semuanya anti-Lim Guan Eng.

Saya mengeluh panjang. Kurang enam minggu sebelum memasuki tahun penuh bermakna, 2020; negara masih tersangkut dalam persoalan ini.

Saya mula membaca surat khabar pada tahun 1986, ketika berusia 9 tahun. Pada separuh kedua 1980-an, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad adalah sosok paling dibenci golongan bukan-Melayu ketika itu. Begitu juga Anwar Ibrahim. Apatah lagi selepas penahanan tanpa bicara secara beramai-ramai dalam Operasi Lalang pada tahun 1987.

Mood tersebut ternyata membawa kepada penolakan warga bukan-Melayu terhadap Dr Mahathir pada pilihan raya umum Oktober 1990. Pada usia yang begitu muda, saya mengayuh basikal ke ceramah-ceramah pembangkang oleh Semangat 46 dan DAP di Subang Jaya. Minda saya yang masih mentah menyangka Barisan Nasional akan tumbang. Tapi ternyata itu tidak berlaku.

Empat bulan kemudian, Perdana Menteri menyampaikan ucapan Wawasan 2020. Ucapan itu boleh disifatkan paling membawa kesan sepanjang karier politik beliau ketika itu, yang menetapkan serta membentuk semula naratif nasional sepanjang 15 tahun berikutnya, malah untuk hampir satu generasi.

Wawasan dan idea PM tentang Bangsa Malaysia, di samping idea ‘Melayu Baru’ nukilan Anwar, ditambah dengan zaman kepesatan ekonomi, menjadikan era awal 90-an itu sebagai zaman keemasan yang masih menjadi rujukan sehingga hari ini. Namun pada 1998, segalanya berubah apabila Dr Mahathir memecat Anwar daripada kerajaan dan parti UMNO.

Saya tetap bersama DAP, melawan Dr Mahathir sepanjang dekad 1990-an dan 2000-an.

Berlatarkan retorik perkauman yang terus dimainkan UMNO sejak 2005 dan perjuangan menentang gergasi BN, gabungan pembangkang yang dihidupkan semula sebagai Pakatan Rakyat (dan kemudiannya Pakatan Harapan) berjaya meraih hampir 50% undi popular, iaitu 47% pada 2008, 51% pada 2013 dan 48% pada 2018.

Ayunan sokongan bukan-Melayu antara pilihan raya 2004 dan 2008 begitu besar sekali. Namun secara konsisten selama lebih kurang sepuluh tahun, Pakatan Harapan berjaya mengekalkan tapak sokongan Melayu, mengatasi sebarang kemustahilan. Apatah lagi tahun lalu, apabila PAS tidak lagi bersama Pakatan.

Pada 2015, pembangkang menjadi lemah apabila PAS meninggalkan gabungan Pakatan Rakyat. Pada tahun itu juga, saya bersama-sama Lim Kit Siang dan sekumpulan kecil pemimpin melihat bagaimana Pakatan Harapan harus bergabung dengan mereka yang menyokong Dr Mahathir.

Pada peringkat awal, rasa tidak percaya dalam kalangan kami sendiri terhadap mantan perdana menteri itu, selain rasa tidak percaya penyokong beliau terhadap kami, serta media massa yang tidak mahu tujuan ini dicapai, menjadikan suasana menggerakkan gabungan ini sebagai sesuatu yang amat sunyi.

Kepimpinan Dr Mahathir, Kit Siang, Mohamad Sabu dan kemudiannya Anwar, berjaya mengatasi cabaran-cabaran itu.

Hakikatnya begini – kita memerlukan kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar untuk memperkukuh demokrasi setahun jagung ini. 

Kita perlu mengekalkan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum akan datang, bukan untuk diri kita tetapi demi memastikan hasil demokrasi Mei 2018 tidak akan lenyap jika  Najib serta konco-konconya, bersekali dengan rejim yang korup dan autoritarian, kembali memerintah. 

Memandangkan kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar telah sepakat untuk memastikan penggantian kuasa itu berlaku; tiba masanya untuk kembali menegaskan bahawa kerajaan ini terbentuk kerana wujudnya perdamaian antara Dr Mahathir dan Anwar.

Kita harus menerima hakikat bahawa ini adalah kerajaan Mahathir-Anwar, sebagaimana ia juga adalah kerajaan Anwar-Mahathir.

Tujuan kerajaan ini mudah dan jelas: melaksanakan penambahbaikan, memperkukuh demokrasi, dan memperkuatkan jalan tengah Malaysia yang seterusnya akan menghalang pihak yang menggunakan sentimen perkauman untuk menghancurkan negara.

Saya tidak menganggap diri saya cukup tua tetapi saya pun bukannya muda sangat.                                          

Namun saya telah mendedikasikan 20 tahun kehidupan saya di politik baris hadapan sejak menyertai DAP pada Disember 1999. Cakap-cakap perkauman sepanjang beberapa bulan lalu ini memang menyedihkan.

Ramai orang bukan-Melayu menyalahkan Dr Mahathir. Ada yang menghantar mesej marah-marah. Saya faham perasaan mereka.

Hakikatnya ialah, kita harus bekerja dalam satu gabungan, dan kita harus melakukan yang terbaik untuk memastikan gabungan ini kekal berada di tengah (dan menjauhi sebarang ekstremisme).

Memang tidak mudah berada dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya. Inilah sebabnya kenapa kita mesti kekal di tengah, dan memperluaskan jalan tengah itu.

Masih ada masa untuk kerajaan ini melaksanakan penambahbaikan.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi