Malaysia perlu kembali fokus mencipta peluang kerja

Hari Buruh 2020 bukan sekadar satu lagi hari cuti seperti yang kita sering fikirkan setiap 1 Mei sepanjang beberapa dekad lampau. Sambil ekonomi dunia dilanda krisis akibat wabak Covid-19, wujud kesedaran bahawa kelangsungan hidup kita semua adalah bertunjangkan pekerjaan.

Sejak 30 tahun berakhirnya Perang Dingin, seluruh dunia termasuk Malaysia telah mengabaikan keutamaan mencipta peluang pekerjaan dalam merancang ekonomi. Seolah-olah kejatuhan organisasi ‘kiri’ telah melemahkan keberadaan kesatuan sekerja sehinggakan usaha mencipta peluang pekerjaan sudah tidak menjadi urusan kerajaan.

Dua dekad sebelum era 90-an, pada awal 1970-an, semasa Tun Razak dan Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri di Malaysia dan Singapura, dua kebimbangan utama menjadi tumpuan para pemimpin pada waktu itu: 

Pertama, mereka bimbang tentang Perang Dingin dan kesan-kesan geopolitiknya, selain ancaman komunisme dalam negeri. Kerajaan-kerajaan Asia Tenggara khususnya, bimbang tentang amarah militan dalam kalangan kumpulan berhaluan kiri di negara masing-masing. China masih gigih mahu mengeksport idea revolusi di bawah Mao Zedong, manakala Perang Vietnam adalah proksi Perang Dingin di rantau ini.

Kedua, pengangguran telah menjadi masalah besar buat kerajaan-kerajaan pasca-penjajah sejak separuh kedua dekad 60-an. Ketidaktentuan politik pada era 60-an bertambah teruk dengan dewasanya generasi ‘baby boomer’ pasca perang yang giat mencari pekerjaan. Ketika Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, kadar pengangguran pada ketika itu ialah 14%, dan apabila Tun Lim Chong Eu memenangi pilihan raya di Pulau Pinang pada 1969, kadar pengangguran di sana adalah sebanyak 17%.

Ancaman komunis dan permintaan untuk pekerjaan saling berhubung kait. Kurangnya peluang pekerjaan meningkatkan ancaman perselisihan dalam masyarakat. Sebaliknya, peluang pekerjaan yang lebih banyak dan lebih baik menjamin kestabilan sesebuah kerajaan.

Bersekali dengan Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan, tekanan untuk mencipta peluang pekerjaan di Malaysia dan Singapura secara kebetulan berdepan gelombang penyumberan-luar (outsourcing) daripada Negara Dunia Pertama; terutamanya Amerika Syarikat, yang bermula pada dekad 60-an. Ini ekoran kenaikan kos buruh serta meningkatnya jangkaan ‘baby boomer’ di Barat untuk mendapat gaji yang lebih baik serta pekerjaan yang lebih sofistikated.

Sehingga satu tahap, usaha penyumberanluar awal menyaksikan bagaimana pekerjaan asas dan tidak sofistikated berpindah keluar dari Amerika Syarikat dan Eropah Barat ke Asia Timur dan Asia Tenggara. Jutaan pekerjaan dalam bidang pembuatan dengan bayaran lumayan dicipta di rantau tersebut; dan kedua-dua pihak beroleh manfaat daripadanya.

Negara-negara Asia Timur dan Asia Tenggara mampu menukar lebihan tenaga buruh menjadi dividen demografik melalui pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk untuk menghasilkan barangan untuk dieksport semula ke Amerika Syarikat dan Eropah Barat.

Fenomena ini digambarkan sebagai model ‘flying geese’ – dengan Jepun di terajunya, diikuti secara tersusun oleh ekonomi Asia Timur dan Asia Tenggara yang menjalankan penghasilan besar-besaran untuk negara Barat.

Menjelang era 80-an, ekonomi Asia Timur, terutamanya Jepun, menjadi penghasil yang lebih cekap berbanding Amerika Syarikat, yang menyebabkan Amerika menekan kenaikan mata wang Yen Jepun melalui Perjanjian Plaza 1985.

Sambil nilai Yen meningkat, ekonomi Jepun menjadi begitu makmur sehingga mewujudkan gelembung hartanah memandangkan penghasilan perindustrian menjadi begitu mahal. Syarikat-syarikat dari Jepun, Korea dan Taiwan berpusu-pusu melabur di Asia Tenggara pada penghujung 80-an dan Malaysia mendapat manfaat yang besar ekoran gelombang pelaburan asing dari Asia itu.

Seorang ahli perniagaan di Johor pernah berkongsi pengalamannya ketika itu dengan saya. Beliau baru saja tamat pengajian di sebuah universiti di Taiwan dalam bidang kejuruteraan awam pada tahun 1989 dan bekerja di Selatan China untuk membina kilang bagi sebuah syarikat Taiwan. Beliau hilang pekerjaan selepas tragedi 4 Jun 1989 apabila syarikat-syarikat Taiwan meninggalkan China. Tetapi dalam masa beberapa tahun sahaja selepas pulang ke Malaysia, beliau berhasil mendapatkan pulangan satu juta pertamanya sebagai kontraktor kilang-kilang Taiwan di Johor.

Itu merupakan gelombang kedua FDI besar ke Malaysia, yang mencipta banyak peluang pekerjaan dan memajukan ekonomi jutaan rakyat.

Pada waktu yang sama, berakhirnya Perang Dingin dengan tumbangnya Tembok Berlin pada 1989 telah mencipta banyak ekonomi penghasilan di Eropah Timur, yang kemudiannya bersaing untuk pelaburan. Gelombang kemasukan warga Eropah Timur ke Eropah Barat sepanjang dekad 90-an juga merendahkan kos buruh dan meringankan masalah kekurangan pekerja di sana.

Dan pada tahun 2001, China menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), ketika Amerika Syarikat sedang kebingungan dengan tragedi 11 September. Dengan menganggotai WTO, kapasiti penghasilan China dapat menewaskan semua negara lain. Ia merupakan satu game-changer yang amat besar.

Apabila China menjadi kilang dunia, tamatlah pekerjaan bidang pembuatan bergaji tinggi di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia.

Di Amerika Syarikat, pihak Bank Pusat (Federal Reserve) bertindak balas kepada kejatuhan dot-com pada tahun 2001 dengan menawarkan pinjaman murah (mengurangkan faedah daripada 6% ke 1%), mengakibatkan gelembung hartanah yang ‘pecah’ pada tahun 2007 dan 2008.

Bagi menangani Krisis Kewangan Global pada tahun 2008, dorongan kewangan tidak konvensional secara besar-besaran menghasilkan lebih banyak pinjaman murah dalam sistem kewangan, menjana ledakan hartanah dari London ke Singapura hingga ke Malaysia pada awal 2010-an..

Berakhirnya ancaman komunis pada dekad 90-an telah menjana idea-idea ekonomi neoliberal yang disebarkan sejak era Reagan dan Thatcher, dan perekonomian pun membelok menuju permodalan. Peluang pekerjaan bukan lagi kebimbangan ekonomi utama bagi kerajaan, bahkan ahli-ahli ekonomi.

Fokus utama perbendaharaan dan bank-bank pusat adalah soal kadar pertumbuhan, kadar faedah dan penilaian agensi penarafan.

Ringkasnya, di luar China, kesan terkumpulnya ialah sepanjang lebih 20 tahun lalu, di Amerika Syarikat, Eropah Barat, Asia Timur (selain China) dan Asia Tenggara; kebolehan bergerak ke atas terhenti, jurang ketidaksaksamaan semakin melebar, lebih banyak pergerakan modal mencetuskan kelemahan kewangan, lebih banyak penyumberan-luar mengakibatkan kehilangan pekerjaan pembuatan bergaji tinggi, dan pergerakan buruh kelas rendah di seluruh dunia merendahkan skala gaji di banyak negara.

Di luar China, bidang perkhidmatan menjadi pembekal utama pekerjaan. Kebanyakannya adalah pekerjaan sementara yang menawarkan jaminan dan perlindungan minimum. Ekonomi gig hanyalah nama yang elok sedikit untuk sektor tidak formal.

Secara luaran, ekonomi Singapura dan Malaysia kelihatan jauh berbeza. Tetapi kedua-duanya menjalankan perkara yang sama, barangkali pada tahap yang tidak serupa. Singapura menggaji warga Malaysia dan warga negara lain sebagai buruh murah; Malaysia menggaji warga Indonesia dan Bangladesh sebagai buruh murah; Thailand menggaji pekerja Myanmar sebagai buruh murah, dan begitulah seterusnya.

Kini hadir Covid-19. Wabak ini adalah game-changer baharu. Ia memaksa kita memikirkan isu-isu struktur berikut:

Pertama, kelas pekerja Amerika Syarikat yang kini lebih miskin tidak mampu berbelanja banyak. Amerika Syarikat kehilangan kelas pertengahannya dalam Krisis Kewangan Global lebih sepuluh tahun lalu. Oleh yang demikian, kita tidak boleh melihat Amerika Syarikat sebagai destinasi akhir eksport negara, sepertimana halnya sepuluh tahun lalu. Idea bahawa Malaysia harus bersaing untuk merendahkan gaji untuk mendapatkan FDI dan bersaing untuk mengeksport, adalah ketinggalan zaman. Harus ada pemikiran yang serius dalam hal ini. Covid-19 telah menjadikan persoalan ini sesuatu yang tidak boleh diabaikan.

Kedua, Amerika Syarikat perlu menghasilkan peluang pekerjaan di tempatnya sendiri, atas faktor keselamatan dan juga mengurangkan kadar pengangguran, yang sebaliknya akan hanya menjadi sebuah bom jangka. Jika Perang Dagang Amerika-China membawa tidak dapat merombak sistem rantaian bekalan ‘just-in-time’ seluruh dunia, Covid-19 telah melakukannya. Lebih banyak kerja penghasilan dan pembuatan akan berpindah ke dalam negara.

Ketiga, ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja sebagai buruh murah dalam sektor perkhidmatan di Singapura berkemungkinan dibuang kerja, terutamanya yang bekerja dalam bidang makanan dan minuman, perhotelan, pusat hiburan dan sebagainya. Mereka akan pulang ke Malaysia untuk mencari kerja dan bersaing dengan ramai lagi rakyat Malaysia yang turut kehilangan kerja dalam sektor perkhidmatan.

Keempat, jutaan pekerjaan dalam bidang perkhidmatan di Malaysia turut sama terkesan, bersekali dengan mereka yang berada dalam ekonomi gig. Beberapa sektor akan mengambil tempoh beberapa tahun untuk kembali ke tahap pra-Covid, seperti perhotelan dan penerbangan. Peluang pekerjaan harus dicipta dalam sektor-sektor lain untuk mereka ini.

Kelima, kebergantungan terhadap buruh asing murah dan tidak terlatih akan berakhir. Adalah penting bagi Malaysia untuk tidak terjebak dengan xenofobia terhadap warga asing. Tetapi adalah juga penting untuk memahami bahawa menggaji jutaan buruh asing tidak terlatih dalam ekonomi kita sudah tidak boleh dilakukan lagi.

Suka atau tidak, Malaysia akan perlu melakukan apa yang bakal dibuat negara-negara lain, iaitu kembali meletakkan faktor peluang pekerjaan di tengah-tengah pertimbangan ekonomi. Menyediakan peluang pekerjaan yang menguntungkan untuk warganegara sendiri akan menjadi tujuan utama pembuatan dasar ekonomi negara.

Pemikiran sedemikian akan memerlukan kerajaan di setiap peringkat untuk meneroka setiap perkakasan polisi yang ada, termasuklah menyelidiki polisi industri yang menjadikan penciptaan peluang kerja sebagai objektif utama.

Masyarakat seperti di Malaysia dan Singapura kini berada di penghujung sebuah model ekonomi yang telah berjalan sejak akhir 1960-an. Ia adalah pengakhiran sebuah model yang bertahan selama 50 tahun, dipacu dinamik global. Covid-19 telah membawa kita ke suatu persimpangan buntu, dan mendesak kita untuk membina semula. Namun, usaha membina semula ini harus dilakukan dengan kesedaran penuh tentang dinamik global yang hari ini yang sedang bercelaru.

Fokus terdekat bagi menempuhi ketidaktentuan ekonomi global pada ketika ini, dan mengambil peluang bagi jangka panjang, ialah menyediakan peluang pekerjaan yang mampan. Dari sudut itu, kita kembali ke era 1960-an.

Hari Buruh kali ini menyeru kita supaya berani, untuk menilai dan dengan tenang menanggapi implikasi penuh Zaman Kemelesetan Covid-19.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi