PAS yang tersalah haluan

Perencanaan Muafakat Nasional antara PAS dan Umno bukanlah sebegitu mudah bagai disangka. Ia tidak boleh dinilai secara sekali imbas.

Sebagai mahasiswa sains politik yang mengkaji PAS dan kemudian sebagai ahli politik yang bekerja rapat dengan pemimpin PAS, saya sering terkenang peluang-peluang yang dilepaskan PAS dalam mengubah haluan sejarah politik Malaysia. Barangkali, itu lah dia kisah salah langkah PAS.

Sejak pilihan raya umum 1999 sehingga perceraian PAS dengan Pakatan Rakyat pada bulan Jun 2015, wujud dua jalur pemikiran dalam PAS. Satunya mungkin boleh saya sebut sebagai para ‘asolah’ (purists) dan yang satu lagi para pengarus-perdana (mainstreamers).

Para ‘asolah’ ini hanya berminat untuk menang di kawasan-kawasan Melayu – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis – dengan tafsiran literal dan seringkali bersifat setempat terhadap Islam. Mereka tidak berminat untuk memenangi undi orang bukan-Islam dan mereka gembira memecahkan gabungan nasional yang menuntut kompromi.

Para pengarus-perdana pula, satu istilah yang digunakan mantan presiden PAS Almarhum Ustaz Fadzil Noor dalam salah satu ucapan muktamarnya, muncul daripada PRU 1999 apabila calon-calon parti itu yang mempunyai kelayakan profesional menang di beberapa kerusi parlimen di luar Kelantan dan Terengganu.

Ia juga merupakan indikasi potensi boleh-menang PAS di peringkat kerajaan pusat dalam sebuah gabungan berbilang kaum. Parti itu memenangi 27 kerusi Parlimen, di tengah gelombang reformasi Anwar Ibrahim.

Namun para pengarus-perdana ini berdepan kendala apabila Ustaz Fadzil meninggal dunia pada bulan Jun 2002. Ustaz Hadi Awang yang menggantikan Almarhum menyokong pendekatan garis keras. Menjelang PRU Mac 2004, parti itulah menawarkan Dokumen Negara Islam yang dilancarkan pada November 2003. PAS ditolak di seluruh negara.

Kemudian dari itu, para pengarus-perdana ini mendapat sedikit kelebihan, meski tidak berdepan jalan mudah antara tahun 2005 dan 2013.

Para ‘asolah’ yang terkedepan ketika peralihan kuasa pada tahun 1982 ke atas presiden parti pada waktu itu, Datuk Asri Muda; kini diperkukuh dengan generasi garis keras baharu. Atas beberapa sebab mereka ini mudah mendekati lingkungan mantan perdana menteri Najib Razak selepas PRU 2013.

Kehilangan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz – penimbang tara antara puak dalaman ini – pada 12 Februari 2015 akhirnya membuka jalan bagi mereka yang sudah lama beriya mahu bersama Najib dan Umno meski berdepan skandal mega 1MDB.

Pihak lawan mereka kalah teruk dalam pemilihan parti pada muktamar 2015. Kepimpinan paru para asolah yang pro-Umno memutuskan untuk berhenti bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Dengan berkuburnya Pakatan Rakyat, Parti Amanah Nasional ditubuhkan oleh mantan anggota dan pemimpin PAS pada 16 September 2015, diikuti pembentukan Pakatan Harapan pada 22 September 2015.

Menyangkal perjuangan 40 tahun

Kerjasama antara PAS dan Umno sepanjang 2014-2018 berkemuncak dengan PAS bertanding sebagai ‘spoiler’ dalam PRU yang lalu. Apabila Barisan Nasional tewas buat pertama kali dalam sejarah, kedua-dua parti Melayu itu memutuskan untuk menubuhkan Muafakat Nasional pada 2019, justeru menyangkal perjuangan PAS sepanjang tahun-tahun sebelumnya sejak 1982.

1. Daripada anti-assabiyah kepada ultra-Melayu

Idea ‘kepimpinan ulama’ adalah laungan pada 1982 bagi membezakan kepimpinan baharu dengan retorik lama Datuk Asri yang mengutamakan Melayu – zaman di mana orang Melayu memandang PAS sebagai parti orang kampung. Kepimpinan baharu 1982 mengangkat slogan menentang assabiyah – yang merujuk Umno sebagai sebuah parti Melayu sekular dan mesti dihancurkan.

2. Daripada anti-Umno, kini memeluk Umno

Pada masa yang sama, kumpulan Terengganu daripada generasi 1982 yang dipimpin Hadi Awang menganjurkan sebuah usaha membezakan antara PAS dan Umno. Seakan perbezaan mazhab, orang PAS tidak akan solat berimamkan orang Umno, malah sanggup solat berasingan. Dengan pengalaman yang sedemikian perit, satu-satunya alasan yang diberikan supaya PAS dan Umno dapat bekerjasama ialah kononnya menentang dominasi DAP dan orang bukan-Melayu. Ini amat meragukan apabila demikian ramai akar umbi PAS mempunyai hubungan yang baik dengan anggota DAP di bawah Pakatan Rakyat, termasuk ketika menyusun perhimpunan Bersih, antara tahun 2008 dan 2015.

3. Imej Islam dalam politik

Tahun 1982 adalah saat perubahan dalam politik Melayu. Bukan sahaja PAS mendapat kepimpinan baharu, Umno di bawah kepimpinan perdana menteri baharu Dr Mahathir Mohamad membawa masuk presiden ABIM, Anwar Ibrahim bagi menyuntik semangat Islam kepada Umno. Para pemimpin muda PAS, terutamanya Fadzil Noor dan Hadi Awang juga datang dari ABIM. Kebangkitan Islam pada zaman 1970’an diwakili di kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang. Pada 1982, simbolisme Islam dikira cukup kuat untuk menarik sokongan politik orang Melayu-Islam kepada kedua-dua pihak.

Pun begitu, hari ini komuniti muslim sudah lebih sofistikated. Memberitahu seseorang bahawa ‘sukuk’ – sebuah produk perbankan Islam – sebagai sesuatu yang bagus sudah tidak memadai. Ketika sukuk digunakan untuk mencuri wang 1MDB, sekurang-kurangnya separuh populasi orang Islam tidak akan menerima suatu urusniaga korup sebagai halal, tidak kira apa pun namanya.

Tiada cara untuk PAS mengabsahkan jenayah kewangan Najib terhadap negara. Malah adalah amat pedih bagi akar umbi PAS untuk bekerja dengan Umno yang masih dikuasai mereka yang mempunyai rekod meragukan dalam hal-hal skandal kewangan.

Satu campur satu tidak semestinya bersamaan dua

Hari ini banyak klise dikitar-semula dalam komentar politik Malaysia. Yang paling kerap diulang ialah bagaimana gabungan undi PAS dan Umno dalam pilihan raya 2018 dapat menafikan kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14.

Perkara pertama yang saya pelajari daripada penyelia tesis saya, John Funston pada 2002 ketika saya mula-mula mengkaji PAS ialah parti itu biasanya menerima 30 peratus undi Melayu dalam kebanyakan pilihanraya. Kebanyakannya mengundi PAS bukan kerana mereka suka kepada PAS tetapi kerana atas sebab tertentu mereka tidak suka kepada Umno dan Barisan Nasional.

Hal yang sama turut terpakai pada 2018. Ratusan ribu dari Kuala Lumpur pulang ke kampung halaman di Terengganu dan Kelantan mengundi PAS kerana mereka percaya bahawa parti Islam itu mempunyai peluang yang lebih baik menewaskan calon-calon Najib. Tidak bermakna bahawa mereka suka kepada PAS.

Mereka sama sahaja seperti orang di Pantai Barat Semenanjung yang mengundi Pakatan Harapan kerana mahu menendang keluar Barisan Nasional. Pilihan raya lalu adalah pilihan raya anti-Najib dan anti-kleptokrasi.

Hari ini, kebanyakan pengundi yang memilih PAS pada PRU14 mungkin tidak mengundi Umno mahupun PAS jika Umno masih dipimpin Zahid Hamidi, Najib Razak dan Tengku Adnan Mansor – yang masing-masing berdepan kes-kes rasuah di mahkamah.

Strategi Muafakat Nasional bukanlah strategi pilihan raya. Ia merupakan suatu upaya untuk membakar sentimen perkauman terhadap Pakatan Harapan. Kepada orang Melayu, mereka katakan DAP menguasai kerajaan; dan pada orang bukan-Melayu, mereka tuduh Dr Mahathir mengawal segalanya. Tujuannya ialah untuk menghancurkan semuanya dan memecahkan Pakatan Harapan dari tengah.

PAS akan berdepan jalan sukar untuk menang dalam PRU akan datang. Setelah membakulsampahkan semangat 1982, parti itu kini dipukau oleh Zahid dan Najib; mendakap segala yang mereka benci selama hampir 40 tahun. PAS memang telah tersalah haluan.

Justeru, satu tambah satu – PAS dan Umno – tidak semestinya bersamaan dua.

Kongsikan artikel ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Artikel Berkaitan

Lima tema untuk Johor bergerak maju

Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor oleh Pakatan Harapan Johor, saya telah menyuarakan hasrat untuk memimpin barisan Pembangkang yang konstruktif. Ini penting untuk membina kerjasama dwipartisan dalam…
Baca Lagi