

Kelemahan kerajaan Perikatan Nasional, yang tidak memperoleh mandat rakyat, telah mencetuskan ura-ura berkenaan masa depan mereka. Malah, nama Najib Razak yang sarat dengan skandal juga masih disebut-sebut sebagai alternatif kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Terdapat khabar angin bahawa Najib merancang untuk menjadi presiden UMNO semula dan seterusnya mengatur langkah untuk kembali sebagai Perdana Menteri sekira berlakunya pilihan raya dalam masa terdekat ini. Tidak kira sejauh mana realistik atau tidak munasabahnya khabar angin tersebut, kita harus ingat, UMNO hari ini bukanlah lagi parti yang kuat seperti dahulu.
Mari kita lihat UMNO yang dahulu
1. Parti luar bandar yang terbaik
UMNO merupakan parti luar bandar yang berjaya suatu ketika dahulu tetapi kini berdepan dengan pengurangan populasi luar bandar. Kebanyakan pemimpinnya yang terdahulu mempunyai matlamat pembangunan. Contohnya, jika buat perjalanan ke beberapa kawasan luar bandar di Johor, kita akan dapat lihat kejayaan pemerintahan UMNO terdahulu dalam menyediakan infrastruktur yang baik buat masyarakat setempat.
Setelah tampuk pemerintahan negeri Kelantan dan Terengganu terlepas daripada genggamannya pada pilihan raya 1959, UMNO secara agresif menggembleng usaha dan menyelaras sumber bersama kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri yang lain untuk menampilkan dirinya sebagai parti pemerintah luar bandar yang berkebolehan dan berkesan. Kemudahan pra-sekolah, penjagaan kesihatan, pendidikan dan kemudahan awam semua disediakan untuk penduduk luar bandar. Ketua kampung yang dilantik oleh UMNO juga biasanya merupakan ketua cawangan UMNO di kawasan yang sama.
Namun begitu, infrastruktur-infrastruktur ini (seperti jalan raya dan pengangkutan) jugalah yang memberi ilham kepada rata-rata pekerja supaya meninggalkan kampung halaman untuk bekerja di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Singapura. Persekitaran bandar telah mendedahkan mereka dengan realiti kehidupan yang perit termasuklah kelemahan kerajaan Barisan Nasional.
Pada pilihan raya 2018, golongan ini telah membawa kemarahan mereka pulang ke kampung untuk mengundi menolak Najib dan Barisan Nasional yang telah hanyut jauh daripada memahami denyut nadi rakyat, khususnya dalam skandal mega 1MDB.
2. Parti Mobiliti Sosial
Dulu, UMNO membawa bayangan mobiliti sosial bagi masyarakat Melayu, tetapi sekarang mereka kelihatan sebagai parti para elitis sahaja. Sehingga tahun 1990-an, mobiliti sosial adalah mesej utama parti buat masyarakat.
Apabila generasi baby boomer luar bandar rancak mencari pekerjaan awal 70-an, industri berasaskan eksport diteruskan tanpa henti dan banyak kehidupan mereka berubah secara positif. Malah, ada yang menyertai kehidupan kelas menengah. Peluang untuk pendidikan tinggi juga disediakan untuk orang ramai, walaupun tidak menyeluruh.
Kemelut Krisis Kewangan Asia lewat 90-an dan kemerosotan ekonomi selama 20 tahun yang lalu, terutamanya isu tahap gaji yang tidak berkembang, telah menimbulkan kekecewaan orang ramai.
Peningkatan jurang Melayu miskin dan kaya, khususnya antara ahli UMNO dengan yang lain, telah mencetuskan rasa geram intra-etnik yang sangat ketara terhadap golongan elit UMNO dan menbangkitkan penolakan terhadap pemimpin parti yang diketahui korup.
3. Parti yang diterima masyarakat bukan Melayu moderat
UMNO dahulu diterima oleh pengundi moderat bukan Melayu, tetapi sejak 2005, ia sendiri telah memusnahkan keterbukaan ini .
Sejak merdeka, UMNO tidak pernah bertanding menggunakan logo sendiri. Hanya simbol Perikatan dan Barisan Nasional yang digunakan sehingga pilihan raya kecil selepas 2018.
Modus operandi gabungan parti yang diketuai UMNO amat mudah – selagi UMNO dan rakan seangkatannya boleh menang separuh daripada pengundi setiap etnik, tiada siapa yang mampu mencabar kekuatan Barisan Nasional.
Hanya PAS yang bersaing dengan UMNO bagi undi Melayu tetapi pengundi bukan Melayu tidak pernah pergi kepada PAS. DAP pula akan bersaing dengan rakan-rakan UMNO kerana Melayu tidak akan mengundi DAP. Dalam percaturannya, seteru politik UMNO tidak sepatutnya bersama sebagai sebuah gabungan parti.
Pada lewat abad ke-20, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia pada Februari 1991. Beliau telah mencipta satu hubungan yang baik antara majoriti bukan Melayu dan UMNO-Barisan Nasional yang berkekalan sepanjang tiga pilihan raya umum 1995, 1999 dan 2004.
Selepas Dr Mahathir bersara, UMNO memilih haluan yang salah dengan cenderung kepada politik berhaluan kanan pada 2005. Selepas 15 tahun, amat sukar untuk membayangkan pengundi bukan Melayu mengundi UMNO yang sarat dengan agenda perkauman. Dalam persaingan di kerusi campuran majoriti Melayu, sokongan bukan Melayu teramat penting.
4. Parti yang mempunyai organisasi kukuh
Sejak sekian lama, UMNO mempunyai organisasi yang kuat, terutama sekali di kawasan luar dan separa bandar. Ketika itu, guru yang menabur bakti kepada masyarakat dipilih sebagai pemimpin cawangan UMNO, kadangkala di peringkat bahagian. Pada lewat 1980-an, kebanyakan mereka digantikan dengan ahli perniagaan ketagih kontrak.
Sebilangan krisis parti dan persaingan puak – daripada pertempuran antara puak Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam (1981, 1984) sehingga Pasukan A lwn Pasukan B (1987) hingga pemecatan Anwar Ibrahim (1998) sehingga desakan kuat menentang Abdullah Badawi (2008) dan akhirnya perjuangan Najib untuk bertahan (2015-18) – telah menyebabkan kegersangan bakat dalam parti tersebut.
Seseorang itu memerlukan sumber kewangan yang banyak untuk berkecimpung dalam politik UMNO. Kesannya, ahli-ahli parti yang baik dipinggirkan dan individu yang baik di luar parti pula tidak berani untuk menyertai parti. Hulubalang (Warlords) telah menguasai Ketua Bahagian berdekad lamanya, menyekat peluang untuk muka baharu.
Struktur organisasinya kian merapuh. Ketika Najib berhadapan dengan keadaan yang meruncing pada tahun 2015, seluruh organisasi kebuntuan. Selepas pemecatan Tan Sri Muhyuddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal, tiada seorang pun pemimpin yang sanggup menyanggah Najib meskipun melihat bahtera parti mereka kian karam.
Kekuatan organisasi UMNO di peringkat akar umbi tidak organik dan tidak seefektif jentera kempen pilihan raya.
5. Parti dalam persekitaran autokratik
Faktor kejayaan UMNO sebelum ini termasuklah menjadi kerajaan dalam persekitaran autoritarian. Ia bergantung kepada jentera kerajaan yang besar ketika pilihan raya. Ia juga mampu untuk mengubah persempadanan pilihan raya dan menggunakan media demi keuntungannya.
Peluang UMNO yang terlepas
Mari kita lihat UMNO pada hari ini
UMNO bukanlah lagi parti dominan dibawah kerajaan Muhyiddin. Sejak peralihan kerajaan buat pertama kali pada 2018, orang awam tahu yang mereka boleh menolak mana-mana parti, termasuk UMNO, tanpa rasa takut.
Jentera kerajaan, termasuk penjawat awam, mengetahui bahawa ‘rule of law’ diangkat lebih tinggi berbanding dahulu. Pemimpin utama penjawat awam juga tahu sekiranya terdapat anasir-anasir yang meragukan, maka mereka perlu bertanggungjawab sekiranya terdapat perubahan kerajaan.
Dari semasa ke semasa, bekas parti pemerintah yang digulingkan akan kembali berkuasa melalui pilihan raya dengan sekumpulan pemimpin baru, terutama apabila mereka mengambil iktibar dan mereformasi parti mereka.
Namun, UMNO terikat dengan wang Najib yang diraih menerusi sumber yang diragui. Pasca-2018, struktur parti UMNO masih dikawal oleh Najib. Perdana Menteri yang dirundung skandal ini sudah tentu sedar akan keadaan ini tetapi hanya buat-buat tak tahu sahaja. Seperti anak manja, beliau terus bersandiwara: “mengapa saya, mengapa Pakatan Harapan obses dengan saya, saya tidak lagi berkuasa” – demi meraih simpati dan sorakan daripada penyokong setia beliau.
UMNO telah terlepas peluang keemasan untuk menggalakkan kebangkitan individu-individu seperti Mohamad Hassan dan Khairy Jamaluddin supaya membersihkan parti daripada pemimpin korup. Apa yang perlu mereka lakukan hanyalah memohon maaf kepada negara atas kesalahan atau dosa lampau dan berikrar membina permulaan baharu. Dengan gandingan generasi baharu dan mesej yang diperbaharui, UMNO berpeluang untuk memenangi sokongan rakyat melalui pilihan raya bebas dan adil.
Malangnya, mereka masih memberi peluang kepada Najib untuk menentukan halatuju parti. Nampaknya, pemimpin yang dicemari konotasi “cash-is-king” (wang adalah raja) ini masih bermaharajalela dalam parti tersebut. Beliau turut terlibat dengan strategi politik “dasar bumi hangus” dengan menyemarakkan sentimen kebencian kaum supaya keadaan menjadi begitu mustahil untuk Pakatan Harapan terus memerintah.
Walaupun ia mungkin agak terlambat untuk Najib melepaskan diri daripada hukuman disebabkan penglibatannya dalam skandal mega 1MDB, termasuklah kleptokrasi, namun beliau masih cuba mencari jalan untuk terus bebas.
Tujuan kempen kebencian kaum adalah untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan agar dapat membina percaturan baru membina kerajaan yang mesra dan akan lebih cenderung untuk memelihara kepentingan peribadi Najib.
Situasi ini amat malang sekali buat UMNO. Mereka tidak sesekali mengorak langkah dengan agenda pembaharuan, sebaliknya ramai pemimpin masih selesa dengan pendekatan lama mereka. Demi kepentingan peribadi Najib, beberapa pemimpin UMNO, termasuk sebilangan Bersatu, telah mensia-siakan peluang untuk kembali berkuasa dengan memenangi jalan tengah.
Saya akui sekiranya pilihan raya umum diadakan hari ini, mereka yang mengundi Najib masih akan terus mengundi beliau. Tiada seorang pun pemimpin UMNO yang mendominasi penyokong tegarnya seperti Najib. Begitulah buruknya situasi dalam UMNO sekarang, dikawal daripada luar oleh individu yang sarat dengan wang.
Tetapi, yang bukan penyokong tegar UMNO tidak semestinya mengundi UMNO yang dipimpin Najib. Pengundi atas pagar belum memutus lagi. Jalan tengah terbuka luas buat parti politik untuk mengisinya. Ia merupakan hala tuju ke arah kefahaman yang lebih jujur dan bertoleransi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!