

Perkembangan politik Malaysia baru-baru ini mungkin agak serabut, namun saya ingin cuba untuk menerangkan lima isu bagi memberi sudut pandang yang lebih jelas dan mengkaji segala kemungkinan hasil dari drama politik ini.
Pertama, adakah akan berlaku pilihan raya mengejut tahun ini?
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengejar masa untuk meningkatkan majoritinya yang begitu tipis. Beliau telah menangguhkan persidangan Parlimen dari 9 Mac tempoh hari kepada 18 Mei dengan harapan mempunyai cukup waktu untuk “membeli” lebih banyak sokongan, tetapi rancangan itu tidak berhasil dan beliau hanya boleh bergantung kepada sokongan 113 daripada 222 anggota Parlimen.
Sekiranya Muhyiddin gagal mendapat sokongan majoriti sebelum sidang Parlimen berikutnya yang dijadualkan pada 13 Julai, beliau mungkin akan berusaha untuk menangguhkan persidangan itu lebih lama lagi. Bagaimanapun, muslihat yang sama tidak lagi dapat digunakan pada bulan Oktober kerana kerajaan harus membentangkan Belanjawan 2021 pada waktu itu. Kegagalan kerajaan meluluskan Belanjawannya akan dianggap sebagai undi tidak percaya dan Parlimen boleh dibubarkan.
Muhyiddin sekarang mungkin sedang mempertimbangkan sama ada beliau mahu mengadakan pilihanraya mengejut atau tidak dan mendapatkan keabsahan melalui peti undi. Mengadakan pilihan raya adalah pilihan terakhir bagi Muhyiddin kerana wujud kemungkinan besar partinya, Bersatu, akan bungkus. Tetapi jika beliau tidak menguasai majoriti dewan, Muhyiddin mungkin terpaksa mengadakan pilihan raya kerana beliau tidak ada banyak pilihan selain menggantung fungsi parlimen.
Bukan Muhyiddin sahaja yang mengelupur, bahkan Najib Razak turut sedang mengejar masa. Dengan keputusan perbicaraan SRC International Najib ditetapkan pada 28 Julai, Najib nampaknya telah bekerja lebih masa untuk merancang langkah selanjutnya. Motif utama bagi Najib untuk menuntut kembali kedudukannya sebagai Pengerusi Barisan Nasional adalah untuk mencetuskan Pilihan Raya Umum dengan harapan bahawa UMNO akan menang dan beliau akan orang bebas, bahkan kembali muncul semula dalam arena politik.
Walaupun cabaran wabak Covid-19 dan ketidakpastian ekonomi menjadikan pilihan raya sesuatu yang sangat tidak diingini, kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa pilihan raya mengejut boleh diadakan.
Kedua, adakah Mahathir dan Anwar akan bergabung?
Wujud banyak spekulasi baru-baru ini mengenai hubungan antara Mahathir dan Anwar. Muhyiddin dan Perikatan Nasional sebenarnya amat tergugat apabila Pakatan Harapan dan sekutunya terus kekal bersama pasca Langkah Sheraton. Selain Mahathir dan Anwar, Shafie Apdal dari Parti Warisan Sabah juga mempunyai peranan penting untuk mengekalkan ikatan ‘Pakatan Harapan Plus’.
Bersama dengan kelompok Bersatu yang diketuai oleh Mahathir dan dua ahli Parlimen bebas pro-Mahathir, PH dan sekutunya (atau PH Plus) kini mempunyai 109 kerusi. PH mempunyai 91 kerusi selepas Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat Jugah Muyang, menyatakan sokongan kepada Muhyiddin. Tanpa ahli Parlimen yang memihak kepada Mahathir dan Shafie bersama PH, bermakna Muhyiddin akan mempunyai 130 kerusi di pihaknya. Ini akan memberinya margin yang selesa untuk melakukan sebarang tindakan. Beliau bahkan boleh memenjarakan Najib untuk meningkatkan popularitinya sendiri. Namun, jika PH Plus berjaya mengekalkan 109 kerusi, Muhyiddin akan sentiasa berasa tergugat. Para Ahli Parlimen akan berfikir dua kali untuk menerima tawaran melompat, kerana takut memihak kepada pihak yang salah.
PH dengan sendirinya hanya mempunyai 91 kerusi, dan ini dapat dikurangkan menjadi 80 kerusi dengan mudah sekali. Oleh itu, matlamat penting sekarang adalah untuk mendapatkan dan menstabilkan 109 kerusi di pihak ‘PH Plus’, tanpa mengira sama ada calon PM adalah Mahathir atau Anwar.
Adakah Mahathir dan Anwar akan dapat mengatasi perbezaan mereka? Saya percaya mereka harus bekerjasama untuk memerangi Muhyiddin, Najib dan wang yang beliau miliki. Tanpa Mahathir dan Anwar bekerja secara bersama, 109 kerusi PH akan terpecah-pecah dan Muhyiddin akan menjadi pemenang terbesar. Menolak untuk bergabung ertinya membiarkan Muhyiddin terus bermaharajalela.
Ketiga, bolehkah PH Plus menjadi gabungan yang stabil?
Parti-parti politik membentuk gabungan untuk mengumpul semua sumber yang ada dan memperoleh sokongan yang cukup melampaui jangkauan tradisional setiap parti, tujuan utamanya adalah supaya kerajaan hasil gabungan itu dapat berfungsi dengan berkesan. Parti-parti politik membentuk gabungan kerana setiap parti ada keunikan dan pembezaan tersendiri, jadi penyatuan parti bukanlah pilihan. Disebabkan aturan ini, adalah menjadi kebiasaan untuk berbeza pendapat dalam gabungan. Namun, adalah penting bagi kita untuk mencapai kata sepakat.
“Mahathir-Anwar” dan “Bersatu-DAP” adalah perbezaan yang wujud dalam gabungan besar Pakatan Harapan. Namun, kami bersatu untuk menentang musuh bersama. Sewaktu menjadi parti kerajaan, perbezaan antara Bersatu-DAP dan Melayu-bukan Melayu telah dimanipulasi oleh para oportunis. Bersatu dan PKR masing-masing mempunyai calon Perdana Menteri, iaitu Muhyiddin dan Azmin Ali. Muhyiddin, Azmin dan ‘kuda Trojan’ dalam PH telah mempergunakan perbezaan ini untuk membangkitkan rasa tidak senang terhadap DAP dan mendesak supaya ditubuhkan kononnya sebuah kerajaan Melayu-Islam demi kepentingan peribadi mereka.
Walaupun wujud perbezaan, PH dan Mahathir mempunyai dasar moral yang sama dalam sikap tegas terhadap rasuah, yang dibuktikan dengan keengganan Mahathir dalam dua peristiwa – pertama, ketika beliau menolak untuk bekerja dengan UMNO dan Najib pada 23 Februari; dan kedua, pada 24 Februari ketika beliau menolak tawaran Muhyiddin dan Azmin untuk dicalonkan sebagai perdana menteri di bawah PN.
PH Plus harus bertekad untuk memberi tumpuan memperkukuhkan 109 kerusi yang terdiri daripada tiga parti komponen PH, Warisan dan kelompok penyokong Mahathir dalam Bersatu. Dengan kesatuan sebegini, gabungan korup PN antara Najib dan Muhyiddin tidak mempunyai jalan mudah untuk bertindak sesuka hati dan mungkin akan rebah disebabkan perbezaan mereka sendiri.
Keputusan politik sukar dicapai kerana tidak ada satu penyelesaian yang sempurna, dan tidak ada pemimpin yang sempurna untuk semua. Politik kadang-kadang melibatkan memilih penyelesaian terbaik di antara beberapa pilihan yang tidak begitu baik.
Keempat, apa Sarawak boleh buat?
Persoalan sama ada PH dapat kembali berkuasa setelah Langkah Sheraton bergantung kepada empat faktor penting: 1) Shafie Apdal, 2) Mahathir dan Anwar, 3) Sarawak, dan 4) Yang di-Pertuan Agong.
Pilihan raya negeri Sarawak dijadualkan berlangsung pada 2021. Setelah dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada tahun 2014, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem memutuskan untuk menjauhkan diri dari Najib yang penuh skandal dan juga dari kerajaan persekutuan yang tidak popular. Bersekali dengan sentimen “Sarawak untuk orang Sarawak”, gabungan yang diketuai PBB mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada tahun 2016.
PBB sentiasa berusaha untuk menonjolkan imejnya yang sederhana dengan memberi jaminan bahawa PBB adalah berbeza dengan UMNO. PBB mendakwa bahawa ia tidak akan membenarkan UMNO memasuki Sarawak dan PBB tidak akan membiarkan Sarawak berkesudahan seperti Sabah – yang ditadbir oleh UMNO dari 1994 hingga 2018.
Selepas PRU-14, kerajaan negeri Sarawak terpaksa menghadapi “normal baru” di mana untuk pertama kalinya dalam sejarah, ia tidak berada dalam gabungan yang sama dengan kerajaan persekutuan. Berdepan dengan lanskap baharu ini, PBB dan dan sekutunya menubuhkan Gabungan Parti Sarawak. Kemudian, GPS selanjutnya memainkan emosi terhadap kerajaan persekutuan ketika itu untuk memperkukuh sentimen tempatan Sarawak.
Berikutan kekacauan politik yang disebabkan oleh Langkah Sheraton, GPS tiba-tiba melihat dirinya menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan persekutuan bersama-sama PAS dan UMNO. GPS telah kehilangan landasan moralnya yang selama bertahun-tahun telah menjauhkan diri dari politik UMNO dan kerajaan persekutuan.
Sekiranya PH hanya mempunyai majoriti dua kerusi, adalah tidak bijak untuk mengadap YDPA kerana pembubaran Parlimen adalah satu kemungkinan yang sangat berisiko. Oleh itu, peranan ‘kingmaker’ jatuh kepada GPS untuk memastikan terbentuknya kerajaan persekutuan yang stabil. Sekiranya PH mendapat majoriti tetapi tidak mendapat sokongan Sarawak, kebuntuan politik mungkin terjadi dan Pilihan Raya Umum pada bulan Oktober tidak lagi menjadi satu kemustahilan. Ini juga mungkin bukan sesuatu yang dimahukan oleh GPS.
Kelima, apa pendirian DAP?
Musuh terbesar kita adalah rejim kleptokrat yang dipimpin oleh Muhyiddin dan Najib, yang tidak akan teragak-agak untuk mengetepikan dasar moral mereka ketika mereka sedang tertekan. Apabila berhadapan dengan senario terburuk, kita mesti bersedia untuk mengajukan segala usaha terbaik yang kita ada.
DAP mempunyai pemahaman yang jelas bahawa kekuatan Mahathir dan Anwar harus disatukan. Jika tidak, semuanya akan berakhir pada bulan Oktober.
Kita mesti bersedia untuk Pilihan Raya Umum. Sekiranya kita sudah bersedia, kita mungkin dapat menangkisnya kerana pihak lawan juga sebenarnya takut berdepan kekalahan dalam PRU.
Kita mesti mengelakkan diri daripada digunakan sebagai momokan untuk meningkatkan ketegangan kaum. Sebaliknya, kita harus terkedapan dalam mempromosikan perpaduan kaum, untuk mengelakkan lawan kita memanipulasi sentimen perkauman bagi memastikan mereka berkuasa. Keresahan terhadap unjuran ekonomi yang buruk juga dapat digunakan sebagai senjata terhadap PN.
Tidak ada jalan keluar yang mudah dalam mendepani kebuntuan politik. Adalah penting untuk mempunyai pemimpin politik yang dapat membuat keputusan dengan pertimbangan yang baik. Lebih penting lagi sekarang untuk mempunyai golongan yang dapat mempengaruhi pendapat dalam masyarakat agar mengambil bahagian dalam proses ini, memimpin jalan bagi seluruh anggota masyarakat untuk mengatasi politik PN yang beracun dan kleptokrat demi membentuk jalan ke hadapan untuk politik Malaysia.
Pakatan dapat menentukan sama ada Perikatan akan bertahan atau tidak dengan memegang teguh kepada 109 kerusi yang kita miliki. Setelah Pakatan berpegang teguh, Perikatan hanyalah menunggu masa saja untuk terurai.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!