
Kerajaan Perlu Bertindak Segera Mengurangkan Kesesakan Penjara
- 4 Oktober 2020
- Institusi, Keselamatan, Negara

KENYATAAN MEDIA LIEW CHIN TONG PADA 4 OKTOBER 2020
Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Oktober 2020, kebanyakan kes Covid-19 berlaku adalah dalam kalangan tahanan penjara. Meskipun pihak kerajaan menyatakan kes ini telah dikenalpasti lebih awal, negara kita memerlukan “norma baru” untuk pengurusan penjara dan pusat tahanan untuk mengawal penularan wabak dan pengurusan sistem koreksional yang lebih berkemanusiaan.
Penularan Covid-19 dari Sabah mula dikesan pada 1 September 2020 dalam kalangan tahanan lokap polis Lahad Datu dan enam kes di penjara Tawau dan dinamakan sebagai Kluster Benteng LD di Lahad Datu, Sabah.
Sehingga 3 Oktober 2020, Kluster Benteng LD telah merebak sehingga 934 kes keseluruhan yang dilaporkan Kementerian Kesihatan. Hal ini menjadikan kluster tersebut sebagai antara penyumbang terbesar kepada peningkatan jumlah kes Covid-19 di Malaysia.
Kluster ini masih berada dalam zon berisiko. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau telah dilanjutkan sehingga 9 Oktober 2020.
Selain itu, Kluster Tembok yang melibatkan penjara di Kedah merupakan kluster kedua tertinggi di Malaysia dengan 414 jumlah keseluruhan kes sehingga 3 Oktober. Penularan ini telah menyebabkan seorang kakitangan penjara meninggal dunia, iaitu kes kematian ke-135 pada 30 September 2020. Virus Covid-19 berkemungkinan besar telah merebak di seluruh bangunan penjara.
Penularan Covid-19 juga telah berlaku di beberapa Depo Tahanan Imigresen (DTI) seperti DTI Bukit Jalil, DTI Semenyih, dan DTI Sepang yang melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan kakitangan imigresen yang bertugas.
Ini menunjukkan penularan Covid-19 telah berlaku lebih awal di penjara mahupun DTI dan kian meningkat sehingga hari ini, disebabkan tiada iltizam politik dalam menguruskan kesesakan penjara.
Dalam kenyataan media pada 16 April 2020, saya telah menyeru kerajaan melakukan perubahan secara besar-besaran untuk mengurangkan tahanan dan banduan secepat mungkin agar penjarakan fizikal dapat dipatuhi dalam penjara dan pusat tahanan.
Menurut laporan, seramai 73,000 tahanan ditempatkan di penjara yang hanya boleh menampung 52,000 tahanan. Jika penjarakan fizikal dilaksanakan secara tegas untuk mencegah penularan COVID-19, sistem panjara kita tentunya hanya dapat menampung jumlah tahanan yang lebih kecil.
Tindakan seperti mempertimbangkan hukuman khidmat masyarakat atau pembebasan bersyarat bagi mereka yang disabit kesalahan ringan ini wajar dilaksanakan bagi mengurangkan penyebaran Covid-19 dalam penjara. Kesesakan penjara di Malaysia terjadi juga disebabkan cara kita mengendali kes-kes pesalah dadah. Sebanyak dua pertiga tahanan adalah berkait dengan kes dadah. Untuk penggunaan dadah, mereka sebenarnya boleh dirawat di pusat serenti dan bukan dianggap sebagai penjenayah.
Norma baharu bermaksud kita perlu pendekatan baharu yang berkesan. Oleh itu, saya menggesa pihak kerajaan mengambil perhatian serius perihal isu ini.
Jika kerajaan tidak dapat menangani penularan virus ini dalam penjara dengan lebih serius, akan berlaku peningkatan kes Covid-19 di penjara dan DTI dan ia meletakkan risiko yang tinggi kepada pegawai bertugas dan tahanan itu sendiri.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!