

Saya merujuk kenyataan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada 1 Oktober 2020 yang menyatakan rang undang-undang (RUU) Ombudsman dijangka akan dibentangkan sebelum akhir tahun ini.
Semasa sesi pertanyaan jawab lisan Dewan Negara pada 22 September 2020, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana (Undang-Undang), Datuk Haji Shahbudin Yahya, tidak menjawab pertanyaan saya dengan jelas tentang komitmen kerajaan Perikatan Nasional untuk mendedahkan garis masa bagi melaksanakan RUU Ombudsmen.
Usaha untuk membentangkan RUU Ombudsmen pada sidang parlimen pada bulan November hadapan wajar diambil serius oleh kerajaan Perikatan Nasional bagi memastikan integriti dan ketelusan pentadbiran kerajaan, seperti dicadangkan GIACC. Perkara ini selari dengan kebimbangan rakyat apabila kes rasuah melibatkan perolehan kerajaan dan pentadbiran awam kian meningkat, seperti kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.
Selain itu, adalah lebih baik agar Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan GIACC membuat satu sesi penerangan untuk ahli parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara lebih awal agar segala pandangan dapat diambil kira sebelum RUU ini dibentangkan.
Sebuah jawatankuasa pilihan khas bersama (Joint Select Committee) Dewan Negara dan Dewan Rakyat perlu ditubuhkan segera bagi meneliti dan menyemak RUU Ombudsman ini. Penubuhan jawatankuasa pilihan khas di peringkat Dewan Rakyat juga boleh dipertimbangkan sebagai alternatif kepada jawatankuasa pilihan khas bersama.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, kerajaan Pakatan Harapan telah mengusahakan penubuhan Ombudsman bagi membentuk tadbir urus negara berintegiriti. Institusi Ombudsman ini juga telah terangkum di dalam Pelan Anti-Rasuah Nasional 2019-2023.
Oleh hal yang demikian, kerajaan Perikatan Nasional perlu segera melaksanakan Ombudsman bagi meneruskan komitmen kerajaan menjunjung tadbir urus yang cekap dan berintegriti. Tindakan ini juga dapat mengukuhkan kefahaman rakyat terhadap praktis tadbir urus kerajaan yang baik dan adil.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 24 Feb 2023·
Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!