

Kalau lah tempoh khidmat Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal berakhir tidak lama lagi, siapakah yang perlu disalahkan? Sebahagiannya salah Datuk Seri Hamzah Zainuddin, manakala sebahagian lagi adalah salah Muhyiddin sendiri kerana memberi kepercayaan kepada Hamzah sebagai ketua operator politiknya. Sabah pula akan menjadi permulaan babak-babak terakhir bagi Muhyiddin dan Hamzah.
Hamzah ini adalah dalang utama Langkah Sheraton, di samping Datuk Seri Azmin Ali dan sehingga ke satu tahap, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Tiga individu ini menaikkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Hamzah selama ini tidak dikenali ramai, namun merupakan operator politik Umno yang berkesan di sepanjang kerjayanya; termasuklah menyusun atur bagi pihak Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor selama beberapa tahun.
Selepas pilihan raya 2018, Hamzah menyertai parti Bersatu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan sudahnya mempergunakan parti itu sebagai wadah untuk melancarkan rampasan kuasa ke atas mandat 9 Mei 2018 yang diberikan kepada Pakatan Harapan. Azmin dan Hishammuddin mempunyai hubungan yang baik dengan orang ramai, namun mereka telah diangkat sebagai maskot. Mereka di depan, manakala Hamzah di belakang sebagai dalang utama.
Hamzah sangat bijak dalam politik cara lama. Pun begitu, masalah beliau sekarang ialah parti Umno yang dahulunya kuat sudah tidak lagi berkuasa dan disegani. Sebanyak mana sumber yang dimiliki Umno pun tidak cukup untuk membantu parti itu, apabila perbezaan kerusi di Parlimen begitu tipis sekali.
Kalau lah Muhyiddin cukup bijak untuk tidak mempercayai Hamzah, tentunya Langkah Sheraton tidak berlaku. Namun kedua-duanya mempunyai angan-angan untuk mendapat sokongan 130 Ahli Parlimen termasuk Dr Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal.
Namun demikian, mereka hanya sedar bahawa mereka mempunyai majoriti minimum 3 atau 4 Ahli Parlimen selepas rampasan kuasa berlaku. Disebabkan margin yang begitu tipis di Parlimen, Umno sebagai blok paling besar – malah setiap Ahli Parlimen, boleh mengancam kedudukan Perdana Menteri pada bila-bila masa.
Selepas pembukaan Parlimen pada 18 Mei oleh Yang di-Pertuan Agong, saya kerap memberitahu kawan dan lawan bahawa Hamzah sudah tidak lagi berguna kepada Muhyiddin kerana tidak ada sesiapa lagi yang akan meretas lantai Dewan, selepas menyaksikan betapa nipisnya margin yang dipunyai kerajaan.
Kegagalan terbaru – usaha Hamzah di Sabah yang disokong Muhyiddin – adalah kedangkalan yang melampau. Daripada sudut strategi, walaupun dalam saiz yang lebih kecil; ia ibarat Napoleon atau Hitler membuka medan peperangan baharu dengan memasuki Rusia, walhal sedang berperang di Eropah Barat.
Selepas sidang 18 Mei, apabila Hamzah gagal mendapatkan Ahlli-ahli Parlimen yang lain untuk menyeberang secara individu, beliau bertindak menyasarkan Sabah, dengan harapan untuk memancing, menggugat atau menghancurkan Kerajaan Negeri pimpinan Warisan.
Mantan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dibebaskan daripada 46 pertuduhan rasuah pada 9 Jun. Hamzah kemudiannya pergi ‘membeli-belah’ beberapa kali di Sabah, yang akhirnya berkemuncak dengan Musa Aman mengisytiharkan bahawa beliau sudah memiliki sokongan majoriti pada 29 Julai; yang kemudiannya menyebabkan Shafie mengatur gerak untuk membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai.
Mungkin kita terfikir bahawa selepas usaha yang gagal itu, Muhyiddin dan Hamzah akan tidak terus gigih mencuba, dan menumpu ke arah lain. Tetapi tidak. Mereka terus berusaha.
Mereka cuba melancarkan Perikatan Nasional di Sabah, namun tidak dilayan UMNO. Kemudian Muhyiddin menubuhkan Gabungan Rakyat Sabah, malah mengumumkan calon Bersatu sebagai bakal ketua menteri; yang pastinya menjengkelkan Umno. Beliau juga memandang rendah pertembungan antara Parti Bersatu Sabah yang majoritinya Kadazandusun, dengan parti STAR, walaupun kedua-duanya merupakan sekutunya.
Senarainya panjang lagi, satu demi satu kesilapan. Lebih memeranjatkan, memandangkan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dari Bersatu dan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dari UMNO tidak dapat menandingi karisma Shafie, penasihat-penasihat Muhyiddin memutuskan untuk menjadikan Muhyiddin sebagai ‘calon’ dalam PRN Sabah ini.
Ini memang satu pantang di Sabah, ketika sentimen anti kerajaan pusat begitu menebal. Lucu sekali menyaksikan poster-poster Muhyiddin menggelarnya ‘abah’ untuk kelihatan mesra, sedangkan orang Sabah tidak memanggil bapa mereka abah. Kalau pun ada watak bapa-bapa di Sabah, Shafie Apdal lah orangnya.
Perdana Menteri juga mendakwa bahawa PRN Sabah akan menjadi penanda aras populariti beliau dan menjadi panduan sama ada untuk mengadakan pilihan raya umum jika Perikatan menang. Apalah agaknya yang dimaksudkan ‘jika Perikatan menang’ sedangkan ada calon-calon Barisan Nasional dan PBS yang bertanding dengan logo masing-masing.
Mesej utama kempen Muhyiddin di Sabah ialah: pengundi mesti memilih parti yang terkait dengan beliau, dan berada dalam gabungan yang mentadbir Kerajaan Persekutuan.
Masalahnya sekarang ialah, sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim di Le Meridien Kuala Lumpur semalam telah menghapuskan premis kempen Muhyiddin di Sabah – tiada siapa tahu sama ada Muhyiddin akan masih jadi Perdana Menteri dan sama ada Perikatan Nasional akan masih menjadi Kerajaan Persekutuan menjelang bulan depan.
Kebergantungan berlebihan terhadap Hamzah, serta pemahaman Hamzah yang begitu terhad terhadap dunia di luar modus operandi dan politik lama Umno telah mengheret Perdana Menteri ke cerun bukit-bukau Sabah yang mengganggu tumpuan nasional Muhyiddin.
Muhyiddin nampaknya sedang membilang hari-hari terakhirnya sebagai Perdana Menteri.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 24 Feb 2023·
Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!