

DR 2/2020 RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020
RUU ini adalah satu perkembangan selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan persekutuan pada 10 Mac 2020. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menerangkan apakah perkara utama yang perlu kita capai dalam tadbir urus negara ini.
Sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH), ada usaha untuk memulihkan sistem tadbir urus dan politik negara yang kian lemah akibat krisis 1MDB. Kenapa 1MDB berlaku? Kerana kuasa perdana menteri terlalu kuat dan tidak mempunyai batasan, sehingga mengakibatkan krisis 1MDB tanpa ada semak dan imbang.
Di bawah pemerintahan PH, hanya 3 orang Menteri dan 3 orang Timbalan Menteri JPM dilantik, berbanding lantikan menteri JPM dibawah PN adalah sebanyak 5 orang Menteri dan 5 orang Timbalan Menteri. Dibawah kerajaan Barisan Nasional, 10 orang Menteri dan 3 orang Timbalan Menteri JPM telah dilantik.
Jumlah Menteri Perikatan Nasional bertambah kepada 32 orang (termasuk perdana menteri) berbanding 28 orang (termasuk perdana menteri) pada pentadbiran Pakatan Harapan. Jumlah keseluruhan bilangan Menteri dan Timbalan Menteri PN kepada 70 orang berbanding 55 orang ketika era PH.
Dianggarkan sebanyak 65 Jabatan/Agensi dalam JPM hari ini jika dibandingkan 56 agensi dibawah kerajaan PH dan 92 buah Jabatan/Agensi di zaman BN. Kos untuk JPM ini dianggarkan bertambah RM 11.1 bilion berbanding RM 7.9 bilion berdasarkan belanjawan 2020, pertambahan sebanyak RM 3.2 bilion atau 28.8 peratus.
Ini adalah rekod yang penting. Apa yang kami cuba usahakan ketika pentadbiran PH adalah untuk mencipta keseimbangan kuasa perdana menteri dan jemaah menteri, agar setiap anggota kabinet dapat memainkan peranan yang lebih luas dan mengelakkan salah guna kuasa perdana menteri, seperti apa yang berlaku terhadap 1MDB.
Semasa pentadbiran PH, perdana menteri tidak menjawat lebih daripada dua jawatan, termasuk Menteri Kewangan. Kemudian, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi diwujudkan. EPU dikeluarkan daripada JPM, agar ia dapat memainkan peranan utama dalam tadbir urus negara.
Saya kesal apabila kerajaan PN telah memansuhkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Institusi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dapat memberi keseimbangan kepada Kementerian Kewangan dan perdana menteri. Saya berharap perdana menteri dan kerajaan selepas ini akan mengambil kira bahawa Kementerian Kewangan dan Kementeri Hal Ehwal Ekonomi begitu penting dalam pentadbiran kerajaan. Kementerian Kewangan berperanan dalam menentukan aspek perbelanjaan pengurusan dan belanjawan kerajaan. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pula berfungsi dalam menguruskan perbelanjaan pembangunan.
Kedua-dua kementerian ini tidak seharusnya diletakkan dibawah kuasa perdana menteri dan ia harus dipimpin oleh pemimpin politik yang berwibawa. Kini, Menteri Kewangan bukanlah ahli politik dan bertindak sebagai ‘ejen’ kepada perdana menteri. Saya berpandangan bahawa struktur ini tidak akan membantu pentadbiran negara membendung masalah yang berlaku dahulu, seperti 1MDB.
Saya mengalu-alukan pensturkturan jemaah menteri PN keada empat kluster: Keselamatan, Ekonomi, Sosial dan Infrastruktur kerana pendekatan ini membantu fokus kerajaan dalam menangani isu-isu rakyat. Sistem pendekatan kluster ini perlu seiring dengan perubahan institusi, yang tidak boleh bergerak secara silo.
Dalam pentadbiran negara, kebanyakkan daripada kita mempunyai sikap pemikiran silo, antara pegawai awam dan menteri di setiap kementerian hanya bekerja sendiri, tidak ada kordinasi yang kemas dan mengamalkan tadbir urus yang lebih berkesan, seperti pendekatan menyeluruh kerajaan atau ‘Whole-of-government approach’ yang mampu menyelesaikan masalah rakyat dan membawa imej pentadbiran negara ke arah yang lebih tinggi.
Saya cadangkan agar sektor keselamatan negara, khusunya sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) harus bermesyuarat setiap minggu, bukan sekali tiga bulan, mencontohi amalan MKN di negara seperti United Kigndom, Jepun dan Australia yang telah mengalami penamabhbaikkan sejak 10 tahun yang lepas.
Dalam sektor ekonomi, kementerian lain seperti Kementerian Pelancongan dan Kementerian Sumber Manusia, harus diberikan peranan lebih luas dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC). Hal ini demikian kerana EAC adalah institusi yang membuat keputusan ekonomi bagi kerajaan dan kementerian yang boleh menjana pekerjaan perlu dibawa masuk ke dalam EAC. Objektif utama EAC juga harus ditumpukan kepada dasar mencipta pekerjaan bagi rakyat Malaysia, khusunya selepas Malaysia berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Sistem Kluster yang lain seperti Sosial, Infrastruktur dan Keselamatan perlu diberikan peranan yang lebih berkesan. Jika dibandingkan amalan pentadbiran dahulu yang banyak menubuhkan Jawatankuasa Kabinet, tetapi tidak konsisten dan tidak mengamalkan pendekatan menyeluruh kerajaan.
Saya berharap, kelemahan dan perkara yang tidak memuaskan ketika pembentukan jemaah menteri PN dibentuk pada 10 Mac 2020 boleh ditambahbaik dan sistem menteri kabinet secara kluster perlu diperkasakan.
Ucapan ini telah disampaikan di Dewan Negara pada 21 Sep 2020
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!