Penularan Covid-19 di Penjara: Di mana Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin?

Kenyataan Media oleh Liew Chin Tong, Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan dan Ahli Dewan Negara, pada 7 Oktober 2020.

Pada 6 Oktober 2020, terdapat 8.3 peratus kes aktif positif Covid-19 dicatatkan dalam kalangan banduan dan pegawai penjara, iaitu 1,126 kes daripada 13,504 kes keseluruhan.  Dalam tempoh sehari, iaitu 6 Oktober, kes positif Covid-19 di dalam penjara meningkat kepada 435 kes. Ini adalah satu petanda yang amat buruk.

Jika kita jangkakan kes di Sabah bermula daripada penularan dalam penjara, dianggarkan sebanyak 20 peratus atau 2,738 kes daripada 13,504 keseluruhan boleh dikaitkan dengan penjara Tawau dan Lahad Datu. Jumlah ini tidak termasuk kes daripada Sabah yang merebak ke negeri lain selepas pilihan raya mengejut.

Kini, enam buah penjara telah dijangkiti Covid-19, iaitu Tawau, Alor Star, Pokok Sena, Pulau Pinang, Pusat Tahanan Sementara Kemunting dan Penjara Wanita Kajang. Daripada 1,126 kes positif Covid-19 di penjara, 39 kes melibatkan pegawai penjara.

Saya khuatir akan apa yang mungkin berlaku selepas ini, sekiranya penularan wabak berlaku di penjara yang mempunyai jumlah banduan yang ramai seperti Sungai Buloh, Kluang dan Sungai Udang.

Saya bersolidariti dengan pegawai dan kakitangan penjara yang mudah terdedah dengan wabak ini. Ketika saya bertemu beberapa orang pegawai penjara semasa menjadi ahli pentadbiran, mereka secara peribadi menzahirkan rasa bimbang kepada saya mengenai penularan jangkitan batuk kering (tuberculosis) di penjara yang kian mengancam nyawa pegawai dan kakitangan penjara. Ini merupakan situasi pada tahun 2019.

Saya memahami kebimbangan pegawai dan kakitangan penjara mengenai Covid-19 yang berbahaya. 

Masih banyak komuniti yang mempunyai tanggapan yang salah dan tidak melahirkan rasa bimbang sekiranya Covid-19 merebak di penjara. Tanggapan ini tidak betul.

Virus Covid-19 tidak memilih antara mereka yang mempunyai kuasa tertinggi seperti Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan berjuta pekerja asing mahupun banduan. 

Tanpa campur tangan daripada pihak kerajaan, penjara akan menjadi perangkap maut untuk Covid-19, kadar jangkitan akan meningkat kerana kesukaran melakukan penjarakan fizikal.  Malah, jangkitan tidak hanya merebak di penjara sahaja, tetapi ia juga akan mengancam masyarakat secara besar-besaran.  

Kita perlukan pandangan baharu dan sedar bahawa setiap banduan, pegawai/kakitangan penjara dan keluarga mereka, berhak untuk dilindungi daripada penularan Covid-19.

Ini adalah krisis yang teruk dan telah meletakkan setiap orang dalam masyarakat dalam keadaan  bahaya – daripada mereka yang lemah dan terpinggir sehingga mereka yang berkuasa dan mempunyai kedudukan. Kerajaan perlu segera  campur tangan dan melakukan koordinasi, dengan melaksanakan pendekatan menyeluruh kerajaan. 

Di manakah Hamzah Zainuddin sebagai Menteri Dalam Negeri? Kita telah menyaksikan betapa aktifnya Hamzah sebagai ahli politik, tetapi kita masih belum mendengar sebarang penjelasan dan sepatah perkataan daripada Menteri Dalam Negeri berkenaan isu ini.

Untuk sistem penjara dan kesemua sistem keadilan jenayah yang terlibat dalam usaha menangani Covid-19, ia memerlukan iltizam politik pihak atasan untuk mengubah sistem penjara dan pusat tahanan, termasuk pentadbiran dan keadilan jenayah, 

Saya begitu bimbang mengenai sistem penjara kita dan secara terbuka, saya telah menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan mengurangkan jumlah banduan daripada 70,000 orang banduan kepada jumlah yang kita mampu, iaitu sebanyak 52,000 orang banduan.

Dalam jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri kepada saya, sehingga 17 Ogos, terdapat 68,730 banduan di penjara seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 39,846 adalah banduan sabitan, 24,578 adalah banduan reman, 2,758 adalah tahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (LLPK), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA). Manakala 1,548 adalah penghuni Sekolah Henry Gurney. 

Saya mengalu-alukan kenyataan Pengarah Jabatan Penjara semalam, yang telah menggariskan langkah-langkah pencegahan khusus bagi mengatasi penularan kes Covid-19 di penjara, seperti:

–     11,018 orang banduan dengan hukuman di bawah setahun yang baki hukumannya kurang dari 3 bulan akan dibebaskan dibawah Pelaksanaan Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) (berdasarkan Akta Penjara 1995, tahanan yang melanggar syarat akan ditarik balik keputusan pembebasnanya)

–   2.800 orang pesalah kecil dadah akan dipindahkan ke penjara sementara yang telah diwartakan di kem-kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Pendekatan ini amat penting kerana isu kesesakan penjara telah berlaku sebelum krisis Covid-19 bermula. Memenjarakan mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan SOP akan memburukkan lagi masalah kesesakan penjara dan akan meningkatkan risiko jangkitan di kawasan penjara.

Jabatan Penjara tidak mampu mencegah penularan Covid-19 di penjara dan pegawai yang mempunyai kontak rapat dengan orang awam secara sendiri. 

Perlu ada tindakan tegas di peringkat nasional daripada Kementerian Dalam Negeri dalam mengatasi masalah kesesakan penjara dan bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian, termasuk badan kehakiman untuk mencari hukuman bukan penjara atau alternatif.

Dalam peperangan untuk menjaga keselamatan masyarakat kita dari Covid-19, keselamatan penjara dan pusat tahanan tidak boleh dipinggirkan. Tahanan yang disabitkan kesalahan selayaknya menerima hukuman setimpal dibawah undang-undang, tetapi tidak seharusnya dibiarkan menjadi mangsa Covid-19

Kongsikan artikel ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Artikel Berkaitan

Lima tema untuk Johor bergerak maju

Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor oleh Pakatan Harapan Johor, saya telah menyuarakan hasrat untuk memimpin barisan Pembangkang yang konstruktif. Ini penting untuk membina kerjasama dwipartisan dalam…
Baca Lagi