
Wabak Covid-19 di Penjara – Masa yang Tepat untuk Mempercepat Reformasi Penjara
- 10 Oktober 2020
- Covid-19, Institusi, Keselamatan, Negara

Covid-19 menyetarakan kita semua, tanpa peduli Presiden atau banduan. Masyarakat terpinggir adalah paling terjejas akibat wabak ini, seperti yang dapat dilihat dengan merebaknya wabak dalam kalangan komuniti pekerja migran di Singapura dan akhir-akhir ini, di penjara-penjara Malaysia yang sesak.
Meski wujud kehendak orang ramai untuk keadilan dan hukuman yang mendorong sentimen untuk membiarkan sahaja para banduan ‘mereput’, hakikatnya dalam dunia yang saling kait-mengait hari ini, isu-isu yang dihadapi oleh komuniti penjara akan memberi kesan meluas kepada masyarakat.
Wabak Covid-19 di penjara akan merebak kepada masyarakat, dan begitu juga sebaliknya. Selanjutnya, warden penjara, ahli keluarga mereka, para kontraktor dan pekerja penjara juga terdedah kepada risiko.
Di seluruh dunia, banyak negara yang bergelut dengan isu yang sama telah membebaskan banduan kesalahan kecil sekitar April dan Mei. Saya juga telah menjelaskan cabaran yang akan dihadapi oleh penjara dalam tempoh wabak Covid-19 pada pertengahan April lalu, namun sayangnya tidak dipedulikan.
Penjara yang penuh sesak sebagai pusat merebaknya Covid-19
Sistem penjara Malaysia direka untuk memuatkan 52,000 tahanan. Setakat 17 Ogos, kini terdapat 68,730 orang banduan di penjara (jawapan bertulis Dewan Negara pada bulan September 2020). Penjara-penjara kita telah melebihi kapasiti yang ditetapkan, bermakna para tahanan ditempatkan dalam keadaan yang tidak sepatutnya, dan adakalanya tidak berperikemanusiaan.
Disebabkan keadaan yang buruk di penjara menjadikan penjarakan sosial tidak mungkin dilakukan, penjara telah menjadi pusat merebaknya Covid-19 justeru meningkatkan risiko penyebaran penyakit ini kepada masyarakat setempat. Empat daripada enam penjara yang mempunyai kes Covid-19, beroperasi melangkaui kapasiti masing-masing.

Pada 6 Oktober, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Dato’ Sri Hj. Zulkifli bin Omar menggariskan langkah-langkah khusus untuk menangani peningkatan kes Covid-19 yang berkaitan dengan penjara, termasuk:
– 11,018 banduan kesalahan kecil yang dijatuhkan hukuman penjara kurang dari satu tahun dan mempunyai masa kurang dari tiga bulan untuk menyelesaikan hukuman, akan layak untuk pembebasan berlesen iaitu Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) (menurut Akta Penjara 1995, tahanan ini boleh dipanggil semula bila-bila masa sekiranya mereka melanggar syarat).
– 2,800 orang banduan kesalahan kecil berkait dadah akan dipindahkan ke fasiliti penjara sementara di pusat-pusat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Ini adalah langkah ke arah yang tepat. Namun, Prosedur Operasi Standard Jabatan Penjara sahaja tidak akan dapat mendatarkan lengkung Covid-19 di penjara. Sehinggakan penjara tertentu harus bergantung pada sumbangan kebajikan oleh orang ramai, misalnya dari pendakwah selebriti tempatan Ebit Lew, untuk membantu komuniti penjara. Saya rasa lebih daripada itu, kita memerlukan pendekatan kerajaan-menyeluruh untuk menangani situasi ini.
Saya menyeru Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk menyelaraskan strategi nasional bagi menangani masalah kesesakan penjara bukan sahaja untuk mengatasi Covid-19 tetapi juga untuk jangka masa panjang.
Agenda lima perkara berikut boleh dijadikan langkah permulaan: –
Pertama, kaedah hukuman alternatif
Selain daripada pembebasan berlesen, hukuman alternatif dapat dipertimbangkan untuk banduan kesalahan kecil dengan hukuman penjara kurang satu tahun. Khidmat masyarakat, tahanan rumah dan bentuk hukuman pemulihan yang lain tidak hanya mengurangkan kesesakan penjara dan menjimatkan wang pembayar cukai, tetapi juga mengurangkan risiko pesalah berulang. Seperti kata beberapa pegawai penjara, penjara kadang-kadang menjadi “universiti” bagi banduan dengan jenayah kecil untuk meningkatkan kebolehan dengan rangkaian jenayah yang lebih luas dan kemahiran yang lebih baik.
Sudah tiba waktunya bagi mahkamah, pihak polis dan kerajaan secara keseluruhan untuk mempertimbangkan sama ada hukuman alternatif dapat diterapkan ke dalam sistem undang-undang jenayah, di luar pengecualian yang dibuat untuk wabak Covid-19. Malah, sebilangan pesalah menjalani hukuman penjara kerana mereka tidak mampu membayar denda.
Menurut Jabatan Penjara, pada masa ini terdapat 11,018 orang yang telah dijatuhi hukuman penjara kurang dari satu tahun dan mempunyai tempoh kurang dari tiga bulan sahaja lagi untuk menyelesaikan hukuman.
Kedua, mereformasi undang-undang dadah di Malaysia
Pada 23 Disember 2019, saya menghantar mesej kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai isu kajian semula dasar undang-undang berkaitan dengan dadah.
Menurut Muhyiddin, sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk melibatkan perwakilan dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan untuk membincangkan berbagai aspek perundangan mengenai kesalahan yang berkaitan dengan dadah.
Menariknya, Muhyiddin memberitahu saya bahawa jawatankuasa itu pada dasarnya telah bersetuju untuk bergerak ke arah dekriminalisasi. Namun, terdapat banyak butiran teknikal yang harus diselesaikan.
Beliau menegaskan keperluan untuk mempercepat keseluruhan proses, “kerana hampir 70% daripada mereka yang berada di penjara sekarang adalah tahanan berkait kesalahan dadah.”
Saya tahu bahawa Perdana Menteri yakin bahawa menguruskan penagih dan penggunaan dadah dari perspektif perubatan dan pemulihan adalah lebih berkesan daripada menganggapnya sebagai jenayah.
Melihatkan menularnya wabak Covid-19 di penjara, saya harap beliau akan mendorong perubahan yang lebih cepat terhadap usaha yang telah dimulakan sejak menjadi Menteri Dalam Negeri.
Ketiga, sistem tahanan reman
Daripada 68,730 tahanan dalam sistem penjara negara ini, sejumlah 39,846 adalah orang yang disabitkan bersalah sementara 24,578 orang lagi adalah tahanan reman. Jumlah tahanan reman ini tidak sepatutnya begitu besar.
Tahanan reman akan masuk dan keluar dari penjara untuk menghadiri perbicaraan dan urusan undang-undang lain. Mahkamah perlu proaktif untuk mengurangkan pergerakan fizikal tahanan reman untuk membantu mengekang penyebaran Covid-19.
Pada masa yang sama, satu persoalan yang lebih serius perlu diajukan: bagi mereka yang melakukan kesalahan yang boleh dijamin tetapi tidak mempunyai wang untuk mengemukakan jaminan, apakah ada alternatif lain berbanding menambah bilangan populasi penjara.
Keempat, banduan berusia
Covid-19 memberi kesan yang lebih teruk kepada warga berusia. Umur harus menjadi faktor mitigasi dalam pertimbangan untuk parol dan pembebasan berlesen sehingga dapat mengurangkan jumlah tahanan yang berumur melebihi 60 atau 65 tahun. Ini akan mengurangkan risiko bagi banduan berusia itu sendiri selain banduan dan pegawai penjara yang lain.
Kelima, memperluas perkhidmatan perubatan dalam sistem penjara
Pegawai penjara pernah berkongsi dengan saya tentang bagaimana sistem penjara sangat kekurangan kakitangan perubatan. Untuk memerangi Covid-19 dan demi memastikan keadaan kesihatan yang lebih baik dalam sistem penjara, sejumlah peruntukan yang mencukupi harus diberikan kepada Jabatan Penjara untuk mendapatkan khidmat pegawai perubatan tambahan untuk membantu anggota perubatan sedia ada yang terhad bilangannya di pusat-pusat tahanan.
Kita harus mengimbangkan antara undang-undang dan hukum dengan keselamatan awam semasa pandemik. Negara tidak perlu terpaksa memilih antara memastikan keadilan ditegakkan, dengan memastikan seluruh anggota masyarakat dilindungi.
Covid-19 telah memaksa kita untuk mendepani keperluan reformasi penjara yang sudah lama tertangguh, kalau pun hanya kerana virus itu tidak boleh ditahan di sebalik tembok. Penambahbaikan sistem penjara dan undang-undang jenayah kita adalah sebahagian daripada penambahbaikan institusi dan reformasi demokratik yang perlu ditangani oleh Malaysia, walaupun setelah wabak berakhir.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!