Azmin merancang rampasan kuasa seawal Oktober 2019, sebelum Langkah Sheraton

Baru-baru ini Azmin Ali cuba menulis kembali sejarah bagi membersihkan reputasinya. Jangan lah kita terpedaya. Azmin adalah arkitek utama rampasan kuasa Oktober 2019 yang meski gagal, merupakan titik permulaan Langkah Sheraton. Berikut adalah fakta-fakta untuk rakaman sejarah.

Selepas Azmin didakwa terlibat dalam skandal rakaman video yang tular pada Jun 2019, beliau cuba membentuk sebuah gabungan bagi menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri.

Gabungan yang cuba dibentuk oleh Azmin melibatkan dua lagi perencana utama: Hamzah Zainuddin dan Hishammuddin Hussein. Hamzah membawa sejumlah 15 Ahli Parlimen untuk melompat menyertai Bersatu, mengurangkan kerusi Umno daripada 54 menjadi 39. Hishammuddin pula didakwa mengawal 17 orang Ahli Parlimen Umno.

Rancangan pada Oktober 2019 ialah untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan Melayu dengan tambahan kumpulan Hishammuddin (17), Gabungan Parti Sarawak, GPS (18) dan PAS (18) untuk mencukupkan angka 53, bagi menggantikan angka-angka Amanah (11) dan DAP (42).

Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019 direncana oleh Hamzah Zainuddin, bersama-sama Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein di belakang tabir. Serangan berterusan terhadap DAP sepanjang Oktober bertujuan untuk memecahkan Pakatan Harapan.

Objektif utama rancangan untuk menggunakan 53 Ahli Parlimen daripada kumpulan Hishammuddin, GPS dan PAS bagi menggantikan 53 kerusi Amanah dan DAP ialah untuk menafikan peluang Anwar menjadi Perdana Menteri. Azmin percaya bahawa apabila DAP dan Amanah tidak lagi sebahagian daripada sifir terbabit, beliau akan dapat mengawal majoriti Ahli Parlimen PKR, atau tiada sesiapa akan menyokong Anwar sebagai PM.

Pada 14 Oktober 2019, akhbar New Straits Times menyiarkan laporan muka depan tentang idea besar Hishammuddin untuk membina sebuah ‘Bangsa Malaysia’ tanpa DAP dan Amanah. Itu merupakan serangan yang pertama.

Namun pada waktu itu, Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berkenan dengan cubaan sedemikian. Meski ramai antara kami menyedari tentang rancangan Azmin-Hamzah-Hishammuddin itu, Azmin (PKR) dan Hamzah (Bersatu) ketika merupakan rakan sekutu, maka tidak dapat kami dedahkan. Tulisan Hishammuddin di NST memberi peluang untuk mendedahkan rancangan terbabit dan menghentikannnya.

Pada 15 Oktober 2019, saya berjaya meyakinkan Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Abdullah untuk menandatangani kenyataan bersama Majlis Setiausaha PH bersama empat setiausaha parti: Hatta Ramli (Amanah), Saifuddin Nasution (PKR), Marzuki Yahya (Bersatu ketika itu) dan Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP menganggotai Majlis Presiden manakala ahli jawatan berikutnya, Setiausaha Organisasi menganggotai Majlis Setiausaha).

Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya kenapa Saifuddin Abdullah, yang begitu rapat dengan Azmin dan mempunyai peranan besar dalam Langkah Sheraton, tidak teragak-agak untuk menandatangani kenyataan yang mendedahkan rencana Hishammuddin-Azmin-Hamzah. Mungkin beliau tidak tahu mengenainya pada waktu itu.

Kenyataan Pakatan itu disiarkan akhbar-akhbar utama pada 16 Oktober 2019, lebih setahun hari ini. Saya berani sebut bahawa kita berjaya menggagalkan rampasan kuasa 53 ganti 53 (Hishamuddin, GPS dan PAS menggantikan Amanah dan DAP) pada hari itu.

Malangnya, Pakatan gagal mengelakkan rampasan kuasa seterusnya pada 23 Februari 2020 apabila Muhyiddin menyokong rancangan terbabit dan Zahid membawa keseluruhan blok Umno ke meja rundingan dan mendesak bahawa beliau satu-satunya jurucakap bagi pihak Umno.

Pada Februari, dengan sokongan 39 kerusi Umno, rancangan mereka adalah untuk menendang keluar kumpulan Anwar dalam PKR, DAP dan Amanah.

Mereka beranggapan bahawa parti Warisan pimpinan Shafie Apdal bersama Dr Mahathir dan kerajaan Sheraton akan berkuasa dengan sekurang-kurangnya 125 kerusi, kalau pun bukan 130. Mereka terkejut apabila Dr Mahathir dan Shafie enggan masuk campur dengan rancangan terbabit.

Sejak itu, kerajaan Sheraton ini hanya mampu mentadbir dengan majoriti kurang daripada bilangan jari di sebelah tangan.

Sambil negara terus menerima kesan daripada Langkah Sheraton, makin banyak cerita-cerita untuk mengaburi konspirasi tersebut akan muncul. Sudah tiba masanya kita mengiktiraf dan mendokumentasi apa yang sebenarnya terjadi.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi