
Tiada masalah ekonomi lain yang lebih penting daripada soal pekerjaan. Kita perlu mengutamakan agenda penciptaan kerja dan kerajaan perlu menjadi pemangkin yang memacu agenda ini.
Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan perlu komited selama tempoh dua tahun kepada misi negara untuk mencipta 1 juta peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia, dengan gaji antara RM2,500 sehingga RM4,000 sebulan. Usaha yang sedemikian dapat mengurangkan kesan sampingan ekonomi berkait dengan Covid-19 dan memposisi kita untuk membina semula dengan asas yang lebih baik.
Berhadapan dengan krisis tiga serangkai – politik, ekonomi dan kesihatan – sekali-dalam-satu-abad, yang telah memberi kesan kepada seluruh dunia dan seolah-olah tiada penghujungnya, kerajaan sepatutnya menggunakan segala dasar awam yang tersedia sebagai alat untuk mengumpulkan sumber bagi mencipta peluang pekerjaan.
Sebelum kita mengupas lebih lanjut, kita perlu bersetuju mengenai keperluan untuk mewujudkan permintaan agar dapat memastikan kelangsungan ekonomi. 60% peratus KDNK terdiri daripada perbelanjaan pengguna. Jika permintaan pengguna menyusut secara keseluruhan, ekonomi juga akan menguncup, dan berisiko untuk terperangkap dalam kitaran negatif, yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan secara mendadak dan ketidakstabilan sosial. Oleh itu, melindungi mata pencarian para pengguna berkait rapat dengan kesejahteraan ekonomi secara menyeluruh.
Kita perlu juga sedar bahawa hanya negara-negara yang dapat mengatasi masalah Covid-19 seperti China, Vietnam, Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan, berada di tahap yang baik dari sudut ekonomi. Tetapi, berdasarkan sejarah, ekonomi negara-negara ini bergantung penuh kepada eksport ke Amerika Syarikat dan Eropah dalam tempoh setengah abad yang lalu. Jika golongan kelas menengah Amerika Syarikat menyusut lagi disebabkan jumlah kehilangan pekerjaan yang tinggi sejak lapan bulan lalu, Amerika Syarikat akan mengurangkan import mereka dari Asia. Oleh itu, ekonomi-ekonomi yang dapat mengawal Covid-19 dengan lebih baik pun akan mengalami kehilangan pekerjaan di sektor eksport dan perkhidmatan mereka, disebabkan perjalanan antarabangsa tidak lagi menjadi kecenderungan ramai dalam jangka masa panjang.
Ekonomi adalah manifestasi kolektif aspirasi setiap individu. Perbelanjaan kita bergantung kepada jangkaan kita. Sehubungan dengan itu, jika semua pemain ekonomi secara kolektif menjangkakan permintaan barangan dan perkhidmatan akan menurun, sama ada berpunca daripada penurunan eksport atau perintah kawalan pergerakan disebabkan kes peningkatan Covid-19, Malaysia berkemungkinan berhadapan penguncupan ekonomi, dan rakyat Malaysia mungkin mengalami kehilangan pekerjaan yang lebih banyak dalam bulan-bulan akan datang. Untuk penerangan yang lebih jelas, lebih ramai lagi yang akan membuat keputusan untuk tidak berbelanja sekiranya mereka menjangkakan mereka mungkin akan hilang pekerjaan dan punca pendapatan, meskipun ia belum berlaku lagi.
Menurut Perkeso, 90,000 pekerjaan telah lenyap pada tahun ini, iaitu 278% daripada tempoh yang sama pada tahun 2019. Bank Dunia menganggarkan ekonomi Malaysia bakal menguncup sebanyak 4.9 peratus pada tahun 2020 dan Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan penguncupan antara 3.5 peratus sehingga 5 peratus.
Pemberian seperti bantuan ihsan, pemberian wang tunai dan lain-lain juga mampu untuk mengatasi masalah kehilangan pendapatan dan kerajaan perlu bersikap empati berkenaan isu ini. Namun, pemberian semata-mata bukanlah penyelesaian yang sempurna dan tidak dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang. Jika kerajaan tidak bersungguh-sungguh mencipta pekerjaan menerusi dasar awam, kita akan menghadapi situasi yang lebih suram.
Memastikan rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan dan gaji yang setimpal ketika krisis adalah perkara yang penting dari segi ekonomi mahupun sosial. Peningkatan kehilangan pekerjaan selalunya akan mencipta masalah sosial dan kebangkitan golongan populis haluan-kanan. Lebih-lebih lagi, pekerjaan juga mempunyai manfaat bukan ekonomi. Ia menjadi sebahagian penting identiti, keyakinan diri dan kesejahteraan hidup seseorang.
Kita perlu menerima hakikat bahawa beberapa industri, sektor dan syarikat berhadapan saat getir ketika krisis. Contohnya, syarikat penerbangan akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum operasi mereka kembali ke tahap 2019. Pada masa yang sama, sektor pelancongan juga akan terkesan. Sekiranya kita berpeluang menyelamatkan syarikat penerbangan dan hotel, maka kita perlu berusaha sehabis baik. Tetapi, tugas yang paling penting bagi kerajaan dan masyarakat secara keseluruhan adalah untuk memastikan anak-anak kapal dan kakitangan penerbangan serta pemandu pelancong yang berisiko tinggi hilang pekerjaan berupaya menyara hidup mereka dalam dua tahun akan datang. Walaupun ia melibatkan pemotongan gaji, kita perlu berusaha untuk menyediakan kerja yang baik dengan gaji yang setimpal.
Jangan kita lupa juga kepada 500,000 rakyat Malaysia yang bekerja sebagai buruh upah murah di Singapura, Mereka menerima kurang daripada SGD2,000 sebulan. Kebanyakan mereka berada dalam sektor perkhidmatan di Singapura. Saya menjangkakan sekurang-kurangnya satu pertiga pekerja di sektor perhotelan Singapura, daripada bellboys kepada tukang masak, kebanyakannya rakyat Malaysia. Jika mereka kehilangan pekerjaan di Singapura, mereka juga akan pulang dan turut mencari pekerjaan dan pendapatan di Malaysia.
Nampaknya, kita seolah-olah mendaki bukit yang curam yang kian terhakis. Di kala juruterbang menjadi pemandu Grab, dan jika kerajaan tidak mengambil inisiatif untuk mencipta pekerjaan, situasi yang buruk akan menjadi lebih suram.
Di sini saya mahu jelaskan bahawa saya tidak bermaksud semua pekerjaan yang dicipta perlu menggunakan dana kerajaan. Apa yang saya maksudkan adalah kerajaan perlu menggunakan segala kaedah dan dasar yang tersedia sebagai alat untuk mewujudkan peluang pekerjaan.
Saya merujuk kepada ‘misi nasional’ seperti yang diketengahkan oleh pakar ekonomi, Mariana Mazzucato. Ekonomi dibangunkan bukanlah kerana kepentingan ekonomi semata-mata. Kita membina ekonomi untuk mencapai hasil yang diinginkan oleh masyarakat yang boleh dinikmati bersama. Pasaran pula perlukan orientasi dasar. Kita memerlukan “Pasaran Berorientasikan Misi”.
Misi kita pada saat yang mencabar ini adalah untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan yang boleh menampung kehidupan mereka, dan sepanjang proses ini, kita perlu membina semula dengan asas yang lebih baik. Contohnya, membangunkan sektor hijau untuk mencipta pekerjaan.
Kita tidak boleh menafikan peranan penting kerajaan mencipta beberapa pekerjaan melalui perbelanjaan mereka. Para penyelidik daripada badan pemikir progresif, Research for Social Advancement (REFSA), yang dipengerusikan oleh saya, telah berhujah bahawa kerajaan mampu dan sepatutnya mempunyai defisit belanjawan yang lebih tinggi sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan lain di seluruh dunia. Selagi perbelanjaan tersebut tidak dibazirkan atau digunakan untuk tujuan rasuah, tetapi demi mencipta pekerjaan dan pelaburan masa hadapan, kesan positif kepada ekonomi akan berlipat ganda berbanding pelaburan asal. Inilah hujah yang perlu difahami oleh agensi pengiktirafan, bukannya dengan membuat penilaian berdasarkan formula lama dengan pemikiran yang terhad menilai dasar fiskal sesebuah negara.
Hafiz Noor Sham, Felo Pelawat di REFSA mencadangkan kerajaan mengambil lebih banyak pekerja kesihatan. Kerajaan telah membelanjakan RM 1.7 bilion setakat ini untuk melawan Covid-19. Saya berpendapat jumlah ini tidak mencukupi tatkala kelangsungan ekonomi kita bergantung rapat dengan keupayaan kita mengawal Covid-19.
Perlu ada “pendekatan kerajaan menyeluruh” untuk memastikan seluruh jentera kerajaan dikerahkan untuk melawan Covid-19. Contohnya, disebabkan terdapat beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dihantar bertugas untuk membantu polis, sebahagian anggota polis boleh ditugaskan untuk melakukan pengesanan kontak rapat. Ataupun, kerajaan boleh mengupah 20,000 orang rakyat Malaysia dengan gaji RM2,500 sehingga RM4,000 untuk tempoh dua tahun untuk menjalankan tugas tersebut, secara langsung atau melalui syarikat kontrak yang aktif dalam sektor perkhidmatan, yang sekarang masih terhenti operasinya.
Peranan syarikat dalam situasi ini bukanlah untuk mengaut keuntungan atau mendapat jaminan (bailout), tetapi sebagai pengatur tenaga kerja yang cekap. Dengan menerima latihan dalam jangka masa yang pendek, pemandu pelancong ataupun anak-anak kapal penerbangan dapat melaksanakan pengesanan kontak, atau membantu menguruskan kemudahan kesihatan sementara.
Mereka yang lebih mahir dalam kalangan pekerja-pekerja ini harus diserap sebagai tenaga kerja dalam perancangan jangka panjang bagi membina sistem penjagaan yang lebih komprehensif seperti pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas. Usaha yang sedemikian dapat meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja di Malaysia dan sebagai langkah persediaan untuk Malaysia berhadapan masyarakat yang semakin berusia.
Tetapi, peranan utama kerajaan adalah untuk menggunakan kesemua dasarnya sebagai alat untuk mencipta pekerjaan buat rakyat Malaysia. Berikut adalah tiga contoh:
Tentunya, ini adalah sebahagian daripada contoh yang ada. Jika kita fikirkan bersama-sama dan bereksperimen sebagai sebuah negara, pasti akan ada banyak cara lain bagi kita mencipta pekerjaan untuk rakyat tempatan dengan gaji RM2,500 hingga RM4,000. Saya menekankan tahap gaji ini kerana sekiranya kita dapat menampung pekerjaan secara besar-besaran pada tahap ini, kita dapat menjana permintaan dalam negara yang kukuh. Apabila digabungkan dengan proses automasi dan usaha ke arah penggunaan teknologi yang lebih canggih, kita akan berupaya mencipta lebih banyak pekerjaan dengan gaji yang tinggi apabila ekonomi global kembali pulih selepas Covid-19 kelak. Gabungan gaji yang setimpal dan automasi adalah langkah yang tepat untuk kita maju ke hadapan.
Saya juga menggunakan contoh tahap gaji RM2,500 hingga RM4,000 kerana ia kadar yang munasabah bagi majikan, sama ada di sektor awam atau swasta. Ia juga tawaran gaji yang akan menarik minat rakyat Malaysia untuk memohon pekerjaan. Malah, rakyat Malaysia bekerja sebagai buruh murah di Singapura, berpendapatan kurang daripada SGD2,000 (RM 6,000) pun sanggup pulang ke Malaysia demi dua pertiga gaji mereka sebelum ini, memandangkan gaya hidup yang lebih berpatutan.
Sudah sampai masanya kerajaan mendorong industri memahami perkara ini: Kemajuan itu bermaksud kita semakin kurang menggunakan tenaga buruh dan lebih banyak menggunakan mesin: kemajuan atau keuntungan tidak sepatutnya dibina atas kudrat manusia (pekerja asing tidak berkemahiran) yang dikerah seperti mesin. Ramai yang mempercayai bahawa rakyat Malaysia tidak berminat bekerja dalam sektor 3D. Hakikatnya, beratus ribu rakyat Malaysia bekerja dalam sektor 3D di Singapura. Persoalannya adalah hal gaji.
Sudah tiba masanya rakyat memberikan sepenuh perhatian kepada usaha penciptaan peluang kerja untuk rakyat Malaysia. Tiada lagi cara lain untuk merealisasikan semangat #kitajagakita selain daripada mencipta peluang pekerjaan buat semua rakyat Malaysia.
Saya menyeru kerajaan supaya bertindak lebih berani dan bersungguh-sungguh dalam hal ini.
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!