

Berbanding pengenaan cukai durian runtuh, kemakmuran dapat dikongsi dengan memberi peluang kerja kepada rakyat Malaysia bagi menggantikan pekerja asing.
Berikutan wabak Covid-19, pembuat sarung tangan telah menyaksikan keuntungan dan nilai saham mereka melonjak dengan begitu tinggi sepanjang beberapa bulan lalu. Akibat durian runtuh ini, kita tentunya berharap mereka dapat berkongsi kemakmuran tidak dijangka ini bersama masyarakat terbanyak. Suatu cukai istimewa pastinya menjadi pendekatan yang paling mudah dan cepat, namun ia juga tidak berpandangan jauh.
Apa yang jelas, wabak ni terjadi di luar kawalan pembuat sarung tangan. Mencukai mereka hanya kerana bernasib baik tentunya tidak adil, dan akan mengekang pelaburan di masa akan datang, bukan sahaja kepada pengusaha asing bahkan dalam negeri. Sektor swasta yang berdaya maju memerlukan persekitaran pengawalseliaan yang stabil dan boleh dijangka. Cukai durian runtuh sama sekali berlawanan dengan hal tersebut.
Apa yang boleh dikawal para pembuat sarung tangan ialah cara mereka merangka proses pembuatan. Di sini, mereka telah memilih model yang bergantung kepada buruh asing kos rendah. Keuntungan secara tiba-tiba ini justeru memberi faedah kepada pemegang saham, manakala majoriti pekerjanya menghantar pulang sebahagian besar pendapatan mereka kembali ke negara asal masing-masing. Sejumlah kecil daripada keuntungan itu kembali kepada masyarakat Malaysia, dan itu juga tidak adil.
Pun begitu, ada pendekatan yang lebih baik dan lestari untuk memastikan aktiviti korporat yang berkeuntungan dapat memberi faedah kepada masyarakat, iaitu dengan memberi peluang pekerjaan yang lebih baik kepada warganegara. Ekonomi negara memerlukan sektor pembuatan untuk mengurangi kebergantungan terhadap pekerja asing. Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar kerajaan menggunakan segala peralatan polisi yang ada untuk memberi pandu arah kepada industri sarung tangan supaya mengautomasi dan menggaji rakyat Malaysia. Ini akan menganjur ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih sihat untuk jangka masa panjang, sambil memastikan kemakmuran yang bertambah ini dapat dikongsi dengan lebih ramai rakyat Malaysia.
Dengan upaya memberi insentif kepada sektor pembuatan sarung tangan untuk mengautomasi, dan pendekatan polisi untuk memahalkan penggajian pekerja asing, kerajaan dapat membimbing industri sarung tangan mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia pada kadar upah RM2500 – RM4000 untuk beberapa tahun mendatang melalui program ‘automasi+Malaysianisasi’.
Pendekatan ini juga adalah bertepatan dengan kepentingan pembuat sarung tangan. Hanya dalam masa beberapa bulan, mereka telah berdepan dengan risiko kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang begitu besar, bersekali dengan larangan eksport akibat kondisi tenaga buruh dan yang terkini kluster Teratai. Eksekutif dan pengarah-pengarah mereka mempunyai tanggungjawab fidusiari untuk menangani risiko-risiko terbabit, dan penciptaan peluang kerja untuk diisi rakyat Malaysia boleh menjadi satu bentuk ujian kepada cadangan-cadangan mereka untuk menyelesaikan masalah ini. Pada akhirnya, ia akan membawa kepada satu kitaran yang baik untuk semua pihak.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!