
Teks Ucapan RUU Perbekalan 2021
- 21 Disember 2020
- Ekonomi, Keselamatan

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih mengenai isu kesesakan penjara yang diangkat oleh Tan Sri Yang di-Pertua. Saya dan rakan-rakan yang terlibat melihat Tan Sri Yang di-Pertua telah memberi suntikan nafas baharu mengenai peranan Dewan Negara dan berharap ini adalah satu permulaan yang baik di mana Dewan Negara boleh memainkan fungsi yang penting dalam membantu kerajaan atau badan eksekutif menjalankan tugas-tugas mereka, terutamanya dalam keadaan Covid-19 dan selepasnya.
Covid-19 telah mengubah keadaan, bukan sahaja di negara kita, tetapi di seluruh dunia. Banyak isu yang kita abaikan dahulu seperti isu kesesakan penjara, memerlukan idea baharu kerana dalam kalangan pesakit positif Covid-19, 10 peratus daripadanya merupakan kes penjara dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara.
Ini suatu masalah yang perlukan perhatian kita dan menurut Tan Sri Yang di-Pertua, satu Jawatankuasa bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan ditubuhkan. Kita menuggu Menteri di Jabatan Perdana Menteri membentangkan usul di Dewan Rakyat dan Dewan Negara demi kesejahteraan rakyat . Saya rasa ini satu perkembangan yang baik.
Kita dalam keadaan politik yang agak mengelirukan, apa yang penting adalah semangat dwi-partisan dalam menyelesaikan masalah bersama dan pendekatan ini perlu diperluaskan lagi. Saya berharap Dewan Negara dibawah kepimpinan Tan Sri Yang di-Pertua boleh menjadi pengasas untuk mempromosikan idea bahawa ahli-ahli politik dan juga pemimpin negara memerlukan satu budaya baharu yang membentuk kerjasama atas dasar isu.
Kita memang ada perbezaan parti, ideologi dan idea, tetapi apa yang penting adalah isu-isu yang kita hadapi, terutamanya isu Covid-19, adalah isu yang perlu ditangani bersama dan rakyat memerlukan kerjasama di antara kita, tanpa mengira parti politik, bagi menyelesaikan masalah dan membawa idea baharu pasca Covid-19.
Saya ingin juga sentuh tentang isu LCS (Littoral Combat Ship). Isu ini telah saya bawa pada bulan September, dan saya difahamkan sekarang ini bahawa PAC sedang menjalankan siasatan. Manakala, Kementerian Pertahanan telah melaporkan kes ini kepada SPRM, dan siasatan telah dijalankan. Saya mohon kepada Kementerian Pertahanan untuk memberikan penjelasan dan juga memaklumkan kepada Dewan ini status siasatan SPRM.
Kes perolehan LCS ini melibatkan sekurang-kurangnya RM1 billion yang diragui kedudukannya. Saya difahamkan bahawa satu audit forensik telah dijalankan oleh syarikat Boustead, tetapi ia hanya merangkumi tempoh masa hanya sehingga tahun 2014. Saya berharap pihak kerajaan dapat menjelaskan di sini sama ada fakta ini betul ataupun salah. Sekiranya betul, saya berharap kerajaan dapat jelaskan juga mengapakah audit tersebut terhad sehingga tahun 2014, dan bukan sehingga tahun 2019.
Pada 2 hari bulan Disember tahun lepas, mantan Menteri Pertahanan Saudara Mat Sabu telah membentangkan Kertas Putih Pertahanan. KPP itu telah diterima secara bipartisan. Ketua pembangkang pada masa itu merupakan menteri pertahanan sekarang, dan beliau sudahpun janji untuk teruskan KPP dan menggunakannya sebagai panduan untuk pembaharuan pertahanan negara.
Di bawah naungan KPP, terdapat tiga pelan pelaksanaan yang perlu dibincangkan dan diuruskan. Pertama ialah Pelan Pelaburan Pertahanan Negara, kedua ialah Dasar Industri Pertahanan Negara, dan ketiga ialah Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan.
Mungkin secara umum perkara ini tidak diketahui, tetapi pembelian aset-aset pertahanan tidak terhad dalam rangka tempoh tahun lima tahun setiap Rancangan Malaysia. Sebaliknya, mana-mana aset lazimnya akan melalui kitaran hidup sepanjang 20 tahun, di mana ia akan memerlukan maintenance dan human capital secukupnya dalam tempoh tersebut. Oleh itu, apa-apa bentuk perancangan perlu melangkaui sekurang-kurangnya jangka masa 10 tahun, mungkin 20 tahun.
Pada Hari Ulang Tahun ke-87 Angkatan Tentera Malaysia, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Affendi bin Buang TUDM telah menjelaskan dalam ucapannya tentang penelitian semula pelan-pelan pembangunan keupayaan pertahanan. Strategi Ketenteraan Negara ataupun SKN akan disemak semula agar ia selaras dengan suasana strategik semasa yang telah dijelaskan dalam KPP. Berdasarkan SKN yang baharu ini, pelan pembangunan keupayaan bersepadu ataupun joint capability development plan akan dihasilkan juga.
Jadi, saya cadangkan kepada Kementerian Pertahanan supaya menggariskan ketiga-tiga pelan ini. Yang pentingya, ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM perlu bersepadu ataupun jointness. ATM tidak lagi boleh beroperasi secara berasingan. Apa yang kita hadapi sekarang dalam suasana strategik kita tidak sama lagi dengan apa yang dihadapi dahulu. Sebelum ini, mungkin fokus kepada Tentera Darat sudah mencukupi, tetapi sekarang ini kita memerlukan kebersepaduan yang lebih tinggi, melaksanakan operasi bersama, dan memegang kepada strategic picture ataupun gambaran strategik yang bersama untuk menghadapi cabaran yang akan datang, termasuk dari Laut Cina Selatan.
Laut Cina Selatan merupakan satu medan yang memerlukan lebih perhatian daripada ahli-ahli Parlimen dan Kerajaan supaya kita dapat mengatasi apa-apa sahaja cabaran yang mungkin kita hadapi pada masa hadapan.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!