

Kurangkan Kekerapan Cabutan khas Ramalan Nombor 4-digit
Saya mulakan dengan isu spesifik mengenai cabutan khas. Isu ini sudah saya bangkitkan sejak menjadi ahli Dewan Rakyat. Selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran, kami ada membuat perubahan. Ini adalah satu subjek yang saya harap boleh dikembalikan kepada pengurusan yang lebih baik di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
Cabutan khas ini bermula pada tahun 1999 untuk membantu mangsa wabak virus Nipah. Kerajaan ketika itu membuat keputusan bahawa pampasan bagi mereka yang terlibat dalam krisis kesihatan Nipah diberikan daripada cabutan khas 4-digit. Kutipan cabutan khas ini disalurkan kepada keluarga mangsa.
Selepas itu, cabutan khas dijadikan pendapatan tambahan kerajaan melalui cukai. Setiap tahun ada 156 hari cabutan biasa dan, 22 hari cabutan khas yang menyaksikan kerajaan mendapat kutipan tambahan.
Pandangan saya yang datang daripada keluarga miskin, aktiviti perjudian perlu dikurangkan supaya mereka yang ketagih dengan aktiviti judi dapat dikurangkan dan tidak mempunyai peluang untuk berjudi begitu banyak.
Sejak tahun 2008, setiap tahun cabutan khas akan diadakan sebanyak 22 kali. Saya dimaklumkan, pada tahun 2017, kerajaan telah mengutip sebanyak RM 238 juta melalui cabutan khas ini. Pada 2019, di bawah kerajaan Pakatan Harapan, cabutan khas ini telah dikurangkan kepada 11 kali setahun. Kerajaan Pakatan Harapan telah mengurangkan cabutan khas ini kepada lapan kali setahun pada tahun 2020. Tetapi, pada 2021, cabutan khas ini telah dikembalikan kepada 22 kali setahun dibawah kerajaan Perikatan Nasional.
Saya menyarankan kerajaan agar kembali kepada keputusan untuk mengurangkan cabutan khas kepada lapan kali setahun seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020. Lebih baik cabutan khas ini dikurangkan sehingga sampai satu masa, tiada lagi cabutan khas dilakukan walaupun untuk satu hari. Perkara ini penting bagi memastikan kerajaan tidak mengutip cukai tambahan melalui judi cabutan khas.
Dalam aspek ini, kerajaan sebenarnya sedang mengutip cukai daripada golongan bawahan yang seringkali mencuba nasib mereka dalam aktiviti judi.
Majoriti yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini juga merupakan golongan B40. Mereka mencuba nasib dalam aktiviti judi dengan harapan akan memperoleh habuan lumayan. Ramai dalam kalangan mereka yang ketagih judi dan ini mengakibatkan masalah-masalah sosial yang lain. Mereka ini akan terus menerus mencuba nasib dengan cabutan khas.
Rancangan Malaysia Ke-12
Saya ingin menyentuh tentang aspek Kementerian Kewangan. Minggu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed hadir ke parlimen untuk memberikan taklimat RMK12 kepada ahli Dewan Negara. Beliau telah berjanji bahawa beliau akan mengadakan sesi taklimat kepada ahli parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersama Menteri Kewangan setiap bulan.
Saya berharap kerajaan bersedia, khususnya Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk memberi taklimat kepada ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara lebih kerap, sekurang-kurangnya sekali sebulan kerana kita menghadapi krisis ekonomi yang luar biasa dan tidak pernah dilalui negara.
Krisis hari ini tidak akan selesai, mungkin sehingga vaksin disalurkan kepada 80 peratus rakyat Malaysia yang mengambil masa hampir setahun untuk diselesaikan. Apa yang penting, krisis ini dapat diuruskan berdasarkan kemampuan kita mengendalikan isu-isu yang memerlukan kerjasama daripada kementerian dan ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 24 Feb 2023·
Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!