

Saya bangkit pada hari ini untuk membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2020.
Saya ingin memaklumkan kepada Dewan Negara bahawa sekarang ini, kita menghadapi dua krisis, iaitu Covid-19 (Kesihatan) dan ekonomi. Kedua-dua perkara ini saling kait-berkait antara satu dan yang lain. Jika kita tidak dapat menyelesaikan krisis Covid-19, ekonomi tidak akan pulih.
Sejak dua minggu yang lalu, saya berpandangan bahawa negara sudah sampai pada tahap/titik kritikal, di mana Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham memberitahu bahawa kapasiti hospital tidak mencukupi untuk menampung pesakit Covid-19. Mereka yang didapati positif Covid-19 diminta kuarantin di rumah kerana sistem perkhidmatan kesihatan berhadapan isu ‘overload’.
Kita dalam satu masa yang kritikal. Kes Covid-19 kian bertambah dan tidak menunjukkan pengurangan bagi dua hingga tiga minggu akan datang. Meskipun vaksin akan sampai pada bulan Februari 2021, tetapi ia akan memakan masa yang panjang. Mungkin, dalam setengah tahun, kita hanya mampu memberi vaksin kepada 75 peratus kepada rakyat negara kita.
Jika terdapat 75 peratus rakyat divaksin, mungkin kita ada ‘herd immunity’. Tetapi, ‘herd immunity’ ini juga mempunyai kos yang perlu ditanggung seperti rakyat tempatan akan mendapat vaksin tetapi sempadan negara kita masih tidak boleh dibuka sehingga seluruh masyarakat global divaksinkan. Inilah keadaan yang bakal dihadapi dan kita perlu bersedia menghadapi kedua-dua krisis ini sekurang-kurangnya setahun, sepanjang 2021.
Kita perlukan semua rakyat Malaysia, terutamanya kerajaan dan pemimpin negara, termasuk ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat, untuk mewujudkan persepsi dan persefahaman bahawa kita masih lagi berada dalam krisis dalam tempoh sembilan bulan atau setahun lagi.
Persediaan minda penting kerana kita perlu peruntukan-peruntukan kewangan yang dipersetujui bersama. Tetapi, kebergantungan kepada peruntukan kewangan tidak akan menyelesaikan semua masalah. Peruntukan kewangan tanpa kerjasama, tanpa perubahan dalam cara kita bekerja, tanpa pendekatan yang diperlukan atau tanpa ada idea pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat, tanpa krisis ‘mood’, maka kita tidak akan berjaya menyelesaikan cabaran yang sedang kita hadapi.
Saya mencadangkan agar kerajaan dan Dewan yang mulia ini bersedia untuk menghadapi krisis yang panjang. Kita bukan sahaja perlu bersedia untuk menghadapi krisis akan datang, tetapi perlu berfikir bersama bagaimana kita dapat membina semula asas yang lebih baik (build back better). Ini merupakan slogan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) bahawa kita harus build back better. Kita pernah mengalami kerosakan dan keadaan tidak baik dengan musuh tidak kelihatan sebelum ini, tetapi apabila kita kembali, kita harus kembali dengan keadaan yang lebih baik.
Saya ingin bangkitkan beberapa isu untuk mendapat maklum balas dan kerjasama melalui pendekatan kerajaan menyeluruh. Pertama, ujian saringan Covid-19. Kita sudah berhadapan dengan krisis ini selama sembilan bulan, tetapi kapasiti untuk melakukan ujian saringan masih tidak bersepadu antara sektor kerajaan dan swasta. Tahap atau jumlah saringan masih rendah.
Kerajaan perlu melipat gandakan ujian saringan setiap hari supaya kita dapat kurangkan penularan wabak ini. Lebih banyak pengesanan dibuat melalui peningkatan ujian saringan Covid-19, maka ia akan melancarkan targeting approach. Jika tidak, kerajaan tidak boleh mengawal penularan wabak Covid-19 secara berleluasa.
Kedua, penjelasan mengenai vaksin perlu dipertingkatkan supaya kita mempunyai rancangan untuk memaklumkan pengagihan vaksin seawal mungkin. Dua isu yang penting atau lokasi kes Covid-19 ialah penjara dan tempat tinggal pekerja asing. Kedua-dua isu ini perlukan lebih banyak usaha bersepadu setiap kementerian yang berkaitan.
Dalam isu pekerja asing, pemikiran yang baharu diperlukan. Kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini tanpa sebuah idea yang baharu. Buat masa ini, syarikat paling untung adalah seperti Top Glove dan yang lain-lain. Namun, reputasi mereka sekarang tercalar kerana gagal menyediakan kediaman pekerja asing yang selamat dan kondusif sehingga mencetuskan penularan Covid-19 yang lebih tinggi.
Bagi mengakhiri ucapan ini, saya menyarankan kerajaan menggunakan peluang ini untuk menggalakkan syarikat tempatan mewujudkan pekerjaan dengan memberi gaji antara RM 2,500 hingga RM 4,000 sebulan, supaya anak tempatan diberi peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dan mereka yang hilang pekerjaan dapat bekerja semula.
Kalau pekerja asing ini dapat dikurangkan secara berperingkat dengan perancangan yang jelas, negara kita boleh mewujudkan lebih banyak pekerjaan buat warga tempat di sektor pembuatan.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!