Rancangan Malaysia ke-12: Masa untuk Memacu Negara ke Arah Pertumbuhan Dinamik

Saya menghargai kesudian Datuk Seri Mustapha Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, untuk memberi taklimat kepada Presiden Dewan Negara Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Ahli-ahli Dewan Negara mengenai kerangka Rancangan Malaysia ke-12 pada 22 Disember 2020. Begitu juga dengan Dato’ Saiful Anuar Lebai Hussen, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), yang ikhlas mahu mendengar maklum balas kami. RMK12 akan dibentangkan kepada Parlimen pada bulan Mac 2021.

Mustapha telah berjanji kepada Ahli-ahli Dewan Negara bahawa beliau dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz akan hadir ke Parlimen untuk memberi penjelasan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengenai keadaan ekonomi semasa sekerap sekali sebulan bulan bermula dari 2021. Mengambil selangkah lebih ke hadapan, saya mahu pihak kerajaan mempertimbangkan untuk menjadikan sesi-sesi ini lebih ‘rasmi’ melalui Jawatankuasa Dewan dan atau Jawatankuasa Bersama Dewan Rakyat-Dewan Negara, yang belum pernah dicuba dalam sejarah parlimen negara. 

Sebarang bentuk Pejabat Belanjawan Parlimen yang mempunyai kakitangan sokongan yang baik akan membawa perubahan besar dalam mempersiapkan Ahli-ahli Parlimen di kedua-dua Dewan untuk menghasilkan perbahasan ekonomi yang lebih bermakna. Idea Pejabat Belanjawan Parlimen diusulkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada Januari 2019 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Saya memberitahu Mustapha bahawa semoga jangkaan saya ini tidaklah benar – saya merasakan bahawa RMK12 dalam bentuknya sekarang, menggunakan pendekatan linear dalam memikirkan perihal pembangunan ekonomi. Sebaliknya, kita memerlukan pendekatan yang dinamik untuk memastikan negara mengatur diri untuk bangkit, supaya kita tidak hancur di saat negara lain meningkat maju lebih jauh dan mengatasi kita.

Sebagai contoh, jika kadar pertumbuhan purata dalam dua puluh tahun terakhir KDNK per kapita untuk Malaysia dan Singapura kekal malar, kita memerlukan 1,600 tahun untuk menyamai tahap Singapura. Kata-kata Keynes “in the long run we are all dead” terlintas di fikiran. Sebaliknya, dengan perhitungan yang sama, Vietnam dapat mengatasi kita pada akhir abad ini.

Sebaliknya, apakah bentuk ekonomi dengan pertumbuhan dinamik? Empat puluh tahun yang lalu, Shenzhen adalah sebuah perkampungan nelayan yang kecil dan tidak dikenali. Antara sela masa tersebut, KDNK per kapita Shenzen meningkat 56 kali ganda, dan KDNK keseluruhannya mengatasi Hong Kong pada tahun 2018. Kalau ada yang telah meramalkannya dua puluh tahun yang lalu, mereka mungkin dipanggil terlalu optimis.

Atas beberapa sebab, saya berpendapat bahawa kita harus berusaha untuk menyamai tahap Singapura, yang bermaksud KDNK Malaysia per kapita “hanya” perlu tumbuh sebanyak lima kali ganda. Sekiranya kita dapat menggandakan kadar pertumbuhan tahunan purata dua puluh tahun terakhir, kita boleh mencapainya dalam tempoh lima puluh tahun.

Adakah saya terlalu optimis? Mungkin juga. Tetapi dengan memberi tumpuan kepada cita-cita yang sedemikian tinggi, kita dapat mencetuskan pemikiran yang lebih bercita-cita tinggi dan kreatif terhadap ekonomi kita. Resepi lama tidak lagi berkesan untuk menjana pertumbuhan ekonomi untuk semua, dan krisis Covid-19 telah menunjukkan betapa rapuhnya beberapa aspek ekonomi negara. Kita mesti bertindak dengan cara yang berbeza. Bak kata pepatah, ‘gila itu ertinya melakukan perkara yang sama berulang kali, tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.’

Sudah tentu lima puluh tahun juga merupakan “jangka panjang,” tetapi manfaat pertumbuhan yang lebih tinggi akan mulai bertambah kepada rakyat bahkan dalam tempoh beberapa tahun sahaja, dalam bentuk infrastruktur yang lebih baik, pekerjaan yang lebih baik dengan gaji tinggi, pendidikan yang lebih baik dan sebagainya.

Kegagalan bukanlah pilihan. Bertindak menonong seperti yang dilakukan selama dua dekad terakhir ini hanya akan memperburuk realiti saat ini: rakyat Malaysia memilih untuk berhijrah ke luar negera untuk mencari peluang yang lebih baik. Seramai 500,000 bekerja di Singapura sebagai buruh murah dengan gaji SGD2,000 ke bawah. Beribu-ribu juga merantau ke Seoul untuk bekerja sebagai buruh dan mungkin berpuluh-puluh ribu lagi bekerja memetik buah atau bekerja di tapak pembinaan – kebanyakannya tanpa izin sah – di Australia. 

Sambil rakyat Malaysia meninggalkan tanah air, negara mengisi ruang itu dengan pekerja asing yang bersedia menerima gaji yang jauh di bawah tahap sara hidup di Malaysia kerana mereka menghantar pulang sebahagian besar pendapatan mereka. Ramai juga yang tinggal dalam keadaan perumahan seperti hamba. Tingkah laku refleksif ini menghilangkan insentif bagi ekonomi untuk meningkatkan produktiviti dan juga pembayaran gaji. RMK12 harus meletakkan persoalan mengenai pekerjaan sebagai tajuk utama. Kerajaan mesti mengambil semua langkah untuk menggantikan berjuta-juta pekerjaan dengan nilai tambah dan gaji yang rendah, dengan pekerjaan yang lebih baik, dan membayar antara RM2,500 hingga RM4,000 untuk pekerjaan separa mahir, dengan produktiviti digandakan melalui automasi. Dengan ini, pekerja lain yang lebih sofistikated juga akan dibayar lebih tinggi.

Agenda asas lain untuk meningkatkan pendapatan isi rumah adalah mendorong dan menolong wanita menyertai tenaga kerja dan terus berada dalam tenaga kerja setelah melahirkan anak. Sebagai contoh, daripada hanya membicarakan hal “keusahawanan” dalam kalangan masyarakat Bumiputera semata-mata, cara paling cepat untuk memperkasakan dan meningkatkan pendapatan mereka adalah dengan membantu golongan wanita untuk kekal sebagai tenaga kerja selama mungkin. Keluarga Bumiputera berpendapatan rendah atau sederhana, dengan sokongan yang betul dalam bentuk penjagaan kanak-kanak dan perkhidmatan penjagaan usia, boleh menggandakan pendapatan berbanding hanya bergantung kepada pendapatan tunggal. Adakah ini hampir pasti merupakan cara paling cepat untuk meningkatkan pendapatan isi rumah? Sudah tentu, ekonomi perlu mewujudkan pekerjaan menarik dan berbaloi.

Walaupun tumpuan diberikan kepada KDNK per kapita, ia merupakan kayu ukur yang tidak tepat yang tidak menangkap pengagihan pendapatan merentas populasi. Oleh itu, ada persoalan lebih lanjut yang saya rasa mesti ditangani oleh RMK12 – tetapi saya tidak pasti kerajaan sudah bersedia. Persoalannya ialah sama ada kita ingin terus mahukan sebuah masyarakat ‘berbentuk piramid’ daripada segi pendapatan, di mana bahagian bawahnya besar, atau apakah kita akan merancang dasar-dasar untuk membetuk masyarakat berbentuk ‘berlian’, di mana bahagian tengahnya adalah yang terbesar. Kita harus berfikir sejajar dengan T20-M60-B20, menjauhi pengkategorian T20-M40-B40 semasa.

Sebagai tambahan, supaya RMK12 tidak tersasar, kita mesti menghadapi kenyataan: Malaysia kebanyakkannya bandar dan kita perlu membuat perancangan sewajarnya. Hampir 80 peratus rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar sementara lebih daripada 70 peratus orang Melayu adalah penduduk bandar. Untuk terus menganggap orang Melayu sebagai penduduk luar bandar adalah tidak realistik.

Sebagai contoh, wang persekutuan biasanya diedarkan ke negeri-negeri dalam bentuk ‘geran per kapita’, tetapi pengaturan seperti itu, misalnya, akan meminggirkan Johor Selatan daripada infrastruktur yang mencukupi seperti bilik darjah dan katil hospital, serta infrastruktur lain. Hari ini, seluruh negara bertumpu di Kuala Lumpur dan Johor Selatan diikuti koridor Pulau Pinang-Kulim, untuk mencari pekerjaan.

Oleh yang demikian, saya bimbang tidak ada seorangpun di puncak kuasa yang mempunyai idea segar tentang bagaimana menguruskan bandar-bandar kita dan merancang infrastruktur pengangkutan jangka panjang, terutama dalam konteks pasca-Covid-19 yang telah banyak mengubah cara kita bekerja. 

Melihat kepada sifat luar bandar dan separa bandar di Johor Utara dan Tengah, strategi ekonomi yang berbeza diperlukan. RMK12 mungkin perlu mengajukan pertanyaan yang sukar: adakah kita akan terus bergantung kepada minyak sawit untuk tempoh sepuluh tahun akan datang atau adakah kita akan menyeimbangkan dengan lebih banyak aktiviti pertanian yang pada masa yang sama akan memperkuat keselamatan makanan negara?

Wujud satu lagi percanggahan “terbina” yang saya tidak pasti dapat ditangani oleh RMK12. Rancangan 5 tahun sebagai alat perancangan dasar ini ditugaskan kepada Unit Perancang Ekonomi untuk digarap. Kuasa sebenar EPU adalah kekuatannya dalam memutuskan bagaimana memperuntukkan perbelanjaan pembangunan. Walaupun EPU dapat merangka dokumen rancangan yang begitu cantik, tidak semua kementerian/jabatan mematuhi bahagian yang lebih konseptual dalam Rancangan terbabit. Tetapi Malaysia tidak boleh berkembang melalui pelaburan infrastruktur perkakasan. Idea dan dasar perlu dirombak namun EPU mungkin tidak mempunyai pengaruh yang mencukupi untuk memastikan ia berlaku.

Saya juga bimbang dengan cabaran-cabaran berikut:

Pertama, reformasi institusi

Rasuah adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan oleh RMK12. Cara mereformasi institusi untuk mengelakkan kerosakan, kelembapan dan isolasi adalah sangat penting.

Begitu juga, idea ‘kerajaan adalah masalah bukan penyelesaian’ yang diilhamkan oleh Reagan/Thatcher harus dibuang jauh. RMK12 harus merebut peluang untuk menakrifkan semula peranan kerajaan sebagai peserta penting dalam ekonomi. Tetapi kita memerlukan kerajaan yang pintar. Tapak mula yang baik adalah dengan kerajaan menetapkan ‘misi’ yang jelas sesuai dengan objektif masyarakat yang luas, seperti yang dijelaskan oleh Mariana Mazzucato.

Kedua, sektor pertahanan dan keselamatan

Sebagai mantan Timbalan Menteri Pertahanan, saya ingin pihak kerajaan memikirkan pendekatan keseluruhan kerajaan terhadap aspek keselamatan. Pengajaran utama daripada Covid-19 adalah supaya kita tidak mengambil mudah. Kemalangan, pandemik, ancaman keselamatan dan sebagainya memang akan berlaku.

Salah satu cabaran yang dihadapi oleh Angkatan Tentera Malaysia adalah bahawa perolehan pertahanan tidak sesuai dengan rancangan lima tahun. Sebilangan besar aset memerlukan masa bertahun-tahun untuk diperoleh dan perlu mengambil kira penyelenggaraan sepanjang hayatnya, yang biasanya merangkumi dua puluh hingga tiga puluh tahun.

Saya harap Kerajaan akan mengkaji keperluan pertahanan/keselamatan dengan pandangan jangka panjang. Perubahan besar dalam industri pertahanan adalah satu keperluan dan juga berpontensi menjadi pemangkin ekonomi yang tidak boleh kita tinggalkan.

Ketiga, Sabah, Sarawak dan negeri-negeri

Penyahpusatan dan pembahagian beberapa kuasa dan tanggungjawab yang dipegang ketat oleh Kerajaan Persekutuan harus dipertimbangkan dengan serius. Tiba masanya untuk dibahagikan, misalnya, fungsi kesihatan dan pengangkutan kepada negeri-negeri.

Keempat, keadilan sosial digital

Kita mungkin harus menerima bahawa akses internet sebagai hak asasi yang baharu, seperti akses kepada udara bersih, air, jalan raya dan lain-lain, untuk mengelakkan kemungkinan hilangnya peluang pendidikan kepada generasi Veveonah Mosibin. Covid-19 mendedahkan dengan jelas jurang digital di negara ini. Sudah tentu, air, jalanraya, dan juga laluan keretapi masih memerlukan perhatian.

Kelima, perubahan iklim, infrastruktur hijau dan pekerjaan hijau

Saya berharap RMK12 memberi komitmen yang sangat jelas terhadap Matlamat Pembangunan Lestari serta sasaran iklim dan bagaimana mencapainya. Isu Hijau bukan hanya pertimbangan soal alam sekitar. Prasarana hijau dilengkapi dengan pekerjaan yang baik bagi ramai orang.

Harapnya kerajaan bersedia membincangkan beberapa perkara di atas dengan lebih mendalam dalam RMK12. Pada dasarnya, Rancangan ini harus menyedarkan pembacanya dan khalayak Malaysia yang lebih luas mengenai letak duduk Malaysia pada tahun 2025 (akhir RMK12), 2030 (akhir kerangka Dasar Kemakmuran Bersama) dan tahun 2035.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi