Politik Malaysia Perlukan Sistem Operasi (OS) Baharu

“Banyak bentuk kerajaan yang telah dicuba, dan akan terus dicuba di dunia yang penuh dengan pancaroba dan kedukaan. Tiada siapa berpura-pura mengatakan demokrasi itu sempurna atau melebihi segala-segalanya. Malah, dikatakan bahawa demokrasi adalah bentuk pemerintahan yang paling teruk berbanding semua bentuk lain yang telah dicuba dari masa ke masa.”

Winston S Churchill, 11 November 1947

Malaysia sedang mengharungi kemelut kerana kebanyakan pemimpin utama politik seolah-olah masih menggunakan Sistem Operasi (OS) lapuk Nokia 3210 untuk mengendalikan iPhone 12 Pro Max. 

Baru-baru ini, Majlis Raja-raja dan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah’s telah menyelamatkan Malaysia daripada diheret menuju malapetaka yang besar, iaitu pengisytiharaan perintah darurat. Sudah tiba masanya pemimpin politik dan rakyat sedar bahawa tiada sesiapa yang patut mencuba untuk mendominasi rakan gabungan politik mereka dan juga pihak pembangkang. Lebih-lebih lagi, tiada sesiapa yang patut memperjudikan segalanya hanya demi merealisasikan agenda peribadi mereka.

Demokrasi yang terkemuka tidak dibentuk secara sistematik menerusi buku teks, tetapi melalui pahit jerih dan keringat sepanjang proses persaingan-persaingan politik dan ketika khalayak berusaha mencari jalan-jalan penyelesaiannya. Magna Carta pada abad ke-13 merupakan piagam perdamaian antara seorang Raja yang perlu mengaut hasil cukai dengan golongan bangsawan pemberontak yang memiliki tanah. Perakuan Hak 1689, yang merupakan asas sistem demokrasi berparlimen British, adalah hasil daripada perundingan damai selepas konflik yang berpanjangan. Sistem parti moden parlimen British telah dibangunkan atas pertelingkahan di peringkat yang berbeza sepanjang era perindustrian, daripada memenuhi keperluan golongan kaya baharu di bandar berbanding golongan tuan tanah, kepada perjuangan bagi kepentingan buruh industri pada lewat abad ke-19, yang sampai kemuncaknya ketika pemerintahan Parti Buruh pertama pada tahun 1924. 

Apa yang kita perlu lakukan untuk menambah baik OS politik Malaysia?

Pengajaran pertama adalah menerima hakikat bahawa demokrasi Malaysia akan kekal dengan komposisi 50-50 dalam jangka masa yang panjang dan memastikan pihak yang kalah (lebihan 50 peratus itu) merasakan mereka dilayan secara adil.  

Baru-baru ini, Zahidi Zainul telah menyalahkan pengundi Malaysia sebagai punca keputusan 50-50 pada tahun 2018. Golongan politik dinosaur sebegini sebenarnya hanya layak diletakkan di dalam muzium sahaja. Situasi 50-50 politik Malaysia telah berlaku lebih sedekad dahulu. Pada 2008, Barisan Nasional mendapat 51% undi popular; pada tahun 2013, BN perolehi 47% dan pada tahun 2018, Pakatan Harapan hanya mendapat 48% undi popular dalam pertarungan tiga penjuru.

Dalam sejarah Malaysia, Barisan Nasional (BN) hanya memenangi pilihan raya umum melebihi 60% undi popular pada tahun 1974 (60.63%), 1982 (60.54%), 1995 (65.16%) dan 2004 (63.85%).  Bagi pilihan raya umum selebihnya, undi popular Barisan Nasional berada dalam lingkungan 50 hingga 60%.

Tetapi, parti pemerintah ketika itu telah mentadbir seolah-olah mereka mendapat 95% undi disebabkan oleh persempadanan kawasan pilihan raya yang tidak seimbang dan manipulasi sistem pilihan raya yang menyebelahi Barisan Nasional. Lebih penting lagi, pihak lawan BN pada waktu itu berpecah – DAP dan PAS, yang berada di dua spektrum politik yang berbeza dan sukar membentuk gabungan politik untuk mencabar kekuasaan BN.

Semua ahli politik Malaysia harus menerima hakikat bahawa dalam jangka masa terdekat ini tiada gabungan pemerintah yang akan memenangi undi popular melebihi 55%. Pada masa yang sama, tiada gabungan yang kalah akan mendapat undi popular kurang daripada 45%. 

Tugas utama gabungan yang menang adalah memikirkan kaedah terbaik untuk memastikan mereka yang kalah 45% hingga 50% tidak berasa patah hati. Gabungan parti yang menang perlu sentiasa beringat bahawa mereka juga mungkin akan kalah dalam pilihan raya akan datang.  

Pengajaran kedua – hegemoni UMNO sudah berakhir. Tidak ada parti yang akan memerintah tanpa rakan gabungan parti yang memiliki kekuatan yang setara dengan mereka. Peranan Perdana Menteri bukan lagi untuk mendominasi rakan parti gabungan tetapi mengembleng kerjasama menerusi sebuah gabungan yang mampu bertahan sepanjang satu penggal penuh dan berganding rapat dengan erat tanpa membuat mereka kecewa. 

Era Perdana Menteri sebagai Sang Penguasa diktator sudah berakhir. Amat menyedihkan sekali apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat mencari jalan untuk mentadbir bersama-sama sejak 2018. Jurang kepercayaan antara kedua-dua pemimpin ini telah menyebabkan suatu gabungan politik yang bermasalah. Ada antara kami yang berusaha memupuk dan meyakinkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak ketika itu. Sekiranya Mahathir menerima Anwar sepenuhnya dalam Kabinet beliau dan Anwar komited menyokong Mahathir sepenuhnya ketika pentadbiran beliau, kita mungkin mampu menghindari sebarang derita yang berlaku selepas itu.   

Muhyiddin telah mengulangi kesilapan sama, dengan kadar yang lebih cepat. Pada hari Muhyiddin membentuk Kabinet, pimpinan UMNO berasa kesal kerana tindakan mereka telah memakan diri sendiri. Kabinet Muhyiddin dibentuk atas rasa takut akan persaingan antara pemain politik dan bukan atas dasar kepercayaan dan perkongsian kuasa. Kesemua masalah yang kita lihat hari ini telah bermula sejak Muhyddin melantik jemaah menterinya. 

Kuasa tidak seharusnya berpusat ditangan seseorang Perdana Menteri. Semua parti politik di negara ini perlu mengamati OS baharu: bagaimana untuk berkongsi kuasa dalam sebuah gabungan agar rakan-rakan parti yang bukan daripada parti Perdana Menteri merasa selesa dan tidak melakukan percaturan baharu untuk merebut kuasa. 

Gencatan politik UMNO dengan Muhyiddin tidak akan kekal sekiranya Muhyiddin bertindak seperti seorang Perdana Menteri yang mengawal dua pertiga kerusi yang dimiliki gabungan mereka. 

Pengajaran ketiga adalah bagaimana hendak mentadbir bersama dengan pembangkang menerusi Parlimen. 

Pesanan ringkas yang perlu diingat oleh semua ahli politik adalah, seperti mana anda menjadi parti pemerintah pada hari ini, anda juga berkemungkinan menjadi pembangkang tidak lama nanti, dan begitulah juga sebaliknya. Namun, kitaran kuasa bukanlah alasan supaya kerajaan-kerajaan beroperasi tanpa sebarang kesungguhan. Lebih dari itu, semua kerajaan perlu mempunyai cita-cita tinggi dalam agenda mereka untuk membawa negara maju ke hadapan.  

Perkara yang paling penting adalah untuk mentadbir secara dwipartisan semampu yang boleh. 

Pelbagai dasar boleh dipertimbangkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen secara dwipartisan. Parlimen boleh menyediakan lebih banyak maklumat kepada pembangkang dalam aspek pemikiran dasar. Kerajaan dan pembangkang mungkin berbeza pendapat. Tetapi, saya boleh katakan bahawa 80 peratus daripada proses mentadbir masyarakat bergantung kepada logik akal. Kerajaan dan pembangkang boleh bersetuju atas 80% titik persamaan dan meluluskan undang-undang tersebut secara dwipartisan dan kemudiannya memperhalusi 20% yang selebihnya. Jumlah 80% ini mempunyai peluang yang tinggi untuk mencapai kesinambungan walaupun berhadapan pertukaran kerajaan.  Contoh tepat ialah Kertas Putih Pertahanan yang dibentangkan oleh mantan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada 2 Disember 2019. Ketua Pembangkang ketika itu, Ismail Sabri telah dirunding dan menyatakan sokongan ketika membahaskan Kertas Putih. Kini, beliau menyandang jawatan Menteri Pertahan dan setakat ini masih lagi komited untuk meneruskan aspirasi Kertas Putih itu.  

Walau apa pun kemudahan dan peruntukan yang diberikan kerajaan untuk ahli parlimen mereka, adalah lebih baik mereka melakukannya secara dwipartisan supaya mereka juga dapat merasai perkara yang sama apabila menjadi pembangkang.  

Rakyat Malaysia dan demokrasi Malaysia selayaknya menerima khidmat dan layanan yang lebih baik. Kecelaruan kerajaan Muhyiddin membuat cubaan pelaksanaan perintah darurat harus menyedarkan semua pihak bahawa politik Malaysia memerlukan pembaharuan dan penambahbaikan OS untuk menghadapi realiti politik baharu sejak tumbangnya kerajaan dikuasai sebuah parti seperti UMNO pada 2018 dan mengharungi krisis terulung abad ini (Covid-19) secara berkesan.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan