Kerjasama dwi-partisan pendekatan terbaik ketika darurat

Kenyataan Media Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Johor pada hari Ahad, 24 Januari 2021

1. Jawatankuasa DAP Negeri Johor telah mengadakan mesyuarat atas talian pada hari Jumaat, 22 Januari 2021 bagi membincangkan perkembangan semasa politik negara.

2. DAP Johor menggesa Menteri Besar, YAB Datuk Ir Hasni Mohammad untuk mengumumkan segera pakej bantuan kepada rakyat Johor, khususnya peniaga kecil, seperti yang telah dilaksanakan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang. 

3. Ketika berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua, kerajaan Selangor baru-baru ini telah mengumumkan pakej bantuan berjumlah RM 73.87 juta, termasuk peruntukan RM6 juta bagi meningkatkan ujian saringan bersasar Covid-19 percuma serta bantuan menggalakkan penggunaan digital kepada peniaga kecil. Pulau Pinang pula telah mengumumkan pakej bantuan sebanyak RM20 juta yang merangkumi bantuan kewangan kepada peniaga kecil dan peruntukan khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli parlimen. 

4. Dengan meletakkan syarat pelaksanaan peraturan penjarakan fizikal dan kebersihan yang ketat, DAP Johor menggesa kerajaan negeri membuka semula pasar pagi, pasar tani dan pasar malam. Jika pusat membeli-belah yang berada di ruang tertutup boleh beroperasi, tidak ada alasan untuk menutup tempat terbuka yang mempunyai pengudaraan yang baik, dan secara teorinya mempunyai risiko jangkitan Covid-19 yang lebih rendah. Kerajaan negeri tidak seharusnya meminggirkan kehidupan dan pendapatan warga Johor semasa melawan pandemik.

5. Krisis kesihatan Covid-19 kian kritikal dan kita perlu mempunyai perancangan jelas dan telus bagi membendung dan mencegah penularan jangkitan wabak, termasuk pelan membantu rakyat Malaysia yang tersepit ketika krisis ini yang dijangka akan berterusan sekurang-kurangnya sembilan hingga 18 bulan lagi.

6. Menyedari bahawa kerajaan negeri Johor merupakan pemilik hospital KPJ yang mempunyai rangkaian di seluruh negara, kami memohon kerajaan negeri menjadikan hospital KPJ di Johor sebagai hospital separa-awam buat sementara waktu untuk menguruskan usaha kawalan penularan wabak yang gagal dikendalikan oleh kerajaan persekutuan. Contohnya, kerajaan negeri boleh mengarahkan hospital KPJ meningkatkan ujian saringan atau membuat persiapan pemberian vaksin lebih awal agar Johor menjadi negeri pertama melengkapkan pemberian vaksin kepada rakyatnya.

7. Semasa persidangan Dewan Negeri pada 6 Disember 2020, YAB Datuk Ir Hasni Mohammad telah berjanji untuk membawa masuk wakil rakyat pembangkang ke dalam beberapa jawatankuasa terutamanya Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan Jawatankuasa Pilihan di peringkat Dewan Undangan Negeri Johor. Pendekatan dwi-parti baik untuk rakyat.

Sehubungan itu, DAP Johor memohon Menteri Besar menunaikan janjinya. Jawatankuasa tersebut boleh menjadi platform untuk kerjasama dwi-parti yang amat diperlukan sekarang memandangkan krisis Covid-19 kian kritikal dan berhadapan dengan perintah darurat yang diisytiharkan oleh kerajaan persekutuan.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi