Antara dua Darurat: Demokrasi tersandera 2021, tidak seperti masalah 1969

Di tengah-tengah peningkatan mendadak kes Covid-19, krisis politik yang berpanjangan di Malaysia sejak rampasan kuasa pada Februari tahun lalu berkesudahan dengan perisytiharan darurat pada hari Selasa minggu lepas, buat julung-julung kalinya sejak tahun 1969. Pada ketika itu, parlimen digantung setelah berlaku rusuhan kaum di Kuala Lumpur, yang mengorbankan hampir 200 jiwa. Parlimen hanya kembali bersidang pada tahun 1971.

Dalam keadaan darurat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya kini mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tanpa persetujuan parlimen. Ini pada dasarnya bermaksud jodoh Malaysia dengan demokrasi (sebenar) – yang hanya bermula selepas PRU Mei 2018 yang menjatuhkan satu-satunya kerajaan sejak Merdeka pada tahun 1957 – kini tersandera sepenuhnya. Jadi seterusnya apa?

Apa yang menjadi ironi adalah peningkatan mendadak kes Covid-19 memberi alasan bagi Muhyiddin untuk memusatkan kuasa eksekutif yang tidak terkekang tanpa perlu bertanggungjawab kepada Parlimen.

Darurat diisytiharkan atas nama krisis kesihatan yang semakin memburuk, yang berpunca daripada gelombang jangkitan ketiga sejak September akibat daripada sejumlah besar individu yang melakukan perjalanan semasa pilihan raya negeri Sabah. Setakat bulan Ogos, Malaysia telah sedikit sebanyak melandaikan lekuk Covid-19.

Rejim Umno-BN di bawah mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ditewaskan dalam pilihan raya 2018 kerana musuh-musuh Najib – terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang saling bertelagah sejak tahun 1998 – telah beralah dan membentuk sebuah gabungan raya.

Tetapi kerajaan Pakatan Harapan tersebut adalah secara semula jadi tidak stabil ekoran perseteruan antara Mahathir dan Anwar. Tambahan pula, parti masing-masing juga mempunyai subplot – Muhyiddin, yang pada masa itu Menteri Dalam Negeri, tidak senang dengan pentadbiran Mahathir, manakala Anwar dan anak didiknya Azmin Ali pula saling bercakaran.

Melalui apa yang kini dikenali ramai sebagai “Langkah Sheraton” pada Februari tahun lalu, Muhyiddin dan Azmin bergabung dengan parti-parti yang kalah dalam PRU 2018, iaitu Umno, PAS, dan Gabungan Parti Sarawak. Mereka membentuk sebuah gabungan lemah yang memiliki tidak lebih 114 kerusi daripada 222 kerusi di parlimen sepanjang masa ia berkuasa, yang menjadi punca kegoyahan sejak dari mula.

Muhyiddin berusaha sekuat tenaga untuk menarik sokongan secara lompat parti, tetapi tidak begitu berjaya. Ini mendorong kepada usaha agresif untuk menjatuhkan  Kerajaan Negeri Sabah dengan harapan untuk memaksa Ketua Menteri (ketika itu) Datuk Seri Shafie Apdal, yang menguasai 10 kerusi berharga di Parlimen, untuk menyerah. Shafie bertindak balas dengan membubarkan DUN pada bulan Julai, dan pilihan raya negeri diadakan pada 26 September

Musuh-musuh Shafie, iaitu parti Bersatu pimpinan Muhyiddin dan Umno, saling bertembung semasa pilihan raya negeri namun berjaya membentuk kerajaan di Sabah selepas pilihan raya tersebt dengan gabungan jumlah kerusi mereka.

Namun, pilihan raya Sabah menyebabkan Umno mula berasa benci, dan mendorong peningkatan usaha mereka untuk mengkhianati Bersatu. Umno merasakan Muhyiddin memegang jawatan semata-mata atas sokongannya di Parlimen, selain bahawa Perdana Menteri tidak melayan parti itu dengan adil.

Jaguh utama Umno, Najib dan presidennya, Zahid Hamidi – masing-masing menghadapi pertuduhan rasuah dan berharap Langkah Sheraton akan menjadi jalan keluar daripada hukuman penjara – mula bekerjasama dengan Anwar untuk menyusun rampasan kuasa di Parlimen untuk menjatuhkan Muhyiddin. Anwar mengumumkan bahawa beliau mempunyai majoriti yang “kuat, kukuh dan meyakinkan” pada 23 September.

Peningkatan kes Covid-19 ekoran pilihan raya negeri Sabah juga menimbulkan anggapan bahawa jika Muhyiddin tidak dapat segera mengadakan pilihan raya umum untuk menangani ancaman Umno, darurat harus diisytiharkan. Menjelang sidang parlimen November, Muhyiddin berusaha mengisytiharkan darurat tetapi Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan itu pada 25 Oktober setelah rundingan dengan Majlis Raja-raja.

Pada akhir Oktober ke awal November wujud peluang untuk merunding pakatan damai dalam bentuk “perjanjian keyakinan dan pembekalan” (Confidence and Supply Agreement), yang bakal menyaksikan pembangkang bersetuju dengan Belanjawan dan memberi komitmen untuk tidak menyebabkan kerajaan tumbang. Sayangnya, rasa tidak percaya di semua peringkat dan godaan untuk memerintah melalui keadaan darurat bererti kerajaan Muhyiddin tidak mempertimbangkan perjanjian terbabit, yang berpotensi mempertingkat demokrasi berparlimen ketimbang merosakkannya.

Persaingan antara parti Muhyiddin dan Umno semakin sengit pada bulan-bulan berikutnya. Pada 4 Disember, Umno dan anggota pembangkang melengser Faizal Azumu (Timbalan Presiden Bersatu) daripada jawatan Menteri Besar Perak melalui undian di DUN, yang seterusnya memperhebatkan perang terbuka dalam gabungan Muhyiddin.

Kiraan terakhir semasa sidang Belanjawan 2021 pada 15 Disember menunjukkan bahawa kerajaan Muhyiddin mendapat 111 undi sementara pembangkang memperoleh 108 undi. Beberapa Ahli Parlimen Umno mula menarik sokongan mereka kepada Muhyiddin, termasuk mantan menteri Datuk Seri Nazri Aziz, yang membuat pengumumannya pada 12 Januari – pada hari darurat diumumkan.

Pengundi Malaysia telah mengalahkan hegemoni Umno-Barisan Nasional pada Mei 2018, namun pengisytiharan darurat Januari ini adalah paku terakhir buat keranda eksperimen demokrasi itu.

Satu lagi ironi adalah apabila seorang Perdana Menteri lemah yang mendapatkan kedudukannya melalui rampasan kuasa Parlimen, dan berada di ambang kehilangan kuasa, kini memiliki kekuatan tanpa kekangan dalam keadaan darurat dan tidak perlu bertanggungjawab kepada Parlimen.

Pengumuman YDPA menetapkan bahawa darurat akan berakhir pada 1 Ogos atau lebih awal, bergantung kepada nasihat penilaian jawatankuasa bebas terhadap situasi Covid-19. Muhyiddin berjanji akan mengadakan pilihan raya umum sebaik sahaja keadaan Covid-19 reda.

Tetapi bagaimana kalau populariti Perdana Menteri semakin menjunam dan partinya tidak lagi berdaya menempuhi jalan menuju kemenangan, apakah beliau akan menyerahkan kuasanya dengan mengadakan PRU? Saya ada sedikit keraguan. Di sinilah timbulnya kebimbangan terhadap kemungkinan munculnya sebuah kerajaan autoritarian.

Pada bulan-bulan mendatang, Muhyiddin dijangka akan memerangi pemimpin Umno, terutama Najib dan Zahid, dengan cara yang lebih teratur- kerana satu-satunya cara untuk beliau menang dalam pilihan raya akan datang adalah dengan memecahkan dan menakluki Umno. Sepanjang perjalanan itu, pembangkang juga mungkin akan menjadi korban.

Sekiranya ada sesuatu yang boleh diharapkan, Malaysia pada tahun 2021 bukanlah seperti tahun 1969. Terdapat sejumlah besar pengundi atas pagar yang mempunyai harapan tinggi terhadap kerajaan dan yang tidak akan bertolak ansur dengan kembalinya pentadbiran secara hegemoni satu parti.

Walaupun Muhyiddin berusaha memutar kembali waktu melalui proklamasi darurat, rakyat Malaysia tidak akan peduli dan akan terus bergerak maju.

*Tulisan ini pertama kali diterbitkan di South China Morning Post pada 16 Januari 2021 https://www.scmp.com/week-asia/opinion/article/3117947/malaysias-two-emergencies-why-2021s-freeze-democracy-not-trouble

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi