Lantik Khairy sebagai Menteri Kesihatan

1. Saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Khairy Jamaluddin atas pelantikan beliau sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Rakyat seluruh negara bergantung kepada kejayaan beliau melaksanakan tugas tersebut.

2. Malaysia memerlukan Menteri Kesihatan yang baharu. Krisis yang kita hadapi sekarang sudah mencapai tahap amat merunsingkan. Kita tidak tahu di mana perginya Menteri Kesihatan, dan beliau dilihat sebagai tidak layak untuk mengetuai kementerian yang paling penting ketika negara sedang memerangi wabak Covid-19.

3. Tidak adil untuk kerajaan menyerahkan semua tugas, termasuk membuat keputusan dasar, kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah. Tugas KP Kesihatan adalah untuk memastikan pelaksanaan dasar Kementerian, iaitu dasar yang telah ditentukan oleh Menteri selepas rundingan bersama dengan Kabinet dan Perdana Menteri. Dalam sistem demokrasi berparlimen Westminster, Menteri perlu menggalas tanggung jawab penuh atas segala dasar yang diputuskan oleh kementerian. Jika kegagalan berlaku, Menteri dan Kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

4. Menteri Kesihatan Adham Baba perlu meletak jawatan atau ditukar kepada kementerian lain kerana gagal mengawal gelombang ketiga jangkitan Covid-19 sejak bulan September 2020 yang melonjak naik pada bulan Januari 2021.

5. Kerana kepimpinan politik Adham Baba yang lemah, KP Kesihatan terpaksa memikul hampir semua beban pengurusan Covid-19. Kita berterima kasih kepada Tan Sri Noor Hisham kerana penilaian beliau banyak membantu negara pada peringkat awalnya. Tetapi beberapa aspek pendekatan beliau sejak akhir-akhir ini, seperti beliau keberatan untuk menggunakan kit ujian pantas atau enggan menyaring kontak rapat tidak bergejala, secara tanoa sedar telah menyumbang kepada lonjakan bilangan kes.

Namun Tan Sri Noor Hisham tidak patut dipersalahkan kerana pihak eksekutif – Menteri – yang bertanggungjawab sepenuhnya. Sekiranya Menteri berkelayakan dan berkebolehan, KP Kesihatan tidak perlu pun membuat keputusan politik dan dasar yang sukar.

6. Saya telah ‘tweet’ pada minggu lepas – jika kita hendak lantik seseorang yang bukan daripada kalangan ahli politik sebagai Menteri Kesihatan, mungkin Penasihat Kesihatan Perdana Menteri Tan Sri Jemilah Mahmood boleh menjadi pilihan yang baik. Sekiranya ia memerlukan lantikan politik daripada UMNO, demi mengelakkan masalah politik, sekurang-kurangnya Khairy nampak jauh lebih berkebolehan daripada Adham Baba.

7. Secara peribadi, saya meminta Perdana Menteri untuk melantik Khairy sebagai Menteri Kesihatan. Jika kerajaan hanya memberi Khairy portfolio imunisasi tanpa sokongan penuh daripada birokrasi Kementerian Kesihatan, ia seolah-olah mahu melihat beliau gagal.

8. Rakyat Malaysia tidak mahu program imunisasi Covid-19 gagal kerana ini adalah soal hidup mati rakyat. Kita mahu Khairy berjaya dan kita sama-sama mahu Malaysia menang dalam perang melawan Covid19.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi