

Ada dua pendirian penting muncul daripada PAS hujung minggu lalu tetapi entah mengapa belum ada yang menaggapi kepentingannya setakat ini.
Pertama, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mendedahkan bahawa Langkah Sheraton telah dirangka sebaik sahaja selesai PRU14. Beliau secara asasnya memberitahu dunia bahawa PAS telah berkomplot terhadap para pengundi Malaysia sebaik sahaja mereka kalah dalam PRU14.
Sebenarnya ada dua komplot, tetapi kita harus biarkan para pengkaji sejarah untuk meneliti komplot manakah yang direncana pada waktu bila dan bagaimana mereka saling berinteraksi. Datuk Seri Najib Razak dan rakan-rakan mula bekerja sejak Julai 2018 untuk mengambil langkah populis bagi menyukarkan kerajaan Pakatan Harapan menjalankan pentadbiran.
Kesannya sangat ketara dalam pergaduhan di Seafield pada hujung November 2018 dan demonstrasi ICERD pada 8 Disember, hasil buah fikiran Najib dengan bantuan PAS yang menyediakan berbas-bas peserta. Najib si ‘bossku’ menjadi suatu persona yang baharu ketika pilihan raya kecil Cameron Highland pada Januari 2019. PAS dan Umno “bertunang” pada Oktober 2018 dan “diijab-kabul” dalam Muafakat Nasional pada Oktober 2019.
Satu lagi laluan politik aras tinggi diambil oleh Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Tujuan mereka adalah untuk menghapuskan kedua-dua Najib dan Anwar Ibrahim dengan menarik Ahli-ahli Parlimen supaya melompat ke Bersatu dan akhirnya cuba menyusun rampasan kuasa pada Oktober 2019 dengan mendorong bilangan PAS (18), GPS (18), gerombolan Hisham (17) berjumlah 53 untuk menggantikan DAP (42) dan Amanah (11) yang juga jumlahnya 53; dalam kerajaan Pakatan Harapan.
PAS ‘main dua kolam’. PAS berada dalam gabungan Muafakat bersama Umno di bawah kepimpinan Najib dan Zahid Hamidi di laluan populis; dan pada masa yang sama bekerjasama dalam komplot Azmin, Hamzah dan Hishammuddin.
Dalam satu lagi laporan berita, PAS telah mengumumkan muktamar dan pemilihan partinya tahun ini telah ditangguh sehingga selepas PRU15. Ini adalah suatu berita bersar yang saya rasakan belum difahami kepentingannya oleh pihak media. Tentu sekali PRU semakin hampir. Parti-parti lain pun telah menangguhkan pemilihan parti masing-masing tetapi bukan PAS. Ini adalah kali pertama dalam sejarah PAS bahawa pemilihan dua tahun sekali itu ditangguh. Maknanya ini bukan sahaja kerana pilihan raya sudah semakin dekat.
PAS telah terpecah antara ‘Geng Publika’ dan ‘Geng Ustaz’. Geng Publika ini menyokong Tan Sri Muhyiddin dan bekerja rapat dengan Hamzah. Publika adalah ‘war room’ Hamzah. Geng Ustaz pula adalah mereka yang mahu bekerja dengan Umno dalam konteks Muafakat Nasional. Daripada laporan yang saya terima, Hadi telah mendapat tahu bahawa Geng Ustaz ini sedang bersiap sedia untuk menjatuhkannya, atau paling tidak mengenepikannya dan diangkat sebagai Mursyidul Am serta menabalkan Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden.
Jika melihat kepada majoriti kulit bawang kerajaan Muhyiddin dan kehangatan perang saudara Umno, memang mudah untuk mengabaikan apa yang sedang terjadi di dalam PAS. Tetapi ia juga turut sama penting.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!