Hubungan Malaysia-Saudi Mesti Berlandaskan Prinsip Neutraliti

Kenyataan media bersama oleh Tn Hj Mohamad Bin Sabu dan Liew Chin Tong pada hari Selasa, 9 Mac 2021; bersempena lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu

Minggu ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melangsungkan lawatan rasminya ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Beliau telah dijemput untuk bertemu dengan Raja Arab Saudi, Yang Teramat Mulia Raja Salman bin Abdulaziz al-Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi, Yang Mulia Mohammed bin Salman bin Abdulaziz al-Saud, dan dijangkakan membincangkan beberapa perkara berkaitan hubungan Saudi-Malaysia.

Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan yang erat, tetapi pengendalian hubungan ini mestilah berteraskan prinsip neutraliti Malaysia. Malangnya prinsip ini telah diabaikan oleh Menteri Luar Negeri Perikatan Nasional, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn, enam tahun yang lalu apabila beliau secara langsung telah melibatkan Malaysia dalam operasi ketenteraan ketika Perang Saudara Yaman.

Pada April 2015, pihak Kerajaan telah melancarkan Ops Yaman 1. Operasi tersebut melibatkan dua buah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia yang diaturgerakkan ke Arab Saudi untuk membantu usaha memulangkan rakyat Malaysia di Yaman. Pada bulan Jun 2015 pula, misi kontinjen ini telah berubah kepada membantu tentera gabungan yang diketuai Arab Saudi dalam memerangi kumpulan Houthi. Fasa ini dikenali sebagai Ops Yaman 2, dan ketika itu, kru C-130 TUDM diarahkan untuk menerbangkan alat ganti, peluru, dan bahan letupan untuk angkatan Saudi dan negara-negara sepakatnya.

Dalam memo dalaman antara Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pertahanan dan Markas Angkatan Tentera, kerajaan telah dinasihatkan bahawa penglibatan ATM dalam perang di Yaman akan menjejaskan imej Malaysia di persada antara bangsa sebagai negara neutral. Malah, ia bercanggah juga dengan gerakan Global Movement of Moderates yang diangkat oleh mantan Perdana Menteri ketika itu juga. 

Selain itu, atur gerak unit tersebut turut melanggar prosedur eksekutif. Keputusan untuk melaksanakan Ops Yaman 2 tidak dibincangkan di peringkat Kabinet, dan peruntukan tambahan untuknya juga tidak dibahaskan di Parlimen. Arahan pemula ataupun initiating directive tidak dikeluarkan daripada Majlis Keselamatan Negara untuk membenarkan ketumbukan tersebut untuk terlibat dalam operasi ketenteraan yang diketuai Arab Saudi. Tambahan pula, pada ketika itu, Memorandum of Understanding on Defence antara Malaysia dan Arab Saudi yang menggariskan had dan terma rujukan ketumbukan tersebut di Arab Saudi masih belum ditandatangani. Jelas bahawa Ops Yaman 2 bukan sahaja salah dari segi prinsip, malah dari segi tatacara pelaksanaan juga. 

Angkatan Tentera Malaysia hanya diaturgerakkan ke luar negara untuk operasi pengamanan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sejarah ATM penuh dengan penglibatan misi pengamanan di Congo, Lebanon, Bosnia-Herzegovina, Somalia, dan di sempadan Iraq-Kuwait untuk menguatkuasakan gencatan senjata setelah tamatnya Perang Teluk Pertama. Imej ATM di persada antarabangsa ini cukup membanggakan kita dan sewajarnya tidak dicemarkan. 

Kepentingan rakyat Malaysia perlu diutamakan dalam pengendalian dasar luar negara kita. Nyawa anggota tentera kita juga tidak boleh digadaikan semata-mata kepentingan politik. Malaysia tidak sewajarnya terperangkap dalam mana-mana operasi ketenteraan di luar negara yang tidak diberi mandat jelas daripada PBB. Dalam usaha beliau melestarikan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi, kami harap Malaysia tidak akan terlibat sekali lagi dalam perang di Yaman.   

Haji Mohamad bin SabuMantan Menteri PertahananLiew Chin TongMantan Timbalan Menteri Pertahanan
Kongsikan artikel ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Artikel Berkaitan

Lima tema untuk Johor bergerak maju

Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor oleh Pakatan Harapan Johor, saya telah menyuarakan hasrat untuk memimpin barisan Pembangkang yang konstruktif. Ini penting untuk membina kerjasama dwipartisan dalam…
Baca Lagi