Pembukaan Semula Sempadan Johor – Singapura Perlu Kesinambungan

Kenyataan Media Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Johor, pada 16 Mac 2021

Perhatian yang diberikan Datuk Ir. Hasni Mohamad, Menteri Besar (MB) Johor dan Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkenaan bebanan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura amat dialu-alukan. Kelangsungan hidup para pekerja ini berkait rapat dengan kemampuan mereka untuk berulang-alik setiap hari antara Malaysia dan Singapura

Ramai yang menerima baik berita kemungkinan pembukaan semula sempadan kedua-dua belah negara berikutan pengumuman pemberian vaksin kepada 100,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dibawah fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Namun, kita harus sedar bahawa isu sempadan Johor-Singapura bukan sahaja hal berkaitan negeri dan negara (Johor-Singapura), tetapi melibatkan hubungan dua buah negara (Malaysia-Singapura). Oleh itu, isu ini tidak boleh diselesaikan oleh kerajaan negeri Johor sahaja. 

Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen di Johor, perlu mengutamakan agenda pembukaan semula sempadan sebagai fokus penting dasar luar negara.

Penglibatan dua hala ini penting agar kita bersiap sedia menempuh sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Pergerakan di antara kedua-dua buah negara ini masih boleh dihadkan walaupun pekerja Malaysia sudah divaksin. Singapura berkemungkinan akan mengenakan kuarantin bagi sesiapa yang melintasi sempadannya sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan pakar-pakar masih mengumpulkan data untuk mengesahkan keupayaan vaksin mencegah transmisi virus sepenuhnya. Kini, kebanyakan penemuan mendapati vaksin hanya memperkuatkan imuniti individu atau melindungi seseorang daripada kesan buruk virus. 

Sebagai langkah persediaan, isu kos kuarantin perlu diuruskan untuk memudahkan pergerakan pekerja kedua-dua buah negara secara berterusan. MB Johor telah menganggarkan seramai 400,000 pekerja Malaysia bekerja di Singapura setiap hari. Kebanyakan daripada mereka adalah pekerja kolar biru dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. 

Persetujuan bersama Singapura sebelum ini berkenaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) kebanyakannya melibatkan pekerja profesional yang mampu menampung kos ujian saringan dan kuarantin kendiri di Singapura dan Malaysia. Kos berikut ditanggung oleh syarikat atau pekerja sendiri. 

Jika MB Johor dan kerajaan Malaysia benar-benar serius dalam menguruskan isu ini, khususnya pekerja dalam sektor manual dan gaji yang rendah di Singapura, mereka perlu:

  • Memberi subsidi untuk menampung kos kuarantin di Malaysia dan menyediakan geran buat pekerja untuk menetap di Singapura, atau;
  • Bekerjasama dengan kerajaan Singapura untuk memberi subsidi bagi menampung kos kuarantin pekerja Malaysia daripada golongan B40. Kos ini boleh ditanggung oleh kerajaan Singapura atau syarikat yang menggajikan mereka. Hakikatnya, pekerja Malaysia ini telah memberikan perkhidmatan berharga buat rakyat dan kerajaan Singapura. 

Pembukaan semula sempadan Johor-Singapura secara berterusan memerlukan usaha setiap pihak di pelbagai peringkat. DAP Johor bersedia membincangkan penyusunan dasar terperinci dengan Wisma Putra dan kerajaan negeri Johor bagi membantu pekerja Malaysia yang mana kelangsungan hidup mereka bergantung kepada pekerjaan merentasi sempadan, khususnya mereka yang bekerja dalam sektor manual dengan gaji yang rendah.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi