Projek LCS – “vendor-driven”, rasuah dan penyelewengan berlaku semasa UMNO memerintah

1. Kami hairan dengan kenyataan oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabri bahawa punca masalah Littoral Combat Ship (LCS) disebabkan kerajaan Pakatan Harapan lambat mencari penyelesaian.  Menurut Ismail, “Punca permasalahan LCS adalah daripada tindakan kerajaan PH yang gagal memberi sebarang keputusan pada masa itu.” Kami hairan kenyataan tersebut tidak lagi dapat dikesan dalam laman web Kementerian Pertahanan. 

2. Pakatan Harapan memerintah selama 22 bulan manakala Perikatan Nasional telah memerintah selama 15 bulan. Apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil tampuk kuasa, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai oleh Tan Sri Amrin Buang telah ditubuhkan untuk menyiasat pemasalahan dalam perolehan pertahanan. Siasatan telah diarahkan oleh Kabinet.

3. Tanggapan Ismail Sabri bahawa siasatan merupakan punca kelewatan projek langsung tidak tepat dan mencerminkan sikap kerajaan Perikatan Nasional yang ambil mudah tentang integriti. Sebaliknya, apa-apa kelewatan yang dialami projek tersebut berpunca daripada ketidakcekapan dan ketiadaan integriti kerajaan UMNO-Barisan Nasional itu sendiri. Kelewatan bermula sejak tahun 2015 lagi, dan berpunca daripada reka bentuk terperinci (detailed design) yang sehingga hari ini masih belum dimuktamadkan serta masalah kecairan kewangan BNS yang sedikit sebanyak terhasil daripada penyelewengan kewangan projek dan pengurusan projek yang tidak cekap.

4. Hanya melalui Siasatan JKSTUPKK dapat kerajaan Pakatan Harapan menemui punca-punca kelewatan ini. Daripada menuding jari, kami syorkan agar Ismail Sabri menerbitkan semua laporan-laporan JKSTUPKK tentang projek LCS dan bagi rakyat sendiri menilai. 

5. Siasatan jawatankuasa turut mendapati bahawa projek LCS bermula sebagai projek dicadangkan oleh vendor dan bukan pengguna (Tentera Laut Diraja Malaysia). TLDM pada ketika itu mencadang perolehan reka bentuk SIGMA buatan Damen Shipyard dari Belanda yang ada kesinambungan dengan perolehan kapal-kapal lain TLDM, tetapi kerajaan Datuk Seri Najib Razak tetap memilih reka bentuk kapal Gowind, buatan syarikat DCNS Naval Group dari Perancis.

6. Selain itu, siasatan JKSTUPKK juga mendapati bahawa RM 1 billion di antara RM 6 billion yang telah disalurkan kepada pembina telah hilang dan tidak dapat dikesan lagi. Disyaki unsur rasuah telah berlaku. Masalah “vendor-driven”, rasuah dan penyelewengan dalam projek LCS berlaku semasa Najib Razak, Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussein sebagai Menteri Pertahanan dan UMNO memerintah. Pakatan Harapan hanya cuba membersihkan dan membaiki keadaan.

7. Siasatan JKSTUPKK mencadang projek diteruskan dengan kepentingan TLDM sebagai pertimbangan  yang paling utama, syarat yang ketat dikenakan supaya tidak lagi ada penyelewengan, dan siasatan atas kehilangan RM 1 billion dilakukan serta merta.

8. Semua cadangan JKSTUPKK diterima oleh Kementerian Pertahanan dan juga mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 11hb Februari 2020. Tiada kena mengena dengan Kementerian Kewangan seperti yang dituduh oleh Ismail Sabri. Jemaah Menteri dijadualkan untuk membincang dan membuat keputusan muktamad berikutnya. Malangnya, Langkah Sheraton berlaku pada 23hb Februari 2020. Dan Ismail Sabri telah memegang jawatan Menteri Pertahanan sejak 15 bulan lalu.

9. Kerajaan Perikatan dan Menteri Pertahanan UMNO haruslah memberi jawapan kepada soalan yang kami bangkit dan bukan main polemik. Soalan seperti:

a. Berapakah jumlah dana akan disuntik untuk menjayakan projek ini? Ada yang kata RM3 billion diperlukan. Adakah pihak kerajaan masih tetap dengan pendirian bahawa dana baru tidak akan disalurkan?

b. Berapa buah kapal boleh disiapkan? Ismail Sabri sendiri kata mungkin dua buah sahaja. Kalau hanya dua buah kapal, persoalan akan timbul tentang keupayaan TLDM dalam masa terdekat.

c. Jadual penyiapan projek haruslah dimaklumkan kepada rakyat. Kami difahamkan reka bentuk terperinci (detailed design) kapal belum lagi diterima oleh “design authority”. Hal ini bermakna kemajuan kapal tidak boleh diteruskan sehingga penyiapan kerana tiada pelan untuk membolehkan pemasangan peralatan elektronik kepada badan kapal.  

10. Kerajaan Pakatan Harapan tidak halang Boustead Naval Shipyard untuk meneruskan projek LCS, tetapi menjamin kepentingan TLDM perlu menjadi pertimbangan utama.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi