Covid-19: Bukan masanya untuk menyerah kalah

Setelah menonton wawancara televisyen Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Ahad lepas, saya dapati beliau seakan sudah mengaku kalah. Beliau tidak menunjukkan sebarang keazaman untuk memerangi Covid-19 walaupun mempunyai  segala “senjata” dan sumber kerajaan. 

Perdana Menteri (PM) nampaknya sudah berserah sahaja kepada masa dan takdir untuk membawa kita keluar daripada kancah pandemik ini dan hanya meletakkan segala-galanya kepada pemberian vaksin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian. 

Wawancara Muhyiddin yang amat jarang diadakan itu mendedahkan kerangka pemikiran beliau sekarang:

Pertama, bagi beliau, kita tidak dapat melaksanakan sekatan pergerakan penuh kerana harus mengimbangi antara “nyawa dan pencarian nafkah”, dan dengan itu, ekonomi tidak dapat bertahan jika perniagaan ditutup.

Kedua, kerajaan tidak mempunyai wang, lantas tidak mampu untuk merangka pakej bantuan jika sekatan pergerakan penuh dilaksanakan. 

Ketiga, kerajaan sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa, maka rakyat perlu menganggap jika seseorang itu dijangkiti virus Covid-19, ia disebabkan kecuaian mereka sendiri. 

Tetapi hakikatnya, sekadar berpeluk tubuh atau tidak bertindak dengan berani atau tidak bertindak dengan secukupnya bukanlah pilihan kita. Tindakan kerajaan hari ini adalah seperti tergamam melihat rumah terbakar tanpa berbuat apa-apa.  

Kini, Malaysia mengatasi negara lain di dunia dengan jumlah kes tertinggi bagi sejuta penduduk (cumulative per million people) dalam tempoh seminggu yang lepas. Kita sedang berperang. Kita sedang berhadapan dengan keadaan kritikal di mana penyebaran yang lebih luas akan melanda negara dan ‘melumpuhkan’ setiap aspek kehidupan kita dalam minggu-minggu akan datang jika tiada tindakan yang lebih berani dan pintar dapat dilaksanakan.

Kita perlu menerima hakikat bahawa kita sedang memerangi virus. Dan peperangan ini tidak akan berakhir dalam tempoh satu atau dua tahun lagi. Vaksin adalah senjata penting dalam peperangan ini tetapi mereka yang sudah divaksin masih boleh dijangkiti virus dan akan ada lagi varian dan mutasi virus ini.

Sewaktu perang, lupakan sasaran defisit

Perkara pertama yang harus disingkirkan daripada pemikiran Muhyiddin adalah tanggapan bahawa kerajaan tidak mampu berbelanja lagi. Seperti yang dikatakan oleh rakan saya, Hafiz Noor Shams, “Sekiranya Malaysia terlibat dalam peperangan sebenar, apabila KL sudah ditawan pun kerajaan masih akan bimbang tentang nisbah defisit”. Beliau turut menambah, “untuk menyelesaikan krisis ini, jelas kita memerlukan perbelanjaan defisit yang jauh lebih besar: meningkatkan defisit kepada 9% -10% atau mungkin lebih lagi. Membezakan  “nyawa dan pencarian nafkah” adalah tidak bijak. Malangnya PM dan Menteri Kewangan turut mendukung pemikiran neo-liberal yang salah, iaitu mempercayai hanya agensi penarafan bijak memberi pandangan manakala  kerajaan tidak mampu berbuat apa-apa.

Kerajaan mesti membelanjakan apa sahaja yang diperlukan untuk menangani Covid-19. Jika wabak tidak dikawal, ekonomi tidak akan pulih. Kerajaan perlulah memanggil parlimen dan mendapatkan konsensus dwipartisan untuk merangka suatu rancangan perbelanjaan.

Sudah tentu kita tidak sepatutnya membiarkan perbelanjaan besar ini disapu atau digelapkan oleh kroni dan golongan korup. 

Saya amat terkejut apabila fokus perdebatan baru-baru ini hanya menumpukan kepada masalah sama ada mahu membuat sekatan penuh atau tidak. Sedangkan, sama ada sekatan penuh atau tidak, ia tidak bermakna jika tiada usaha tambahan dan pemikiran baharu untuk  membuat ujian saringan, pengesanan kontak, pengasingan dan rawatan, dan vaksinasi. Tanpa semua usaha ini, kita akan kembali kepada masalah yang sama beberapa minggu setelah tamatnya sekatan pergerakan. Perkara ini akan terus berulang.

Saya telah menegaskan berulang kali sejak 1 April 2020 bahawa sekatan pergerakan perlu sebagai  langkah sementara tetapi kunci utama melawan Covid-19 jangka panjang adalah dengan kembali semula kepada asas – “saringan,saringan, saringan” dan mengesan kontak secara besar-besaran (Pandangan ini terkandung dalam buku saya The Great Reset: 100 days of Malaysia’s triple crisis).

Saringan,saringan, saringan

Berkenaan ujian saringan, pedih hati apabila memikirkan yang kerajaan masih tidak menggunakan ujian pantas (rapid tests) secara besar-besaran dan hanya bergantung kepada ujian PCR. Saya menggesa kerajaan-kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan pusat perubatan swasta untuk melakukan ujian saringan besar-besaran bersubsidi seperti yang dilakukan oleh Selangor. Jumlah kes positif mungkin meningkat dalam jangka pendek, tetapi sekurang-kurangnya kita semua mendapat gambaran sebenar yang lebih lengkap mengenai tahap dan kadar penularan sebenar virus ini. Jadi kita tidak akan meraba-raba di dalam gelap.  Ujian saringan percuma dan bersubsidi akan menggalakkan mereka yang kurang berkemampuan untuk menjalani ujian saringan.

United Kingdom dan negara-negara lain kini sudah menggunakan kit ujian saringan kendiri di rumah yang tinggi ketepatan keputusannya. Kerajaan harus menggandakan usaha untuk mencuba pelbagai cara agar ujian saringan dapat diakses oleh seramai mungkin dengan harga murah. Inilah satu-satunya cara untuk ‘hidup’ di samping virus ini dalam jangka masa panjang.

Pengesanan  

Apabila para pengesan kontak tidak mempunyai tenaga manusia yang mencukupi untuk mengesan kontak rapat bagi setiap kes, kita sebenarnya membiarkan virus ini bebas mengganas dan hanya mampu berserah kepada takdir. Kerajaan sepatutnya  mengambil  pendekatan menyeluruh ”waktu perang” untuk mengatur gerak para penjawat awam, pelajar universiti, anggota dan kakitangan agensi dan badan beruniform lain, dan sukarelawan untuk menjadi pengesan kontak. Sekiranya kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan, inilah masanya untuk berbelanja besar. Berikan mereka latihan yang mencukupi dan perkasakan usaha pengesanan kontak seluruh negara dengan bantuan teknologi. Potensi penuh aplikasi pengesanan kontak MySejahtera masih rendah.  

Kuarantin dan rawatan

Sudah tiba masanya kita terima bahawa tidak semua pesakit harus dihantar ke pusat-pusat kuarantin. Keadaan  di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) tidak kondusif untuk pemulihan pesakit bergejala ringan dan memerlukan terlalu banyak sumber perubatan untuk menjaga pesakit tak bergejala.

Menambah bilangan katil di PKRC bukanlah penyelesaian jangka masa panjang. Dengan membenarkan pesakit tidak bergejala atau ringan berada dalam kuarantin di rumah dengan  menggunakan teknologi akan dapat membantu kerajaan menumpukan sumber perubatan kepada pesakit kritikal. Bagi mereka yang memerlukan kemudahan kuarantin, penyediaan pusat kuarantin yang lebih kecil di peringkat komuniti harus diterokai. Di sini kerajaan negeri boleh membantu.

Sekitar 1 daripada 60 rakyat Malaysia telah didapati positif Covid-19 sejak pandemik menular pada tahun 2020. Sudah tiba masanya kita tidak memandang serong terhadap mereka yang  positif penyakit. Perkongsian oleh bekas wartawan Rahmah Ghazali mengenai pengalaman beliau sebagai pesakit positif Covid-19 di United Kingdom membuka mata kepada kita tentang bagaimana negara itu menangani pesakit. Beliau didapati positif Covid-19 melalui kit ujian saringan di rumah yang disediakan secara percuma oleh National Health Service (NHS). Beliau juga menerima panggilan telefon daripada NHS hampir setiap hari untuk memeriksa kesihatannya serta  turut mendapat  bekalan makanan daripada pihak berkuasa tempatan (kerana dilarang keluar rumah).

Tumpuan sebenarnya sepatutnya diberikan kepada usaha untuk menambah bilangan katil ICU dan alat bantuan pernafasan (ventilator). Sekali lagi, saya tertanya-tanya mengapa tiada peningkatan perbelanjaan bagi kedua-dua aspek ini sejak bermulanya penularan wabak.

Pemvaksinan    

Banyak yang telah diperkatakan mengenai pemvaksinan akhir-akhir ini. Perkara pertama yang saya mahu bangkitkan adalah, jika Menteri Vaksin  bukan Menteri Kesihatan, ia seolah-olah seperti PM mahu melihat Menteri Vaksin gagal.

Saya ingin mengulangi seruan agar Adham Baba digugurkan sebagai Menteri Kesihatan dan digantikan oleh Khairy Jamaluddin. Sekurang-kurangnya, inilah perkara yang boleh dilakukan Muhyiddin untuk menunjukkan kesungguhan beliau dalam usaha meredakan ledakan kes terbaru ini. Kepimpinan menteri dan politik sangat penting sewaktu perang.

Kempen pemvaksinan seharusnya menjadi misi nasional. Semua hospital dan klinik swasta harus dilibatkan jika langkah ini belum lagi dibuat. Seluruh jentera kerajaan – polis, angkatan tentera, perkhidmatan awam – dan NGO harus digerakkan untuk membantu pendaftaran vaksin dan juga tugas-tugas fizikal bagi pelaksanaan Fasa 3. Kaedah seperti pusat pemberian vaksin pandu lalu mesti juga dipertimbangkan.

Saya sendiri telah menyaksikan kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang buat masa ini hanya mengendalikan pemvaksinan petugas barisan hadapan dan warga emas. Tiba masanya untuk merancang peningkatan jumlah sukarelawan yang terlibat untuk Fasa 3 apabila semua rakyat Malaysia sudah layak menerima vaksin.

Kepimpinan waktu perang”

Sudah berkali-kali saya tekankan mengenai analogi perang. Ketika perang, seorang pemimpin berusaha mencari jalan damai melalui kepimpinan dwipartisan. Dalam peperangan, semua kementerian, seluruh kerajaan, berganding bahu demi satu misi nasional – dalam kes negara kita, untuk memerangi dan membendung virus – dan menyumbang segala sumber kepada kerajaan untuk masyarakat.

Dan, sewaktu peperangan, seorang Perdana Menteri tidak akan muncul di kaca TV untuk beritahu semua orang supaya “panggillah saya bodoh” kerana ini menunjukkan beliau sudah menyerah kalah. Sekarang bukan masanya untuk kerajaan berpeluk tubuh. Sekarang adalah masa untuk kepimpinan waktu perang yang berani.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi