Reformasi Pertahanan Malaysia yang Lama Tertangguh: Meninggalkan Era Selesa

Era selesa yang telah mendominasi sikap Malaysia terhadap hal-ehwal pertahanan selama tiga dekad lepas perlu ditinggalkan. Memandangkan ancaman luar semakin meningkat, Malaysia perlu mempercepatkan usaha reformasi pertahanan berasaskan  konsep kesepaduan merentasi pelbagai lapangan

Usaha reformasi pertahanan Malaysia yang sudah lama tertangguh tidak boleh lagi dapat dibiarkan begitu sahaja. Selama lebih beberapa dekad sejak Disember 1989, apabila kerajaan menandatangani Perjanjian Damai Hatyai dengan Parti Komunis Malaya, rakyat Malaysia telah hidup dalam era selesa. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, keselesaan ini semakin terganggu dengan persaingan kuasa besar di antara Amerika Syarikat dan China serta kecenderungan Beijing menunjuk kekuatan di Laut China Selatan.

Isnin lalu (31 Mei), 16 pesawat tentera udara milik Tentera Pembebasan Rakyat  China (PLAAF) memasuki ruang udara zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan. Insiden ini telah menyedarkan kita bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan cabaran geopolitik baharu.

Selama hampir sedekad, kapal pengawal pantai China telah berlegar hampir sepanjang tahun berdekatan Beting Patinggi Ali (South Luconia Shoals). Jika kita bandingkan, pesawat PLAAF itui melakukan apa yang  rakan pengawal pantai mereka buat sejak beberapa tahun lepas – menguatkuasakan tuntutan China di Laut China Selatan. China menuntut  Luconia Shoals yang terletak di dalam ZEE Malaysia, kira-kira 80 batu nautika dari barat laut Borneo.

Ketika waktu kurang mencabar, Malaysia telah berusaha memodenkan pertahanannya bermula pada tahun 1990-an, termasuk membangunkan tentera udara dan tentera laut bagi menghadapi peperangan konvensional. Ia juga berusaha untuk mengimbangi kekuatan antara medan Semenanjung dan medan Timur akibat insiden Lahad Datu pada 2013, apabila sekumpulan militan Filipina cuba untuk membuat tuntutan terhadap Sabah. Berikutan kejadian itu, timbul perbincangan mengenai perlunya pendekatan bersepadu antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Namun, perbincangan pasca-2013 mengenai pendekatan bersepadu tidak banyak berubah dengan usaha sebelumnya pada 2004 apabila  markas angkatan bersama ditubuhkan tetapi dengan skop tanggungjawab yang terhad.

Lebih malang lagi, program pemodenan pertahanan telah terganggu oleh dakwaan rasuah berhubung perolehan. Ejen-ejen tempatan yang lebih cenderung  menjaga kepentingan syarikat  luar negara tidak berminat untuk mengembangkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan industri dalam negara. Secara umumnya, sambil lewa sewaktu era aman telah menjadi sikap kerajaan dan rakyat dalam  hal-ehwal pertahanan negara.

Disebabkan tiadanya keazaman politik untuk mereformasikan pertahanan negara, cara lama terus menjadi pegangan.   Cabang-cabang perkhidmatan ATM masih beroperasi secara berasingan dengan sumber dan tumpuan utama diberikan kepada tentera darat. Walaupun tentera darat telah meluaskan skop tugasnya, pengalamannya menentang  komunis dalam pertempuran hutan beberapa dekad lalu masih lagi mencorak pendekatannya pada hari ini.  

Pengalaman Perang Dingin mendorong tentera darat untuk mengukuhkan pertahanan di Semenanjung, manakala di medan Timur (Sabah & Sarawak) pula,  menumpukan pertahanan di sempadan darat Indonesia. Kadangkala, ATM terpaksa memainkan peranan sebagai pasukan pengawal sempadan untuk menghalang warga asing tanpa dokumen daripada memasuki negara ini. 

Semasa pentadbiran singkat Pakatan Harapan, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu telah membentangkan Kertas Putih Pertahanan pertama Malaysia di Parlimen pada 2 Disember 2019, dengan misi untuk mereformasikan sektor pertahanan bagi mendepani cabaran era 2020-an.

Idea teras Kertas Putih Pertahanan adalah untuk menakrifkan Malaysia sebagai negara maritim bersusur galur kebenuaan. Malaysia dikelilingi oleh Laut China Selatan – boleh dikatakan perairan paling berkontroversi di dunia – dan Selat Melaka, laluan perdagangan laut paling sibuk di dunia.

Penilaian teliti terhadap keperluan pertahanan harus berasaskan kepada pemahaman yang tepat terhadap realiti sedia ada. Kita perlu menerima hakikat bahawa medan perang masa hadapan bukan lagi di hutan. Keupayaan dan kapasiti dalam pelbagai ruang – maritim dan udara, kawasan bandar, siber, dan peperangan bukan konvensional – perlu dibina dengan segera.

Semasa berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, saya sering mengulangi pesanan mantan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin bahawa “tentera darat perlu merenangi” era baru ini. Menyedari peranan penting tentera darat, saya memberi jaminan bahawa tiada negara dapat bertempur dengan hanya bergantung kepada pasukan gerak khas, angkatan laut dan udara – kerana tentera darat perlu bertempur seiring dengan mereka. Oleh sebab itu, peranan tentera darat tidak akan berkurang walaupun usaha pemodenan pertahanan menumpukan kepada pembangunan keupayaan bersama maritim. Pada masa yang sama, tentera darat juga tidak boleh bertempur bersendirian. Budaya mementingkan  perkhidmatan sendirian sahaja perlu diubah kepada komitmen bersama untuk mewujudkan kesepaduan.

Kita perlu menerima hakikat bahawa medan perang masa hadapan bukan lagi di hutan. Keupayaan dan kapasiti dalam pelbagai ruang – maritim dan udara, kawasan bandar, siber, dan peperangan bukan konvensional – perlu dibangunkan dengan segera.

Insiden Lahad Datu telah menggerakkan angkatan tentera untuk memperluaskan struktur perintah  di medan Timur. Kini ada jeneral dan laksamana tiga-bintang, masing-masing untuk tentera darat dan tentera laut di Malaysia Timur. Namun, keazaman politik yang lebih serius diperlukan untuk mencapai kesaksamaan penempatan pasukan dan kemampuan di antara Semenanjung dan Malaysia Timur.

Yang menjadi ironi di  Lahad Datu adalah kawasan keselamatan di bahagian Sabah Timur itu dikendalikan bersama oleh angkatan tentera, polis dan perkhidmatan awam tetapi  ketiga-tiga entiti tersebut tersangkut dengan birokrasi bidang kuasa. 

Usaha reformasi pertahanan memerlukan pasukan perkhidmatan awam pertahanan berwibawa dan  industri pertahanan yang mantap untuk bekerjasama. Masalahnya,  anggota perkhidmatan awam di kementerian pertahanan merupakan orang yang digilir-gilirkan daripada  kementerian lain; kebanyakan mereka tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman mendalam dalam bidang pertahanan. Perkara ini perlu diubah dengan  meletakkan  pegawai kanan awam yang terlatih dalam bidang keselamatan di samping mengekalkan  penjawat awam berwibawa  di Kementerian Pertahanan untuk jangka masa yang lebih lama. Industri pertahanan pula perlu membuang sikap “ejen penjualan” dan sebaliknya melabur dalam inovasi. Sekali lagi, keazaman politik diperlukan bagi menjayakan transformasi sektor ini.

Kertas Putih Pertahanan memberikan penekanan kepada usaha membangunkan angkatan tentera dengan kemampuan baharu. Pada masa ini, tentera darat, tentera laut dan tentera udara masing-masing mempunyai pelan keupayaan jangka panjang mereka tersendiri. Namun, pada masa ini tiada pelan keupayaan angkatan tentera bersama yang dipersetujui. Ternyata, kabinet dan parlimen tidak pernah meluluskan satu pelan keupayaan secara rasmi dengan komitmen dana jangka panjang. Pelan Rancangan Malaysia yang bertempoh lima tahun bukanlah platform yang tepat dan sesuai untuk menyusun perancangan pertahanan yang  memerlukan jangka masa yang lebih panjang. Pendekatan ini juga perlu diubah.

Persekitaran dan cabaran strategik era 2020-an jauh berbeza berbanding tiga dekad yang lalu. Reformasi pertahanan komprehensif Malaysia yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan yang dibentangkan buat julung kalinya, memerlukan konsensus nasional dan keazaman politik supaya boleh dilaksanakan segera. Era selesa perlu diganti dengan era kesedaran strategik – kesedaran mengenai realiti serantau yang Malaysia hadapi masa kini.  

*Artikel ini diterbitkan buat kali pertama dalam Bahasa Inggeris di Fulcrum oleh ISEAS – Yusof Ishak Institute

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi