Melindungi pelarian bererti menjaga keselamatan diri rakyat Malaysia dalam era Covid-19

Kenyataan Media Kumpulan Penasihat Malaysia Mengenai Myanmar pada 19 Jun 2021

Kumpulan Penasihat Malaysia Mengenai Myanmar menzahirkan kebimbangan yang mendalam berhubung kenyataan-kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Indera Khairul Dzaimee Daud terhadap pelarian kerana kami percaya ia akan membahayakan nyawa rakyat Malaysia dan membantutkan usaha pemulihan pandemik Covid-19.

Pelarian adalah kumpulan yang terdedah kepada pelbagai ancaman dan mangsa kepada konflik yang berpanjangan. Mereka, termasuk wanita dan kanak-kanak, terpaksa menggadai nyawa untuk meninggalkan kampung halaman bagi mencari perlindungan. Kami kesal apabila jentera kerajaan seperti Pasukan Khas Kebangsaan (NTF) berkongsi poster anti-Rohingya yang telah menyemarakkan sentimen anti-pelarian terhadap kumpulan masyarakat yang tidak berdaya.

Pendekatan keras kerajaan hanya akan mendorong pelarian dan warga asing tanpa dokumen untuk terus bersembunyi dan mencegah mereka daripada tampil ke hadapan untuk membuat ujian saringan dan mendapatkan vaksin Covid-19. Kedua-duanya merupakan langkah penting untuk membendung jangkitan virus dalam  masyarakat. Namun, pihak berkuasa tetap berdegil malah menggandakan usaha memburu  pelarian dan warga asing biarpun kebanyakan NGO dan ahli politik telah menyuarakan kebimbangan mereka. Pendekatan menghukum ini hanya akan menjejaskan usaha untuk mengekang penularan COVID-19, dan membahayakan nyawa rakyat Malaysia.

Pendekatan menghukum yang diambil juga bercanggah dengan pendirian dasar serantau dan luar negara Malaysia selama ini sebagai pembela masyarakat yang dianiaya dan ditindas.

Malaysia dan rakyatnya sentiasa peduli dan bersolidariti dengan golongan tertindas dan rentan berdasarkan perbelanjaan besar dan hasil sumbangan orang ramai dalam peristiwa berikut:

  • krisis pelarian bot mangsa perang Vietnam;
  • kemarau dan krisis makanan Korea Utara;
  • Taufan Nargis di Myanmar;
  • gempa bumi di Iran dan Pakistan;
  • Tsunami Lautan Hindi di Aceh, Sri Lanka dan Thailand ketika negara kita turut terjejas; dan
  • penindasan rakyat Palestin

Kami juga bimbang dengan cadangan Dato Seri Hamzah Zainuddin untuk mewujudkan kem pelarian Rohingya di Malaysia bagi menguruskan populasi mereka di negara ini. Ini adalah langkah yang terkebelakang.

Sebilangan besar daripada 179,570 pelarian di Malaysia adalah pelarian bandar, yang membolehkan mereka untuk hidup secara bermaruah, normal, dan menyumbang kepada masyarakat Malaysia. Membina kem bukan sahaja menambahkan trauma mereka dan menggalakkan kebergantungan, tetapi ia akan menambah perbelanjaan negara dan memencilkan komuniti pelarian daripada masyarakat lain.  Menurut Ketua Pengarah Imigresen, kini sudah ada hampir 2,000 orang Rohingya yang ditahan, kebanyakannya adalah kanak-kanak. Kita harus bekerjasama untuk mencari alternatif penahanan bagi pelarian, khasnya kanak-kanak, yang tidak pernah melakukan apa-apa jenayah dan berkemungkinan berdepan dengan risiko penganiayaan dan kehilangan nyawa jika terpaksa kembali ke negara asal mereka.

Perkara ini menjadi kebimbangan utama sekiranya pelarian yang mencari perlindungan keselamatan dihantar semula dengan kapal usang yang mendarat di pesisir perairan kita. Mereka akan terdedah kepada sindiket penyeludupan manusia dan mungkin juga terkorban.

Walaupun kami memahami perlunya usaha mencegah dan memerangi jenayah rentas sempadan, jawatankuasa ini percaya pendekatan yang lebih berperikemanusiaan diperlukan untuk mencegah perdagangan dan eksploitasi manusia. Thailand, yang seperti Malaysia, bukan negara anggota Konvensyen Pelarian, telah mengembangkan Mekanisme Pemeriksaan Nasional (NSM) untuk meningkatkan perlindungan pelarian dan memberikan Status Orang yang Dilindungi kepada individu yang layak. Ia mempunyai langkah-langkah lain untuk melindungi pelarian. Seboleh-bolehnya, kita harus mencari jalan selain daripada menubuhkan kem supaya pelarian berpeluang hidup dengan lebih bermaruah, bebas, dan normal.

Jawatankuasa ini menerima bahawa perpindahan secara paksa adalah isu global dan Malaysia tidak dapat memikul tanggungjawab ini bersendirian sebagai satu-satunya tuan rumah kepada golongan pelarian ini. Negara-negara anggota ASEAN lain juga harus meningkatkan usaha untuk menawarkan perlindungan kepada pelarian, terutamanya dari Myanmar, atas dasar tanggungjawab bersama seperti yang digariskan dalam Global Compact on Refugees (GCR) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Malaysia juga perlu meningkatkan sokongan terhadap usaha untuk membawa mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai Rohingya ke muka pengadilan dan mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk memainkan peranan yang lebih tegas dalam mengakhiri krisis politik di Myanmar.

Sebagai salah sebuah negara membangun yang terkehadapan, dan negara anggota penting ASEAN, Malaysia tidak boleh mengabaikan penderitaan pelarian ini dan menambahkan kesengsaraan golongan yang cuba menyelamatkan diri daripada konflik, peperangan, dan jenayah kemanusiaan. Kita perlu bersolidariti bersama mereka yang berhadapan dengan penganiayaan. Seperti mana rakyat Malaysia begitu marah dengan keadaan di Palestin, begitu juga kita perlu marah dengan nasib yang menimpa komuniti Rohingya.

Kami mendesak kerajaan dan rakyat Malaysia menunjukkan kepimpinan melalui teladan  dengan melindungi komuniti pelarian di negara kita untuk memastikan hak-hak dan keperluan asas mereka terjamin, terutamanya sewaktu wabak Covid-19 yang mencabar ini. Marilah kita sama-sama memastikan Malaysia terus kekal memainkan peranan penting sebagai negara yang cintakan kedamaian dan bersikap peduli bagi melindungi golongan lemah di sekeliling kita.

****

Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar (The Malaysian Advisory Group on Myanmar) adalah jawatankuasa bebas, merangkumi tokoh berwibawa yang berpengetahuan dan peduli, daripada sektor awam dan swasta di Malaysia. Ia ditubuhkan pada Mac 2021 untuk menyediakan analisis yang berkesan dan boleh dipercayai untuk kerajaan Malaysia dan orang awam berkaitan isu di Myanmar dan kesan terhadap Malaysia serta kepada ASEAN dan serantau Asia.

Kenyataan ini disokong oleh ahli-ahli Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar:

  1. YBhg Tan Sri Syed Hamid Albar, Pengerusi Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar
  2. YTM Tunku Puteri Intan Safinaz
  3. General Tan Sri Mohd Hashim Ali (B)
  4. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood
  5. Senator Liew Chin Tong
  6. Tan Sri Anthony Francis Fernandes
  7. Dato Seri Nazir Razak
  8. Dato Seri Kalimullah Hassan
  9. Lilianne Fan

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi