Tiba masanya untuk reset melawan Covid

Setahun lalu, saya telah menerbitkan buku “The Great Reset” untuk menjelaskan bagaimana krisis Covid-19, tragedi wabak yang muncul sekali seabad akan menyusun semula atau reset politik, ekonomi, dan sistem penjagaan kesihatan kita. Malangnya, pihak kerajaan seperti gagal mempelajari apa-apa daripada krisis Covid selama 18 bulan ini yang bermula sejak Januari 2020. Inilah sebabnya saya percaya Malaysia memerlukan reset untuk menangani Covid sekarang. 

Apabila kerajaan mengisytiharkan darurat pada 12 Januari 2021, sebanyak 141,522 kes terkumpul positif Covid-19 dicatatkan dengan 559 jumlah kematian. Setakat 8 Julai, ketika artikel ini ditulis, terdapat 808,658 kes terkumpul Covid dengan 5,903 jumlah kematian.

Kita perlu menerima hakikat untuk hidup di samping Covid-19 kerana virus ini akan bersama kita untuk jangka masa panjang. Namun, kita tidak boleh memaksa rakyat berkurung di rumah buat selama-lamanya. Ini akan menimbulkan isu lain seperti kesihatan mental yang terjejas. Penutupan sektor ekonomi juga akan mendatangkan bahaya yang lebih besar. 

Oleh itu, terdapat lima perkara yang perlu kita lakukan segera: 

1. Ujian saringan besar-besaran

Setelah hampir setahun setengah kita berdepan krisis Covid-19, dan keputusan kit ujian saringan RTK-Ag semakin tepat, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah tetap berkeras mahu mengutamakan penggunaan kit saringan RT-PCR. Biarpun PCR diiktiraf menghasilkan keputusan ujian yang paling tepat, kita perlu menyaring dengan lebih pantas. Setakat ini, Malaysia hanya mampu melaksanakan saringan secara purata 70,000 orang setiap hari dengan kadar kes positif yang sering melebihi 9 peratus. Kadar positif pada 5 Julai adalah 9.7% manakala kadar positif untuk semalam (8 Julai) adalah 9.3%. 

Kita tidak patut menipu diri sendiri dengan bergembira apabila semakin sedikit saringan dibuat semakin kurang kes, dan keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala. Rakyat sudah lebih arif meneliti angka-angka yang dilaporkan dan bijak mentafsir kadar positif. Lebih penting lagi, kita perlu menerima hakikat virus ini tidak akan lenyap begitu sahaja. 

Dengan melaksanakan ujian saringan secara besar-besaran, kita dapat melihat gambaran sebenar penularan dan bersedia untuk mengurusnya dengan baik. Langkah mengurung rakyat di rumah dengan harapan virus akan mati begitu sahaja tidak lagi boleh dipakai. Kini, terdapat pelbagai faktor yang mengurangkan keberkesanan tindakan ini seperti kelesuan Covid (Covid fatigue) dalam kalangan rakyat dan keperluan untuk membuka sektor-sektor ekonomi.

Di Selangor, Pasukan Khas Covid-19 kerajaan negeri telah melakukan tindakan yang tepat dengan mengambil pendekatan “Cari, Uji, Kesan, Asingkan, dan Sokong ” sejak beberapa bulan yang lalu. 

Di Johor, saya amat gembira dan bersyukur atas titah DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang mahu Johor beralih daripada pendekatan sekatan penuh berpanjangan, yang telah menjadi punca tekanan emosi dan mental serta menjejaskan sumber pendapatan rakyat, kepada pendekatan berdasarkan pemahaman ‘hidup di samping virus’ melalui pelaksanaan saringan besar-besaran. Menteri Besar Johor, Dato’ Ir. Hasni Mohammad telah bertekad untuk melaksanakan titah Baginda. Ini merupakan langkah ke hadapan berbanding pendekatan dogmatik kerajaan persekutuan.

Kita perlu meningkatkan saringan PCR kepada sekurang-kurangnya 100,000 sehari, jika tidak pun  150,000 sehari. Pada masa yang sama, kita perlu meningkatkan jumlah ujian saringan RTK-Ag di seluruh negara, menjadikan jumlah saringan harian kepada 300,000 atau lebih.  

Sudah tiba masanya kita berbincang dan berbahas bagaimana kita dapat membuka semula kilang dan tempat kerja dengan selamat melalui pelaksanaan ujian saringan RTK-Ag dan kit saringan kendiri secara besar-besaran. Contohnya, jika semua kilang dan tempat kerja perlu membuat saringan sebanyak tiga kali seminggu untuk pekerja, dengan saringan RTK-Ag yang berharga USD2 satu set menerusi pembelian pukal, saya pasti ini adalah pendekatan yang lebih baik berbanding sekatan pergerakan penuh atau lockdown yang berlarutan. Akan tiba masanya nanti apabila kita boleh menghadiri perjumpaan dan acara fizikal dengan adanya langkah saringan mudah seperti ujian pernafasan COVID-19.

2. Pemberian vaksin

Kerajaan Malaysia agak lembab dalam proses perolehan dan pemberian vaksin. Walaupun begitu, seperti yang telah diumumkan oleh Khairy Jamaluddin, kita menjangkakan lebih banyak dos vaksin akan tiba dalam jangka masa terdekat. Bulan Julai dan Ogos adalah tempoh yang amat penting untuk memastikan seramai mungkin menerima vaksin. Bilangan dan keupayaan Pusat Pengagihan Vaksin (PPV) perlu ditambah. Kita perlu menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar untuk menerima vaksin. Pada masa yang sama, kita perlu beralih kepada proses jumpa-terus (walk-in) tanpa pendaftaran bagi warga emas sebaik sahaja keupayaan PPV kita dipertingkatkan. 

Kita perlu menggerakan seluruh masyarakat untuk mempercepatkan proses vaksinasi dan memerangi maklumat palsu daripada golongan anti-vaksin. Vaksin adalah senjata utama yang kita ada untuk membendung Covid-19 dan kita tidak boleh gagal dalam menghadapi cabaran ini. 

3. Bersikap lebih peduli dan empati

Ini adalah zaman paling mencabar dalam beberapa dekad kebelakangan ini, dan kesempitan hidup sudah menjadi realiti bagi ramai Malaysia. Saya menggesa pihak berkuasa – sama ada di peringkat persekutuan, negeri, atau kerajaan tempatan, terutamanya anggota polis dan agensi penguatkuasaan – supaya mempunyai sikap lebih peduli dan empati. Pihak berkuasa di setiap peringkat perlu melihat diri mereka sebagai barisan hadapan yang mana tugas mereka adalah untuk membantu rakyat Malaysia dan sesiapa sahaja yang memerlukan dalam waktu getir ini. Mereka tidak seharusnya menumpukan kepada pendekatan menghukum sahaja.

Dalam konteks ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed telah membuat keputusan yang tepat berdasarkan situasi semasa dengan menyarankan semua pegawai dan anggotanya membantu mereka yang mengibarkan bendera putih serta tidak melihat mereka sebagai pihak pengacau. Kempen bendera putih adalah petanda yang jelas bahawa rakyat sudah hilang harapan dan terdesak mendapatkan bantuan. Saya bimbang jika tidak mengatasi masalah ini bersama secara berhemah, pergolakan sosial mungkin tercetus. 

Bagi membendung penularan, tahanan dan pelarian perlu divaksin. Jika Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin dan Jabatan Imigresen terus mengancam untuk menangkap pelarian dan warga asing tanpa dokumen, mereka tidak akan berani tampil secara sukarela untuk divaksin. Akibatnya, sukar bagi Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok. Kita juga perlu mengatasi masalah kesesakan penjara kerana ia telah menjadi punca utama bagi kebanyakan penularan Covid. 

4. Pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat menyeluruh perlu digerakkan 

Peribahasa “seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” adalah cerminan tepat bagi kerajaan Perikatan Nasional. Perbalahan antara Dato’ Seri Azmin Ali dan Dato’ Sri Ismail Sabri, perihal pintu belakang–pintu depan, dan sebagainya adalah gangguan yang tidak perlu berlaku dalam usaha kita memerangi Covid-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menghentikan sikap bekerja berasingan dan menganggap diri dominan. Sebaliknya, ia harus menjadi salah satu penghubung utama ke arah pendekatan bersepadu yang melibatkan kerajaan secara menyeluruh. Semua kementerian perlu berunding dan melakukan koordinasi sebelum kerajaan membuat sesuatu pengumuman kepada orang ramai mengenai keputusan mereka. 

Rakyat meluat dengan pertembungan ego pentingkan diri antara menteri atau pertindihan birokrasi yang berlaku antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Mereka cuma ingin tahu keputusan dibuat kerajaan untuk rakyat. 

Kerajaan persekutuan perlu menerima hakikat bahawa kerajaan negeri adalah rakan seperjuangan, dan bukan musuh. Keputusan KKM yang enggan berkongsi data Covid yang terperinci bersama kerajaan Selangor amat dikesali. Kecenderungan MKN dan Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengabaikan negeri-negeri adalah satu tindakan yang tidak wajar dan amat mengecewakan. Kerajaan negeri perlu diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai “lockdown” dan hal-hal berkaitan Covid-19, dan bukan hanya menurut keputusan kerajaan persekutuan semata-mata.

Klinik dan hospital swasta sepatutnya menjadi bahagian penting dalam memerangi Covid-19 sejak Mac 2020. Malangnya, KKM cenderung untuk mendominasi. Sudah tiba masanya untuk mengubah situasi ini.

Negara memerlukan lebih ramai pemimpin berpengaruh di peringkat komuniti seperti guru, imam, paderi, dan lain-lain untuk melawan maklumat palsu  mengenai vaksin dan membawa pelajar serta jemaah mereka mendaftar untuk vaksin dan menurut ketetapan SOP. Peranan mereka akan membentuk rasa kebersamaan dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat semasa krisis.

5. Daripada bank makanan kepada bank pekerjaan 

Peluang pekerjaan perlu menjadi keutamaan perbincangan kita.

Bakul makanan yang diberikan kepada golongan memerlukan sangat penting dan telah banyak membantu mereka pada waktu yang terdesak. Namun, langkah kebajikan harus seiring dengan usaha mewujudkan peluang pekerjaan. Jalan keluar buat jangka panjang daripada krisis kesihatan dan ekonomi ini adalah menerusi usaha mewujudkan pekerjaan dan peluang ekonomi bermaruah kepada mereka yang hilang punca rezeki ketika krisis.

Banyak sektor yang terjejas sejak pandemik, terutamanya industri penerbangan, pelancongan, perhotelan dan peruncitan. Banyak syarikat di sektor lain pula telah gulung tikar dan menyebabkan ramai hilang pekerjaan. 

Kerajaan harus menerajui usaha mencipta pekerjaan, kemudian diikuti dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan sektor swasta. Jika kerajaan di setiap peringkat – persekutuan, negeri, dan tempatan – memperuntukkan sumber dana mencipta pekerjaan sementara dengan upah RM100 sehari, kita akan dapat membantu lebih banyak keluarga berpendapatan rendah dan sederhana untuk terus bertahan.

Kita memerlukan lebih ramai pengesan kontak untuk melawan Covid-19. Kita memerlukan lebih ramai sukarelawan di PPV. Kita juga boleh menggajikan lebih ramai pekerja untuk membersih dan mengindahkan bandar-bandar untuk kebaikan kita semua. Kita perlu berusaha melengkapi bangunan dengan sistem pengudaraan yang ditambah baik agar penularan Covid-19 dapat dikurangkan. Usaha ini memerlukan lebih ramai pekerja tempatan. Begitu juga usaha melengkapi bangunan dengan teknologi hijau seperti sistem solar dan alat penjimatan tenaga lain yang akan membantu Malaysia menangani cabaran perubahan iklim.

Yang penting, kerajaan perlu menyediakan pekerjaan, dan bukan sekadar memberi bakul makanan sahaja.  

Kesimpulannya

Malaysia perlu melaksanakan reset segera untuk menangani wabak Covid-19. Kita tidak boleh membiarkan keadaan bertambah buruk. Kita perlu keluar daripada pemikiran dogmatik, sekarang juga.  

Kita perlu laksanakan ujian saringan secara besar-besaran, melipatgandakan pemberian vaksin, bersikap lebih peduli dan empati, bergerak serta bertindak secara menyeluruh, dan menyediakan pekerjaan  di peringkat rendah bagi membantu berjuta-juta rakyat untuk terus bertahan hidup sepanjang krisis ini.

Seorang genius pernah menyatakan bahawa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama berulang kali dengan mengharapkan hasil yang berbeza. Kita perlu berubah demi kebaikan dan kita mesti bertindak sekarang untuk memperbaiki keadaan.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi