Bibit-bibit krisis perlembagaan

Alangkah baiknya jika Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur secara terhormat. Atau sekurang-kurangnya mengambil pendekatan lebih berkompromi terhadap istana dengan memohon maaf dan menggugurkan Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara. Dengan berbuat demikian, Malaysia mungkin dapat elakkan daripada terjerumus ke dalam satu krisis perlembagaan.

Tetapi, kenyataan Pejabat Perdana Menteri malam semalam terbukti bongkak dan biadab terhadap istana serta menzahirkan penghinaan yang ketara terhadap demokrasi berparlimen, selain menunjukkan bahawa Muhyiddin langsung tidak berniat untuk undur diri.

Kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri bertumpu kepada Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong terikat dengan nasihat Jemaah Menteri. Semangat Perkara 40 ini dan Perlembagaan Persekutuan bertujuan menjamin YDP Agong bertindak dalam lingkungan lunas-lunas demokrasi dan bukannya campur tangan atas sifat peribadi Seri Paduka.

Tetapi situasi sekarang agak luar biasa. YDP Agong sebenarnya sedang berusaha mempertahankan demokrasi dan menitahkan agar ketetapan darurat dibentang, dibahas, dan dimansuhkan di parlimen. Sebaliknya kerajaan Muhyiddin pula berusaha untuk menghalang parlimen daripada melaksanakan tugasnya. 

Pada bulan Januari lepas, Muhyiddin berjanji kepada rakyat Malaysia bahawa keputusan sama ada darurat dilanjutkan akan dibuat oleh YDP Agong berdasarkan nasihat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat. Ini bermakna kerajaan telah mengakui bahawa YDP Agong mempunyai budi bicara terhadap pengisytiharan darurat, dan Jemaah Menteri bukan lagi badan yang berperanan untuk menasihati Seri Paduka mengenai perkara ini. Peranan ini telah diserahkan kepada Jawatankuasa Khas tersebut. Setelah membuat keputusan sedemikian, kerajaan Muhyiddin tidak boleh membelakangkan keputusan YDP Agong serta cuba membuat andaian  bahawa Seri Paduka tidak mempunyai sebarang budi bicara dalam hal darurat. 

Menguji majoriti

Perlu adanya ruang berkompromi setelah Majlis Raja-Raja bersidang pada 16 Jun kerana titah baginda-baginda tuanku cukup jelas menunjukkan betapa perlunya parlimen dipanggil untuk bersidang secepat mungkin supaya darurat tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Sejak itu, Muhyiddin hanya menunggu masa. Tetapi, akan tiba satu ketika di mana kerajaan Muhyiddin harus berdepan dengan parlimen dan menguji majoritinya. 

Keputusan Majlis Raja-Raja pada 16 Jun, secara ringkasnya, memberi isyarat kepada kerajaan Muhyiddin bahawa ia tidak lagi boleh berselindung di sebalik pemerintahan darurat. Ia perlu membuktikan kemampuannya untuk memperoleh majoriti parlimen.

Pada awalnya, kerajaan Muhyiddin berniat menangguhkan sidang hingga ke bulan September tetapi terpaksa membuka parlimen dengan mengadakan “sesi taklimat” setelah kedua-dua Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara menghadap YDP Agong pada 29 Jun.

Mengapa kerajaan Muhyiddin begitu berkeras tidak mahu memanggil sidang dan membenarkan undi di parlimen? Jawapannya mudah. Kerajaan Muhyiddin tidak mempunyai majoriti walaupun  mempunyai blok ahli parlimen terbesar. Dalam pada itu, sebilangan ahli parlimen UMNO telah menyatakan mereka akan menentang beliau dalam sesi undian akan datang. 

Perkembangan semasa bukti Muhyiddin tetap berdegil dan tidak akan berganjak mahupun melepaskan jawatan secara terhormat. Jika sejumlah besar anggota parlimen Perikatan Nasional menarik sokongan terhadap Muhyiddin barulah beliau akan tumbang. Jika tidak, beliau mampu untuk kekal, setakat ini. Terdapat beberapa andaian:

Pertama, Azmin Ali dan bloknya tidak dapat pergi ke mana-mana, jadi mereka tidak boleh meninggalkan Muhyiddin;

Kedua, PAS hanya akan meninggalkan Muhyiddin sekiranya Hadi Awang tidak lagi mengetuai parti atau jika ada tekanan yang terlampau besar daripada masyarakat;

Ketiga, GPS Sarawak akan ‘tunggu dan lihat’ hingga saat akhir dan hanya meninggalkan Muhyiddin jika beliau disingkirkan. 

Oleh itu, tumpuan sekarang adalah kepada perpecahan atau kelompok dalam UMNO. Muhyiddin berjaya merampas kuasa melalui Langkah Sheraton kerana adanya sokongan yang menyeluruh daripada UMNO. Tetapi kini terdapat sekurang-kurangnya tiga pendirian berbeza dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO.

  1. Menyokong Muhyiddin kekal sebagai PM (blok Hishammuddin Hussein);
  2. Menjatuhkan Muhyiddin tetapi tidak sampai menumbangkan kerajaan Perikatan (pendirian terbaharu Najib Razak);
  3. Menumbangkan kerajaan Perikatan (blok Ahmad Zahid Hamidi; Tengku Razaleigh Hamzah).

Pastinya, Muhyiddin akan berusaha untuk mengelakkan undi di parlimen. Setiap Ahli Parlimen UMNO kini perlu berterus terang kepada orang ramai dan menyatakan pendirian politik masing-masing dalam masa dua hari ini. Mereka yang ingin menjatuhkan kerajaan Muhyiddin harus bekerjasama dengan pembangkang untuk menggesa supaya sesi undian diadakan di parlimen pada hari Isnin 2 Ogos.

Pentadbiran berkecuali

Pentadbiran, khususnya perkhidmatan awam, yang berkecuali (neutral) sangat penting ketika negara memasuki detik-detik meruncing ini. Penangguhan sidang parlimen dan ‘lockdown’ mengejut parlimen semalam atas alasan kesihatan adalah satu duluan (precedent) yang berbahaya.

Sdr Lim Kit Siang berkata dalam kenyataan beliau, “Kebakaran Reichstag pada tahun 1933 (untuk menyalahkan pembangkang) telah mencemarkan nama Parlimen Jerman dalam dunia berparlimen, jangan kita biarkan martabat Parlimen Malaysia dicemari di persada dunia dengan sekatan pergerakan di Parlimen pada tahun 2021!”

Disebabkan kerajaan Muhyiddin sekarang dilihat sedang “bertembung” dengan istana dalam krisis perlembagaan, sukar untuk kita ramalkan apa yang akan dilakukan oleh kerajaan ini dalam usahanya untuk terus menggenggam kuasa. 

Polis dan semua agensi penguatkuasaan lain, serta juga pihak berkuasa kesihatan, mesti mengamalkan sikap berkecuali ketika mentadbir dan tidak membenarkan institusi-institusi ini dipergunakan demi kepentingan politik kerajaan semasa. 

Sebagai contoh, ujian saringan yang dilaksanakan pihak berkuasa kesihatan terhadap ahli-ahli parlimen dan para pegawai semalam adalah langkah yang baik, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menghentikan sesi parlimen, dan persidangan parlimen seharusnya dapat diteruskan.

Kini, krisis perlembagaan sudah tidak dapat dielakkan. Semoga Malaysia akan menjadi bertambah demokratik berikutan persaingan ini dan tidak terjerumus ke arah pemerintahan yang lebih kuku besi.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi