Malaysia berdepan jalan buntu

Walaupun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hanya menerajui kerajaan minoriti, mana-mana pihak yang mahu menumbangkannya perlu mengumpulkan sokongan majoriti

Setelah beliau menghadap DYMM Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 4 Ogos yang lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa YDPA telah memperkenan rancangan beliau untuk menguji majoritinya di parlimen pada bulan September.

Muhyiddin sedang cuba melengahkan masa tetapi beliau tidak mungkin bertahan lama di tampuk kuasa sekiranya ahli parlimen Perikatan Nasional menarik sokongan secara beramai-ramai pada minggu-minggu akan datang. Sekurang-kurangnya 8 ahli parlimen UMNO telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Pada 6 Ogos, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa 28 daripada 38 ahli parlimen UMNO (31 daripada 41 ahli parlimen BN) menyokong Muhyiddin dan kekal bersama kerajaan PN. Ini bermakna Muhyiddin kini mempunyai sokongan 105 orang ahli parlimen sahaja, masih tidak cukup majoriti daripada kesemua 220 orang ahli parlimen.

Kita tidak menolak kemungkinan pihak Istana mengeluarkan penjelasan menyangkal kenyataan Muhyiddin dan menitahkan beliau mengadakan sidang parlimen lebih awal daripada tarikh yang telah ditetapkan.

Selain daripada kemungkinan ini, yang jelas arah tuju kebuntuan ini menjurus kepada pihak Istana dilihat mahu krisis ini diselesaikan menerusi parlimen, selari dengan kenyataan yang dititahkan pada bulan Jun yang lalu.

Ini juga adalah satu peringatan kepada rakyat Malaysia bahawa institusi diraja kitalah yang sedang menekankan kepentingan sistem demokrasi berparlimen walhal kerajaan PN pula bertungkus-lumus mengenepikan parlimen.

Meskipun kita tahu Muhyiddin tidak mempunyai majoriti, wujud keadaan di mana gerakan anti-Muhyiddin bercanggah pendapat dan tidak dapat mencapai kata sepakat dalam hal calon pengganti Perdana Menteri.

Apa akan terjadi sekarang? Ini adalah beberapa senario yang mungkin berlaku.

Anwar Ibrahim sebagai PM

Pakatan Harapan dapat meyakinkan semua ahli parlimen pembangkang dan ahli parlimen UMNO yang menolak Muhyiddin untuk menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai PM. Ini adalah senario terbaik bagi parti-parti Pakatan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, dan Amanah.

Namun, pelbagai usaha yang telah dilakukan sejak Februari 2020 untuk menyatukan Anwar dan pemimpin parti pembangkang yang lain seperti Shafie Apdal dan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah gagal sementara UMNO dalam perhimpunan agungnya telah menolak gabungan baharu bersama Anwar dan DAP.

Calon lain daripada blok pembangkang sebagai PM

Pakatan Harapan boleh menawarkan seorang calon Perdana Menteri selain Anwar yang boleh diterima semua parti pembangkang, termasuklah ahli parlimen UMNO yang anti-Muhyiddin dan selebihnya. Untuk mengatasi halangan ini, PKR perlu bersetuju mengemukakan pemimpin lain sebagai calon Perdana Menteri dan ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Tokoh veteran sebagai PM

Membentuk sebuah kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan yang mempunyai peranan dan penglibatan yang signifikan, tetapi diketuai oleh calon Perdana Menteri yang bukan daripada barisan kepemimpinannya, seperti seorang ahli politik veteran yang tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang. Sebahagian pemimpin UMNO melihat Tengku Razali Hamzah dapat memainkan peranan ini.

Apa sahaja senarionya nanti, rakyat Malaysia memerlukan kerajaan yang mampu mengurus dan mengatasi pandemik

Bagi mencapai matlamat ini, Anwar dan semua calon Perdana Menteri lain perlu memberi laluan, yang sememangnya bukan mustahil tetapi tidak juga mudah. Bagaimanapun, senario ini tidak menjamin pemimpin yang dipilih itu tidak akan mempunyai kecenderungannya tersendiri untuk menyokong atau menentang sesetengah pihak. Ia juga tidak akan menjamin kerajaan baharu ini akan bertahan apabila berdepan dengan undi percaya pertamanya di parlimen.

Kerajaan perpaduan Melayu

Beberapa pihak sedang berusaha membentuk kerajaan perpaduan yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Melayu sahaja tanpa DAP dan Muhyiddin walaupun desakan untuk kerajaan perpaduan Melayu dan sentimen anti-DAP telah menurun berbanding Februari 2020.

Walau apa pun, pembentukan ini tentunya akan menarik minat pihak tertentu, khususnya UMNO yang berharap dapat mengambil alih kedudukan Muhyiddin tanpa menukar struktur Perikatan Nasional yang sedia ada.

Muhyiddin sebagai PM minoriti

Muhyiddin kekal sebagai PM untuk kerajaan minoriti. Kini, sokongan orang awam terhadap Muhyiddin amat rendah dan tiada siapa yang rela dilihat sebagai memberi talian hayat kepada beliau, kecualilah jika kerajaan sanggup membuat perubahan besar untuk memperbaiki situasi Covid-19 dan ekonomi.

Sekiranya tiada kerajaan baharu dapat dibentuk sebelum persidangan parlimen seterusnya, pentadbiran Muhyiddin mungkin akan membuat satu bentuk perjanjian sokong dan bekal (confidence & supply agreement) atau penggubalan undang-undang mengikut kes demi kes bagi setiap langkah kerajaan sama ada program, pakej, dan rang undang-undang yang beliau mahu luluskan untuk bertahan buat masa ini.

Apa sahaja senarionya nanti, rakyat Malaysia memerlukan kerajaan yang mampu mengurus dan mengatasi pandemik.

*Artikel ini diterbitkan buat kali pertama dalam Bahasa Inggeris di Fulcrum oleh ISEAS – Yusof Ishak Institute pada 6 Ogos 2021

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan