Pentingnya Kertas Putih Pertahanan untuk negara

Hari ini, 16 September, kita bukan sahaja menyambut Hari Malaysia ke-58, malah juga Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-88.

Sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada negara dan mantan Timbalan Menteri Pertahanan, saya menghargai wira dan wirawati Angkatan Tentera Malaysia yang mencurah bakti untuk negara. Pengorbanan dan sumbangan mereka menjadikan Malaysia lebih aman dan selamat.

Kita sedang melalui suatu zaman yang tak menentu. Selepas runtuhnya Tembok Berlin pada November 1989 yang menandakan berakhirnya pengaruh komunis  global dan pemeteraian Perjanjian Damai Hatyai sebulan selepas itu yang membawa kepada perletakan senjata Parti Komunis Malaya, negara kita dan seluruh dunia telah melalui tempoh aman selama 30 tahun. 

Tetapi kini persaingan kuasa besar sudahpun kembali dan secara geografinya, Malaysia terletak di tengah-tengah zon konflik geopolitik ini: Laut China Selatan.

Oleh itu, kita memerlukan reformasi pertahanan yang komprehensif untuk meningkatkan kesiapsiagaan Malaysia bagi menghadapi apa jua kemungkinan.

Pada 2 Disember 2019, Menteri Pertahanan kerajaan Pakatan Harapan, Mohamad Sabu, telah membentangkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) pertama Malaysia yang menggariskan matlamat strategik negara serta reformasi yang diperlukan dalam dekad yang akan datang.

KPP telah dirangka sebagai dokumen inklusif “keseluruhan kerajaan” yang diluluskan di Parlimen secara dwipartisan. Rundingan meluas dilakukan dengan pelbagai pemegang taruh termasuk agensi-agensi kerajaan, kementerian-kementerian yang lain dan juga barisan pembangkang ketika itu.

Dato’ Seri Ismail Sabri selaku Ketua Pembangkang pada ketika itu telah mengiktiraf KPP, malah pada sidang media pertama beliau sebagai Menteri Pertahanan pada Mac 2020, beliau telah menzahirkan komitmen kepada rakyat dan Angkatan Tentera Malaysia untuk meneruskan reformasi keselamatan berdasarkan KPP.

Oleh itu, amat mendukacitakan sekali apabila Datuk Seri Hishammuddin Hussein memilih untuk tidak mempedulikan KPP dalam kenyataan media empat halaman beliau mengenai hala tuju dasar Kementerian Pertahanan sekembalinya beliau ke kementerian tersebut. 

Saya dimaklumkan bahawa Hishammuddin tidak begitu berminat untuk meneruskan reformasi KKP. Jika ini benar, ia amat mengejutkan. Saya berharap beliau menjelaskan pendirian ini kepada rakyat. 

Hishammuddin perlu meneladani Ismail Sabri dengan menjadikan KPP sebagai objektif dasar merentasi parti yang tidak akan berubah walaupun berlaku pertukaran kerajaan atau menteri.  

Memandangkan KKP telah diluluskan oleh parlimen pada Disember 2019,  Kementerian Pertahanan dan kerajaan Malaysia secara amnya perlu melaksanakan perancangan berikut:

  1. Pelan Pelaburan Pertahanan Negara, 3PN;
  • Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan, RTKP;
  • Dasar Industri Pertahanan Negara, DIPN;
  • Mengkaji semula Pelan Pembangunan Strategik 4DMAF bagi menyelaraskan pelaksanaan pelan pembangunan, iaitu pelan Army 4nextG untuk Tentera Darat Malaysia, perancangan #15to5 bagi memacu Tentera Laut Diraja Malaysia, dan CAP55 untuk pemodenan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Bersempena kedua-dua sambutan bersejarah pada hari ini, saya berharap Hishammuddin tidak akan mengecewakan rakyat Malaysia, khasnya anggota Angkatan Tentera Malaysia, yang telah menunggu lama untuk melihat reformasi ini dilaksanakan. 

Kenyataan media Liew Chin Tong, mantan Timbalan Menteri Pertahanan, pada 16 September 2021 sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-88.

Kongsikan artikel ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Artikel Berkaitan

Lima tema untuk Johor bergerak maju

Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor oleh Pakatan Harapan Johor, saya telah menyuarakan hasrat untuk memimpin barisan Pembangkang yang konstruktif. Ini penting untuk membina kerjasama dwipartisan dalam…
Baca Lagi