Tiga Persoalan Penting Sempena Ulang Tahun Kedua Kertas Putih Pertahanan

Semasa Kertas Putih Pertahanan (KPP) dibentangkan dan diluluskan di Parlimen pada 2 Disember 2019, Ketua Pembangkan pada ketika itu, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengiktiraf kepentingan KPP. Malah, dalam sidang media pertama beliau selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada Mac 2020, beliau menyatakan komitmen untuk meneruskan reformasi keselamatan berdasarkan KPP. 

KPP merupakan dokumen terbuka pertama yang menggariskan matlamat dan kepentingan strategik negara serta pembaharuan yang diperlukan bagi menjamin kepentingan tersebut. Sempena ulang tahun kedua pelancaran KPP, tiga persoalan penting perlu dijawab.

Pertama, Apakah status perangkaan tiga pelan teras Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sepatutnya dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen sebelum 2022?

Tiga pelan tersebut iaitu Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN), Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) perlu diteliti dan diperincikan secara terbuka kepada ahli-ahli parlimen bagi menegakkan prinsip ketelusan dan anti-rasuah dalam pembangunan keupayaan pertahanan dan industri pertahanan. 

KPP telah menggariskan bahawa 3PN, yang sepatutnya dikemukakan pada 2021, perlu diluluskan oleh sebuah Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan antara-kementerian yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Namun, mengikut jawapan Parlimen pada November 2021, masih belum ada tarikh pembentangan atau penjelasan mengenai status perangkaan 3PN.

Kertas Putih Pertahanan telah diluluskan secara dwipartisan dan telah melibatkan semua lapisan masyarakat di dalam proses konsultasi. Memandangkan kepentingan tiga pelan teras tersebut kepada ATM dan keselamatan negara, adakah Menteri Pertahanan boleh memberi jaminan bahawa semangat bipartisan dan libaturus yang menyeluruh akan digunapakai dalam proses perangkaan dan pembentangan tiga pelan tersebut?

Kedua, apakah langkah-langkah lanjut yang diambil terhadap kandungan semua laporan sulit Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkenaan penyelewengan perolehan dan apakah status Jawatankuasa tersebut?

Kementerian Pertahanan tidak boleh lagi mengulangi kesilapan-kesilapan perolehan yang lalu, contohnya kes kapal Littoral Combat Ship (LCS) dan 16 kes Land Swap yang telah dibongkar di dalam siasatan JKSTUPKK. Laporan JKSTUPKK yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang telah mendapati bahawa berlaku kerugian dan ketirisan yang melibatkan nilai RM500 juta dana awam. 

JKSTUPKK juga menyiasat projek Sistem Penguatkuasaan Automatik AES yang mana kerajaan terpaksa melakukan “bail out” (penyelamatan) pada 2015 dan menanggung pembayaran RM555 juta daripada wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada syarikat konsesi projek AES yang diambil alih.

Adalah penting untuk memastikan proses perolehan dapat menjamin kepentingan ATM dan bukannya kontraktor, peralatan ketenteraan yang dibeli harus menepati keperluan semasa dan keupayaan ketenteraan bagi mempertahankan kepentingan negara.

Pembaharuan ketenteraan menjadi benteng bagi memastikan masalah ketirisan, pembaziran atau penyelewengan dalam perolehan peralatan ketenteraan sekaligus mengelakkan senario di mana proses perolehan ATM dikaitkan dengan istilah seperti “kickbacks”, “money trail” dan “vendor-driven”.

Ketiga, sejauh manakah Malaysia bersiap siaga untuk menghadapi persaingan geopolitik dunia dan serantau, khususnya di Laut China Selatan dan rantau Asia secara amnya?

Mengambil kira perkembangan terbaru, ketegangan yang memuncak tidak akan membawa kepentingan terhadap mana-mana negara di rantau ini. Seperti yang dinyatakan di dalam KPP, Malaysia perlu memanfaatkan kedudukan geografinya yang strategik di tengah-tengah perairan yang menjadi persaingan sengit. Dengan berpaksikan prinsip “activist-neutrality”, Malaysia harus mewujudkan tafsiran baru mengenai istilah “neutral” yang sepatutnya merangkumi konsep menerajui kerjasama dan kepimpinan secara proaktif dalam isu-isu keselamatan serantau.

Kami berharap kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memandang serius komitmen untuk menjayakan KPP. Jika dasar yang digariskan KPP diabaikan, kepentingan ATM dan keselamatan rakyat akan terjejas.

Jelasnya, proses pemodenan ATM dan reformasi pertahanan yang komprehensif tidak boleh ditunda, untuk meningkatkan kesiapsiagaan Malaysia bagi menghadapi landskap keselamatan baru dan menjamin keselamatan rakyat. 

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi