Pelantikan Bekas Menteri ‘Kereta Terbang’ sebagai Pengerusi Boustead satu penghinaan kepada Angkatan Tentera Malaysia

Kenyataan Media Liew Chin Tong, mantan Timbalan Menteri Pertahanan Pada 4 Januari 2022

Sebagai mantan Timbalan Menteri Pertahanan yang memahami gerak kerja dan pentadbiran Boustead Holdings Bhd yang merupakan sebahagian daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), saya terkejut dan amat bimbang dengan pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebagai Pengerusi bukan eksekutif Kumpulan Boustead.

Ia merupakan “scheme of things” baharu yang tidak sepatutnya berlaku. Istilah “scheme of things” telah digunakan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa rampasan kuasa Sheraton untuk menghalalkan pengagihan jawatan GLC demi membeli sokongan Ahli Parlimen.

Semasa era pentadbiran Pakatan Harapan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu telah menyatakan dengan jelas bahawa pengurusan LTAT dan Boustead perlu diterajui pihak profesional, dan bukan ahli politik.

Redzuan telah mengambil alih jawatan tersebut daripada bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin yang telah meletak jawatan pada 4 Ogos sebagai bantahan terhadap pentadbiran  Muhyiddin. Sebelum Khaled, orang yang sekian lama memegang jawatan Pengerusi Boustead ialah bekas Panglima Angkatan Tentera Allahyarham Tan Sri Ghazali Che Mat.

Tidak seperti GLC yang lain, LTAT dan Boustead merupakan entiti unik yang mewakili kepentingan, pandangan, dan perspektif Angkatan Tentera Malaysia.

Sewaktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan, cita-cita kami ialah memastikan LTAT dan Boustead dapat dibangunkan sebagai pusat pelaburan industri pertahanan baharu melalui transformasi berdasarkan Kertas Putih Pertahanan. Malangnya, semua ini telah dihancurkan  oleh rampasan kuasa Sheraton. 

Boustead dan anak syarikatnya Boustead Shipyard kini sedang bergelut untuk menyelesaikan projek Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 bilion yang masih terumbang-ambing.

Redzuan tidak sepatutnya dilantik kerana beliau tidak mampu menyelesaikan krisis besar yang dihadapi syarikat ini, malah berdasarkan reputasi beliau yang dicurigai, ia akan memburukkan lagi keadaan.

Pelantikan beliau adalah satu penghinaan kepada Angkatan Tentera Malaysia dan ia harus dibatalkan serta-merta.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan