PRN Melaka dan Sarawak: Apa yang boleh dijangka?

Harold Wilson, mantan Perdana Menteri Britain yang mewakili Parti Buruh, pernah berkata “seminggu adalah tempoh yang panjang dalam politik”. Saya ingin menambah sedikit lagi, iaitu  “lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya”.  

Nampaknya kita bukan sahaja bakal berdepan dengan satu tetapi mungkin dua pilihan raya negeri (PRN) dalam jangka masa terdekat. Minggu ini, tumpuan seluruh negara akan beralih sebentar daripada PRN Melaka kepada kemungkinan PRN Sarawak, yang berkait rapat dengan pindaan perlembagaan Persekutuan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Perkembangan terkini Melaka 

Dalam artikel sebelum ini, saya menyifatkan PRN Melaka sebagai satu “pertaruhan kecil” tetapi mempunya kesan yang besar. Keputusannya nanti akan diteliti dan dikupas oleh semua parti politik bagi mengatur langkah seterusnya, khususnya menjelang pilihan raya umum ke-15.  

Pada 18 Oktober, untuk PRN Melaka, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan 20 November sebagai tarikh mengundi dan 8 November pula sebagai tarikh penamaan calon. 

Minggu lalu, kebanyakan perdebatan tertumpu kepada empat ADUN – dua UMNO, satu lagi Bersatu dan satu wakil bebas – yang menjadi punca runtuhnya kerajaan negeri Melaka, sama ada mereka akan bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH). 

Majlis Presiden PH telah membuat ketetapan pada 20 Oktober bahawa bekas wakil rakyat DAP yang berpaling tadah, Norhizam Hassan Baktee tidak akan dijadikan calon PH. Kata sepakat berkenaan status tiga wakil rakyat yang lain belum dicapai.  

PH pada dasarnya bersetuju supaya bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menjadi ketua pasukan jentera pilihanraya PH. Meskipun beliau belum lagi dinamakan sebagai calon rasmi untuk jawatan Ketua Menteri, ini mungkin diumumkan pada minggu-minggu berikutnya. 

Pencalonan Adly sebagai bakal Ketua Menteri Melaka mungkin nampak sebagai satu perkara biasa bagi sebahagian pemerhati politik, tetapi ia adalah keputusan yang amat penting bagi PH. 

Ia akan membezakan PH dengan UMNO. Ini adalah kerana akan ada perebutan kedudukan dalam UMNO yang mempunyai tiga calon merebut jawatan Ketua Menteri ketika ini iaitu Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Ketua Perhubungan UMNO Melaka dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad. 

Memandangkan Rauf bukan seorang ADUN sebelum pembubaran DUN, Sulaiman telah dilantik menjadi Ketua Menteri selepas Langkah Sheraton. Beliau telah disifatkan sebagai ‘boneka’ Rauf. 

Bagi Bersatu pula, ia juga mungkin mencalonkan satu atau dua nama sebagai Ketua Menteri. Manakala PAS yang menganggap dirinya sebagai penentu kuasa atau kingmaker dijangka tidak menawarkan calon Ketua Menteri. Namun, ia tetap bermain politik yang sama dengan menyokong mana-mana pihak yang menang di antara Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).

BN lawan PN

PRN Melaka akan menyaksikan pertembungan PN yang diterajui Bersatu dengan BN yang dipimpin oleh UMNO. 

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan PN akan bertanding di semua 28 kerusi kerana tidak sabar lagi menunggu UMNO untuk berunding. Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula membalas dengan memaklumkan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu sebelum PRN. 

Ketika PRN Sabah pada September 2020, PN dan BN mampu mencapai kesepakatan bagi kebanyakan kerusi yang ditandingi. Namun, banyak perkara telah berubah sejak PRN lalu. 

Sewaktu pemfailan mahkamah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan pelbagai skandal rasuah, beliau mengesahkan akan memimpin UMNO dalam PRN Melaka bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zahid yang akan menjalani rawatan perubatan di Jerman. 

Disebabkan ini, PRN Melaka mungkin akan menjadi pertembungan proksi antara Najib dan Muhyiddin, dan para pengundi di negeri tersebut mungkin akan berasa meluat dengan tekanan pilihan sedemikian. 

Cabaran bagi PH dan kesemua parti politik yang bertanding di Melaka adalah sama ada mereka mampu untuk membina naratif dan agenda yang jelas untuk membawa negeri dan negara ke hadapan. 

Politik lama sudah dicuba dan diketahui gagal. Politik baharu pula sedang dinanti kemunculannya. Melaka akan menjadi medan ujian yang penting bagi pertembungan kedua-dua pendekatan politik ini.   

Sarawak dan masa depan federalisme

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar merupakan seorang veteran politik di Sarawak. Setakat ini, beliau telah mempamerkan kemampuan menjuarai isu reformasi parlimen dan undang-undang.  

Tetapi, minggu ini beliau berhadapan dengan kebuntuan besar dalam usahanya meneruskan pindaan perlembagaan bagi mentakrif semula maksud Persekutuan Malaysia dan federalisme.  

Pembentangan rang undang-undang (RUU) ini sepatutnya dilakukan pada 26 Oktober, tetapi telah ditangguhkan. Wan Junaidi berkata, tarikh baharu bacaan kali pertama RUU itu akan ditetapkan selepas taklimat daripada Peguam Negara berhubung perkara berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat (29 Oktober) ini. Mungkin ia hanya akan dibahaskan selepas sesi perbahasan Belanjawan 2022 selesai pada 13 Disember. Keputusan ini bakal menjejaskan naratif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya akan datang. 

Cadangan pindaan ini merangkumi usaha memasukkan MA63 di dalam perlembagaan buat pertama kalinya dan mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai “wilayah” dan bukan lagi “negeri”. 

Ia adalah satu perkara simbolik dalam perlembagaan yang cuba dibetulkan oleh kerajaan PH pada April 2019, tetapi gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga kerana GPS sendiri yang mengundi untuk berkecuali. Keputusan GPS mengejutkan banyak pihak. 

Sejak BN gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada tahun 2008, pindaan Perlembagaan adalah sesuatu yang jarang berlaku.  

Sepanjang menjadi Perdana Menteri dari 2009 hingga 2018, Najib tidak pernah membuat cadangan pindaan perlembagaan. Kerajaan PH pula, walaupun tidak berjaya mengubah  penukaran status Sarawak dan Sabah sebagai “wilayah”, ia telah meluluskan pindaan Undi18 pada 16 Julai 2019 atas usaha Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan ketika itu, dengan sokongan rentas parti yang dipersetujui Dato’ Seri Ismail Sabri, Ketua Pembangkang ketika itu. 

Perancangan Wan Junaidi hanya berjaya sampai ke peringkat sekarang disebabkan kerajaan Ismail Sabri dan PH telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pada 13 September yang memberi laluan kepada kerjasama merentasi parti. Tanpa kerjasama PH, hasrat rakyat Sarawak dan Sabah mungkin tidak tercapai.

Sekiranya cadangan pindaan dapat diluluskan dengan sokongan dwipartisan, banyak usaha reformasi lain dapat dirunding dengan cara yang sama. Akhirnya, Malaysia mampu meleraikan kebuntuan isu Perlembagaan sejak 2008.  

Kekangan buat GPS 

Namun, kini perancangan tersebut disekat. Kemungkinan besar ia disebabkan pengaruh konservatif dalam kerajaan yang takut menghadapi perubahan, khususnya pendekatan kerjasama dwipartisan bagi menambah baik institusi pentadbiran di Malaysia.  

Bagi pihak konservatif yang berkuasa di Putrajaya – yang anehnya disokong pula oleh GPS – mengiktiraf Sarawak dan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan adalah sesuatu yang menakutkan, malah dianggap bercanggah dengan kerangka pemikiran mereka. 

Melalui isu pindaan Perlembagaan bagi mengiktiraf MA63, GPS cuba mengabsahkan keputusan para pemimpinnya menyokong pengkhianat PH yang membentuk PN melalui rampasan kuasa Langkah Sheraton pada tahun 2020 dan seterusnya kerajaan Ismail Sabri sekarang. GPS dan PAS kini bersama dalam satu wadah politik. 

GPS jarang bergantung kepada retorik politik kerana ia berjaya mengawal pengundi melalui amalan politik naungan dan politik menakut-nakutkan rakyat. Walau bagaimanapun, GPS perlu meyakinkan pengundi bahawa parti itu masih relevan.  

Walaupun kuat di peringkat “negeri”, GPS (sebelum menukar namanya daripada BN Sarawak) hanya memenangi 19 daripada 31 kerusi Parlimen dalam PRU ke-14. GPS perlu berhati-hati dengan ketidakpuasan hati pengundi akar umbi. 

Oleh itu, GPS terdesak mahu PRN diadakan lebih awal pada tahun ini bagi mengelak kehadiran Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik, serta tidak mahu menunggu sehingga tamatnya tempoh darurat pada Februari 2022. 

Saya rasa kerajaan Sarawak melalui Tuan Yang Terutama Negeri mungkin memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat sebagai langkah permulaan mengadakan PRN sebelum 2022. 

Jika Melaka menjadi kayu ukur persaingan di antara politik lama dan baharu, PRN Sarawak pula akan menampilkan sesuatu yang lebih rumit.

Ia melibatkan retorik hak negeri dan persekutuan, termasuklah realiti sebenar kuasa konservatif BN-PN di Putrajaya dan betapa terhadnya pengaruh GPS yang menjadi rakan gabungan mereka selama ini.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi