PAS: Perjuangan yang semakin pudar

PAS kini berhadapan dengan satu percanggahan yang ketara – semakin ia berkuasa sebagai anggota Kerajaan Pusat, semakin merosot jenamanya sebagai sebuah parti politik.

Setelah berpecah pada 2015 apabila golongan progresif diusir keluar parti untuk menubuhkan Parti Amanah Negara, PAS didominasi oleh ideologi golongan konservatif. Biarpun begitu, pertembungan dalaman parti itu masih lagi wujud sehingga ke hari ini.

Percanggahan terkini berkisar sama ada PAS perlu bersama dengan UMNO (Barisan Nasional) atau Bersatu (Perikatan Nasional). 

Oleh kerana perkara ini tidak dapat diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat, ia terpaksa dibawa kepada Majlis Syura Ulama. Apabila Majlis Syura pun tidak dapat mencapai kata sepakat, ia diserahkan kepada Presiden Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk membuat keputusan. 

Bagi menghadapi pilihan raya negeri Melaka, Hadi memutuskan supaya PAS memihak kepada Bersatu dan bertanding menggunakan lambang PN.  

Sehubungan dengan itu, PAS bakal berentap dengan UMNO di 7 kerusi Dewan Undangan Negeri  Melaka dalam pertandingan pelbagai penjuru. 

Asal-usul perjuangan PAS

PAS ditubuhkan pada 1951 oleh pemimpin-pemimpin sayap agama UMNO yang tidak berpuas hati dengan pendekatan sekular pemimpin parti Melayu tersebut, termasuk tindakan UMNO menganjurkan skim “loteri kebajikan masyarakat”.

Para pemimpin terawal PAS merupakan tokoh-tokoh agama yang disegani, termasuk bapa dan datuk mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Dalam pilihan raya umum pertama selepas Merdeka pada 1959, PAS berjaya membentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu, walaupun ia kehilangan Terengganu dua tahun selepas itu selepas beberapa wakil rakyat PAS melompat parti. 

Mulai akhir 1950-an hingga awal 1980-an, pemimpin yang paling berpengaruh dalam PAS ialah Datuk Asri Muda. 

Beliau merupakan Menteri Besar Kelantan dan juga Menteri Kerajaan Persekutuan ketika PAS bersama gabungan BN di antara 1973 dan 1977. Beliau juga lama menyandang jawatan Presiden PAS sehinggalah ditumbangkan oleh golongan radikal parti itu pada Oktober 1982. 

Malah, boleh dikatakan bahawa PAS yang ada pada hari ini lahir daripada konflik dalaman parti itu pada 1982.

Dalam tesis ijazah sarjana muda (kepujian) bidang Pengajian Asia, saya menumpukan kepada perpecahan dalaman PAS sejak 1999 hingga 2004. Manakala artikel-artikel saya yang diterbitkan pada 2005 ini (Bahagian I dan Bahagian II) menghuraikan asal-usul penubuhan  Majlis Syura Ulama PAS. 

Majlis Syura Ulama dibentuk bagi membezakan PAS baharu dengan PAS lama pimpinan Asri Muda. Kepimpinan beliau dilabel oleh golongan radikal PAS waktu itu sebagai assabiyah. Walaupun assabiyah mempunyai beberapa makna yang berbeza, golongan radikal mentafsirkannya sebagai perkauman atau nasionalisme sempit. 

Dengan itu, mereka mendakwa pendekatan Asri lebih mengutamakan agenda kaum Melayu berbanding perjuangan Islam yang lebih luas. Istilah assabiyah mereka kemudian dilontarkan terhadap UMNO pula.

Hadi adalah salah seorang tokoh utama gerakan radikal pada1982. Berumur 35 tahun ketika itu, beliau merupakan seorang pemidato yang terkenal dengan ucapannya yang “keras”. 

Beliau terkenal dengan “Amanat Hadi”, satu petikan ceramahnya pada 1981 yang “mengkafirkan” pemimpin dan ahli UMNO atas tuduhan assabiyah. Amanat Hadi dianggap sebagai titik permulaan pendekatan radikal PAS.

Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat cuba menyederhanakan imej PAS selepas parti itu menawan semula Kelantan pada 1990.  Allahyarham Datuk Fadzil Noor, sebagai Presiden PAS sejak 1989, pula membawa masuk golongan profesional muda dan mengetengahkan mereka sebagai calon pilihan raya. 

Langkah berani Ustaz Fadzil pada PRU 1999 membuahkan hasil apabila PAS berjaya memenangi 27 kerusi Parlimen. Ini merupakan pencapaian terbaik parti itu sejak penubuhannya dan satu rekod yang belum dapat diatasi sehingga ke hari ini. 

Malangnya, usaha yang dipelopori Ustaz Fadzil untuk mengarusperdanakan parti itu terhenti setelah beliau meninggal dunia pada Jun 2002. 

Bebanan PAS

Pengaruh kuat Hadi selama 39 tahun, termasuk 19 tahun sebagai Presiden, kini lebih dilihat sebagai bebanan, dan bukannya kelebihan kepada parti.  

Di bawah pimpinan Hadi, PAS telah menyingkirkan golongan progresif daripada barisan kepimpinan dan menjadi punca terkuburnya Pakatan Rakyat pada Jun 2015. Ia juga mula “bermain mata” dengan UMNO dan Datuk Seri Najib Razak di kala Perdana Menteri ketika itu terpalit dengan skandal rasuah mega 1MDB.

Parti itu mangaturkan pertembungan tiga penjuru di kesemua kerusi UMNO dan Pakatan Harapan pada PRU14. Persaingan tiga penjuru itu bertujuan memecahkan undi orang Melayu yang anti-Najib bagi memastikan kekalahan Pakatan Harapan.  

Namun, strategi itu gagal sepenuhnya. Malah, ia telah membuka ruang bagi Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada Mei 2018. 

PAS kemudiannya bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk Muafakat Nasional yang bermatlamat untuk memenangi pilihan raya atas nama agenda Melayu-Islam. Parti itu turut sama berkomplot dalam rampasan kuasa Sheraton pada Februari 2020 bagi menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih oleh rakyat secara sah.

Dari segi kuasa yang dimilikinya, inilah saatnya PAS paling berkuasa selain tempoh berkongsi kuasa dalam BN di antara 1973 dan 1977.  

Selepas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, PAS diberi ganjaran tambahan dengan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri. Ini adalah portfolio menteri yang telah lama diidamkan oleh parti tersebut.  

Sejak penubuhannya, PAS dikenali sebagai parti agama dengan kepimpinan dan keahlian marhaen. Namun, ia tidak lagi begitu sekarang.

Malah sejak sebelum rampasan kuasa Sheraton lagi, parti itu telah dikaitkan dengan isu wang haram, seperti kes mantan Timbalan Presidennya Nasharuddin Mat Isa atau didedahkan dengan isu kereta-kereta mewah. Tidak lupa juga amalan-amalan dua darjat pemimpin PAS sewaktu sekatan pergerakan Covid-19.

Sebelum 2015, PAS berpeluang memenangi pilihan raya di peringkat Persekutuan jika golongan progresif masih bersamanya dalam kerangka gabungan Pakatan. 

Malah, ia mungkin dapat mengembangkan pengaruhnya ke negeri-negeri di selatan Semenanjung seperti Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor. Namun, selepas golongan progresif diusir keluar parti beramai-ramai pada 2015, ia hanya tinggal angan-angan sahaja.  

Realiti pahit buat PAS

Sebagai anggota Kerajaan Persekutuan, PAS tidak lagi boleh lagi bermain sentimen perkauman dan agama sewenang-wenangnya bagi meraih undi. Ia terikat dengan had undang-undang, ia perlu menangani pelbagai masalah serta mengendalikan urusan harian pentadbiran. Kesemua ini bukan kekuatan dan kemampuan PAS.

Dalam konteks pilihan raya pula, PAS yang bekerjasama dengan Bersatu hanya dihadkan untuk bertanding di Kelantan dan Terengganu serta di kawasan-kawasan utara Kedah, utara Perak, dan timur Pahang.  

Jika PAS mahu menjadi penentu kuasa atau kingmaker, seperti yang diuar-uarkan oleh Hadi, ia terpaksa menghadkan pengaruhnya di negeri-negeri dan kawasan-kawasan di mana PAS mempunyai sokongan kuat sahaja. Oleh itu, PAS memillih Bersatu sebagai sekutunya kerana Bersatu yang lemah di Pantai Timur akan menyerahkan kerusi-kerusi di sana kepada PAS.

UMNO pula lebih cenderung untuk bersaing dengan PAS di Kelantan dan Terengganu kerana ia sudah lama berhasrat menawan negeri-negeri tersebut. 

PAS yang sudah terlalu lama memerintah Kelantan sejak 1990 dilihat semakin lemah. Tidak mustahil UMNO mampu memenangi Kelantan dalam PRU akan datang. Malah, untuk Terengganu, tiada jaminan PAS dapat mempertahankannya.

PAS hanya berjaya menang besar di Kelantan dan Terengganu pada PRU14 kerana ia menunggang naratif Pakatan Harapan melawan Najib dan UMNO.  

Kini, jenama PAS semakin pudar. Semakin tinggi ia berada di puncak kuasa kerajaan Persekutuan, semakin hilang arah perjuangan politiknya.  

Dalam PRU akan datang, saya menjangkakan PAS hanya akan menang tidak lebih daripada 10 kerusi Parlimen. Malah, UMNO yang berpeluang merampas semula kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu.

Oleh kerana UMNO masih gagal mencari formula kemenangan di Pantai Barat yang sarat dengan pengundi pelbagai kaum, ia dijangka meningkatkan kekuatan jenteranya untuk memenangi hati pengundi Melayu di Kelantan dan Terengganu.

Tidak mustahil untuk UMNO memenangi 65 kerusi Parlimen di Semenanjung dalam PRU15, tetapi kerusi-kerusi itu bukan datangnya daripada Pakatan Harapan. Sebaliknya, PAS mungkin menjadi mangsa UMNO apabila kehilangan kerusi yang akan dirampas oleh UMNO.

Muktamar PAS ke-67 PAS baru sahaja selesai, dan pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu yang sepatutnya diadakan pada 2020 tetapi telah ditangguhkan berikutan Covid-19, juga telah disempurnakan. Namun, ia mengekalkan kepimpinan tertinggi yang sama. Ia bererti tiada apa-apa perubahan dalam hala tuju parti. 

Yang nyata, ia akan terus berhadapan dengan realiti pahit bersaing dengan Bersatu sebagai sekutunya dan UMNO yang merupakan sekutu yang juga “musuh” politiknya. Pada masa yang sama, akibat sikap sesetengah pemimpinnya yang rakus dengan kuasa, jenama hebat PAS suatu ketika dulu kini semakin pudar.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi