Pilihan raya negeri Melaka merupakan persaingan memilih kerajaan – sama ada yang baik atau yang buruk

Kenyataan media oleh Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong sewaktu sidang akhbar bersama Sdr Lim Kit Siang dan Sdr Kerk Chee Yee, calon Pakatan Harapan bagi N16 Ayer Keroh di Bilik Gerakan Pilihanraya Pakatan Harapan Ayer Keroh pada 7 November 2021

Melaka menyaksikan perubahan kerajaan negeri buat kali pertama sejak Merdeka berikutan kemenangan rakyat menumpaskan sistem satu parti dominasi UMNO dalam pilihan raya umum 2018.

Kerajaan Pakatan Harapan yang menang dalam PRU14 telah ditumbangkan oleh UMNO dengan bantuan beberapa pengkhianat melalui Langkah Sheraton. Kini rakyat Melaka boleh mengukur sendiri kebaikan dan keburukan semua kerajaan negeri yang mentadbir sebelum ini.

Saya bangga dengan Ahli Exco Kerajaan, wakil-wakil rakyat, ahli-ahli majlis serta ketua kampung yang mewakili DAP sewaktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan. Mereka gigih bekerja demi rakyat.

Di bawah kepimpinan Sdr Adly Zahari daripada Amanah, rakyat Melaka telah melihat sebuah kerajaan Pakatan Harapan yang jujur, gigih bekerja dan memberi khidmat kepada semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Sepanjang perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri, tiada kedengaran tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan diskriminasi, walaupun ketika itu sudah ada tanda-tanda beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan yang hanya mementingkan diri sendiri – akhirnya terbukti kejahatan mereka apabila bersekongkol dengan UMNO untuk menjatuhkan kerajaan sendiri.

Selepas rampasan kuasa itu, rejim Datuk Seri Sulaiman Md Ali-Datuk Seri Rauf Yusoh atas nama UMNO mula dikenali sebagai kaki buli terhadap kakitangan kerajaan, pengusaha perniagaan dan rakyat amnya. Rejim itu juga dikatakan menggubal dasar yang bersifat perkauman.

Kini terdengar kempen bisik-bisik yang cuba mempengaruhi rakyat Melaka agar tidak keluar mengundi. Kempen kotor ini mendakwa kononnya tidak perlu mengundi sekarang kerana boleh mengundi sekali lagi dalam PRU15 yang akan diadakan tidak lama lagi. Hujah ini tidak berasas.

Selepas pengundian pada 20 November ini, kerajaan negeri Melaka yang baharu tidak perlu dibubarkan apabila PRU15 diadakan. Pilihan raya bagi kerusi parlimen dan DUN bukannya wajib untuk dijalankan serentak. Jangka hayat kerajaan negeri Melaka ini ialah selama lima tahun, kecuali ia dibubarkan lebih awal.

Oleh itu, kita perlu melawan sikap tidak peduli dalam politik serta menggerakkan kempen solidariti rakyat untuk memujuk pengundi Melaka turun mengundi pada 20 November ini.

Tidak mengundi bererti kita memilih kerajaan yang jahat

Pilihan raya negeri Melaka bukan untuk menjadi pembangkang atau sekadar undi protes. Ia merupakan tanggungjawab memilih sebuah kerajaan yang baik, jujur dan bekerja untuk rakyat.

Untuk memastikan rakyat dapat melihat sendiri kejayaan lepas serta perancangan masa depan, saya telah mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya menyelaraskan debat antara calon-calon Ketua Menteri Melaka serta calon-calon bagi beberapa kawasan DUN utama. SPR boleh mengambil teladan daripada debat yang disiarkan secara “live” di antara Lim Guan Eng dan Wee Ka Siong baru-baru ini.

Semua debat ini adalah penting kerana kesukaran untuk berkempen setelah kerajaan Ismail Sabri Yaakob melarang kempen pilihan raya di Melaka.

Untuk menjayakan usaha ini, sdr Adly Zahari boleh mewakili Pakatan Harapan untuk berdebat dengan semua calon Ketua Menteri gabungan-gabungan lain.

Untuk gabungan-gabungan lain, saya tidak pasti sama ada Sulaiman atau Rauf yang akan menjadi pilihan UMNO untuk jawatan Ketua Menteri.

Saya juga tidak pasti siapa calon Ketua Menteri daripada Perikatan Nasional, sama ada Datuk Rafiq Naizamohideen atau Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Namun, siapapun pilihan BN atau PN, semua calon Ketua Menteri Melaka patut berdebat secara “live” melalui siaran TV dan platform digital.

Saya juga menyeru agar pihak media memberikan liputan adil untuk semua calon daripada tiga gabungan utama itu.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi