PRN Melaka: Bangkit selepas kalah

Ucapan Liew Chin Tong, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP di majlis penghargaan petugas kempen dan sukarelawan pada 21 November 2021. 

Saya mengucapkan tahniah kepada Sdr Kerk Chee Yee kerana berjaya mengekalkan kemenangannya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh dengan majoriti besar sebanyak 5,624 undi.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada ADUN Pantai Remis, Sdri Wong May Ing yang memimpin kempen di Ayer Keroh selama dua minggu ini. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Sdr Khoo Poay Tiong selaku Pengarah Pilihan Raya Negeri DAP Melaka yang bertungkus-lumus menunaikan tanggungjawab beliau. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Sdr Tey Kok Kiew selaku Pengerusi DAP Melaka atas kepimpinan dan keberanian  beliau, terutamanya mengambil risiko besar untuk bertanding di DUN Bemban, meskipun tidak berjaya dalam usahanya itu. 

Bangkit selepas kalah 

Dalam pilihan raya, ada yang menang dan ada yang kalah. Bagi Pakatan Harapan, kita akur  yang kita tidak berjaya dalam pilihan raya negeri Melaka. Sungguhpun kita tewas dalam pertarungan kali ini,  ia tidak bermaksud kita akan kalah dalam peperangan lebih besar yang akan datang.

Pada April 2007, DAP tewas pilihan raya kecil (PRK) Machap di Melaka dengan keputusan yang mengecewakan. Setahun selepas itu, pada Mac 2008, tsunami politik telah mengubah landskap politik buat selama-lamanya.

Pada 7 Mei 2016, 12 kerusi DAP di DUN Sarawak dikurangkan menjadi tujuh. Pada 18 Jun 2016, PH kalah teruk di kedua-dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Kurang dua tahun selepas itu, pada Mei 2018,  pengundi Malaysia, mencatat sejarah dengan mengubah kerajaan buat kali pertama.

Kita harus bangkit dari kekalahan ini dan menyusun strategi yang lebih baik dalam pilihan raya akan datang.

Kemenangan 2008 tercetus daripada gerakan menuntut pilihan raya bersih, Bersih, yang dibantu oleh pihak pembangkang. Kejayaan 2018 pula merupakan hasil penyusunan semula secara besar-besaran mulai 2017 sehingga menjadikan Pakatan Harapan sebagai faktor penentu (game changer). 

Hari ini, PH memerlukan satu ‘reset’ untuk menjadikan gabungan ini sebuah “khemah besar” bagi menyatukan semua pihak yang menentang politik lama UMNO/Barisan Nasional dan Perikatan Nasional. Pakatan Harapan yang baharu harus menjadi pilihan kesemua pengundi atas pagar dan golongan muda. 

Dalam PRN Melaka, pengundi Melayu yang menolak UMNO/Barisan Nasional telah memilih untuk mengundi Perikatan Nasional. Kita perlu memberi Pakatan Harapan wajah segar dan intipati baharu supaya kita menjadi pilihan terbaik bagi pengundi atas pagar berbanding UMNO/Barisan Nasional atau Perikatan Nasional.

Bagi DAP, kita telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan di kerusi bandar seperti Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir, dan Ayer Keroh.

Di Pengkalan Batu dan Duyong yang juga merupakan kerusi bandar masing-masing dengan 65% dan 60% pengundi Melayu, DAP kalah tipis dengan 131 dan 200 undi.

Manakala di kerusi luar bandar seperti Bemban dan Gadek yang mempunyai 60% pengundi Melayu, DAP tewas dengan majoriti 1,116 dan 559 undi.

Biarpun kekalahan ini amat dikesali, kita tidak seharusnya berputus asa. Keputusan ini menunjukkan kita masih dapat memenangi kerusi-kerusi ini sekiranya ada peralihan undi kecil daripada pengundi muda dan pengundi atas pagar 

DAP perlu cekal untuk memastikan ia berhasil menjadi sebuah parti nasional bagi semua rakyat Malaysia yang mendahulukan Malaysia dan keMalaysiaan. Kita perlu menepis segala hasutan yang berhasrat untuk berundur menjadi sebuah parti satu kaum sahaja.  

Pilihan raya umum akan tiba tidak lama lagi. Malah, tidak mustahil jika ada beberapa PRN  berasingan  dalam masa beberapa bulan akan datang.

Persiapan untuk pertarungan seterusnya bermula hari ini. Sudah tiba masanya untuk menetapkan kita ‘reset’ dengan menyusun semua strategi politik baharu di peringkat nasional demi membina harapan dan memastikan rakyat terus melihat Pakatan Harapan sebagai parti yang membawa sinar harapan dalam kehidupan mereka. 

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi