

Hari ini, saya ingin berkongsi tentang buku “Lim Kit Siang: Patriot, Leader, Fighter” yang saya tulis bersama dengan Wan Hamidi Hamid dan Ng Wei Ling.
Versi asal buku ini dalam bahasa Inggeris telah diterbitkan pada April lalu manakala terjemahannya dalam bahasa Cina telah ada di pasaran sejak Oktober, dan versi bahasa Melayu pula akan diterbitkan pada Januari 2022.
Disebabkan beberapa kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tugasan yang lain, kami belum lagi membuat pelancaran rasmi, hanya sekadar sesi perkongsian buku versi bahasa Cina di Johor Bahru pada 6 November dan sidang media di Melaka pada 7 November, kedua-dua acara turut dihadiri Lim Kit Siang. Kami berharap untuk mengadakan lebih banyak sesi perbincangan buku ini dalam pelbagai bahasa.
Kit Siang merupakan seorang ahli politik Malaysia yang luar biasa. Bukan sahaja mampu menghasilkan jumlah tulisan yang besar sejak lima setengah dekad lalu, beliau juga merencana idea untuk membina negara seawal pertengahan dekad 1960-an. Malah, sejak usianya belum mencecah 30 tahun dan sehingga saat ini, beliau masih lagi berpegang teguh kepada idea-idea tersebut, seperti yang saya tulis dalam buku ini.
Saya telah mencatatkan:
“Cendekiawan Dr Phoon Wing Keong berpendapat bahawa Kit Siang adalah seorang yang unik dalam politik Malaysia. Ini adalah kerana setelah berdepan dengan pelbagai isu asas penting terutamanya tentang pembinaan negara, pada mulanya secara sendirian di kala usia mudanya dan kemudiannya dalam perjuangan parti, beliau masih kekal berpegang teguh kepada idea-idea itu sehingga hari ini.” (Halaman 21 edisi bahasa Inggeris)
Dalam Debat Kebudayaan di antara DAP dan Gerakan pada November 1968, Kit berkata:
“Kami anti cauvinisme-Melayu, sama seperti kita anti cauvinisme-Cina dan anti cauvinisme-India. Kami akan terus menentang sebarang usaha untuk menjadikan budaya Cina atau India sebagai asas budaya Malaysia, atau mana-mana seruan supaya kesusasteraan Malaysia hanya boleh ditulis dalam bahasa-bahasa India dan Cina.” (Halaman 29 edisi bahasa Inggeris)
Mencari nasionalisme Malaysia
Berbeza dengan ahli politik yang ada, Kit Siang sedar bahawa usaha membina nasionalisme Malaysia memerlukan semua pihak untuk keluar dari zon selesa kaum masing-masing. Pemikiran Malaysian First atau Utamakan Malaysia merupakan kerja yang berterusan dan sering tersangkut kerana terpaksa berhadapan dengan isu-isu kaum.
Sejak awal 1990-an, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membawa idea Bangsa Malaysia menerusi Wawasan 2020. Selepas itu, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia, dan sekarang Datuk Seri Ismail Sabri pula mengembar-gemburkan “Keluarga Malaysia”. Malangnya, idea-idea yang baik ini akhirnya menjadi slogan kosong semata-mata.
Apa yang Malaysia perlukan ialah komitmen sebenar semua warga untuk membina nasionalisme Malaysia yang meletakkan rakyat sebagai teras utamanya tanpa terlalu banyak mencari perbezaan sesama kita.
Kit Siang sentiasa menyeru rakyat melihat sesuatu perkara tanpa menggunakan kanta kaum, sebaliknya mengutamakan pandangan yang meletakkan Malaysia sebagai asas.
Tentunya, beliau tahu ini satu tugasan yang sukar untuk meyakinkan rakyat Malaysia berfikir di luar kerangka identiti etnik.
Tetapi, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjiwa besar, rakyat perlu berfikir melangkaui identiti kaum sahaja.
Kita perlu bekerjasama erat mencari hala tuju yang sama sebagai rakyat Malaysia, dan tidak cenderung kepada ketuanan mana-mana kaum atau menganggap diri sebagai mangsa, kerana kedua-dua sikap sama sahaja kesannya
Perjuangan kita membina sebuah negara yang meletakkan Utamakan Malaysia sebagai asas merupakan salah satu legasi penting Kit Siang yang kita perlu kita pegang.
Ketika era UMNO menguasai pemerintahan serta ideologi Ketuanan Melayu diterapkan, tokoh DAP ini berjaya meyakinkan ramai warga bukan-Melayu bahawa walaupun amalan pemerintah merupakan sesuatu yang buruk, rakyat Malaysia tidak patut lari atau berundur daripada usaha membina nasionalisme Malaysia.
Bagi saya, inilah sumbangan terbesar Kit Siang dalam perjalanan politiknya yang panjang selama 55 tahun.
Rakan senior saya dalam parti, M. Kulasegaran, pernah berkongsi cerita tentang dirinya yang mahu meninggalkan negara selepas tamat pengajian universiti kerana tidak bersetuju dengan sistem yang tidak adil di Malaysia.
Namun, selepas membaca buku tulisan Kit Siang yang bertajuk “Time Bomb in Malaysia” yang diterbitkan pada 1978, beliau mengubah fikirannya dan menyertai politik untuk sama-sama mengubah sistem agar lebih adil untuk semua rakyat Malaysia. Kisah ini turut saya paparkan dalam buku yang disebutkan di atas.(Halaman 48-49 edisi bahasa Inggeris)
Cerita-cerita yang penuh inspirasi inilah yang sepatutnya membangkitkan semangat kita. Tidak kira betapa teruknya kerajaan yang ada, kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh berputus asa, sebaliknya perlu sama-sama melibatkan diri membina Malaysia yang lebih baik.
Mempertahankan demokrasi berparlimen
Kita akan hanya merasai nilai demokrasi berparlimen apabila institusi ini dipinggirkan. Kit Siang telah menyumbangkan usia dewasanya memperjuangkan demokrasi berparlimen, meskipun sepanjang 55 tahun lalu, pihak komunis cuba memusnahkannya manakala pemerintahan UMNO pula meremehkannya apabila negara mula ditadbir secara kuku besi.
Sejak kebelakangan ini, saya mendapati ada segelintir penulis, khasnya dalam kalangan bukan-Melayu, yang cuba menjual idea kononnya pilihan raya merupakan satu perkara yang sia-sia dan politik pula amalan yang tidak berguna. Pandangan seperti ini tidak akan membantu usaha membina nasionalisme Malaysia.
Tidak kira Melayu atau bukan Melayu, kita perlu sedaya upaya membawa harapan kepada semua pihak untuk terlibat dalam membina sebuah negara yang lebih baik buat semua rakyat Malaysia.
Kini, Malaysia berada di persimpangan yang berbeza dan saya berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia membaca serta memahami perjuangan Kit Siang di kala kita mendepani cabaran politik hari ini.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!