Dua tahun selepas rampasan kuasa Sheraton: UMNO punca ketidakstabilan

Ucapan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong pada 23 Februari 2022 pada pelancaran Bilik Gerakan Pilihan Raya Pakatan Harapan Pekan Nanas

Hari ini dua tahun lalu, kumpulan pengkhianat dalam PKR yang diketuai Datuk Seri Azmin Ali telah berkomplot dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melakukan rampasan kuasa kerajaan di Hotel Sheraton bersama UMNO, PAS, dan GPS.

Dengan itu, tamatlah era kerajaan Pakatan Harapan setelah digulingkan selepas 22 bulan berkuasa. Walaupun kerajaan Pakatan Harapan tidak sempurna, ia merupakan pilihan yang sah rakyat Malaysia pada pilihan raya umum 9 Mei 2018.

Bagi mereka yang suka mengkritik pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan, perlu adil dalam menilai pemerintahan 24 bulan terakhir sejak Februari 2020. Sepanjang dua tahun ini, rakyat Malaysia menderita di bawah kerajaan yang cemerkap, berat sebelah dan gagal.  

Namun, kita mesti jalan terus. Bangsa Johor memandang serius tentang masa depan mereka untuk 24 bulan akan datang atau 60 bulan lagi (iaitu 5 tahun) serta seterusnya.

Untuk mengorak langkah semula, kita mesti jelas tentang satu perkara: sejak Mei 2018, UMNOlah yang menjadi dalang ketidakstabilan negara.

Apabila UMNO dan Barisan Nasional ditewaskan dalam PRU ke-14, mereka sepatutnya mengubah kepimpinan untuk membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang. 

Sebaliknya, UMNO enggan berubah. Ia masih mengekalkan pemimpin tidak bermaruah seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan korupsi.  

Malah, UMNO membentuk Muafakat Nasional dengan musuh ketatnya PAS pada Oktober 2018 dan “merasmikan” gabungan itu setahun kemudian.  

Untuk menekan kerajaan Pakatan Harapan, UMNO melaksanakan strategi “bumi hangus” dengan mengapi-apikan emosi perkauman. UMNO membangkitkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu terhadap bukan Melayu, dan melalui sekutunya MCA dan MIC, menimbulkan keresahan bukan Melayu terhadap orang Melayu.

Akhirnya, genap dua tahun hari ini, berlaku rampasan kuasa Sheraton yang menjanjikan kerajaan perpaduan Melayu yang bakal membawa kestabilan. Sebaliknya, apa yang berlaku ialah rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, menanggung derita dan sengsara hingga ke hari ini.

Terbukti, sejak 24 bulan lalu, UMNO adalah punca ketidakstabilan.

UMNO telah menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan. UMNO juga telah menumbangkan kerajaan Muhyiddin yang dianggotainya. Kini, UMNO menekan Perdana Menterinya sendiri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Dan, UMNO turut memaksa kerajaan negerinya sendiri di Johor untuk mengadakan pilihan raya mengejut ini!  

Pendek kata, UMNO tidak mahu memahami demokrasi dan enggan memainkan peranan sebagai pembangkang rasmi. UMNO hanya mahu menjadi ‘Abang Besar’. 

UMNO hanya mahu membolot kuasa. Bagi UMNO, tiada perkongsian kuasa dengan pihak lain. Dengan itu, terlepaslah peluang UMNO untuk bermuhasabah serta melakukan perubahan demi kebaikan negara dan kesejahteraan rakyat. 

Pilihan raya negeri Johor boleh menjadi titik perubahan kepada Malaysia. Bangsa Johor perlu menolak kerana ia boleh menjadi satu permulaan baharu untuk Malaysia. Menewaskan UMNO bermakna punca ketidakstabilan yang terbesar dapat dileraikan untuk kita memulakan era baharu.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi