

Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan dua hala yang akrab dan penting, terutamanya dari segi politik, ekonomi, kebudayaan sosial dan keluarga.
Sebelum Covid-19, dianggarkan hampir 360,000 orang keluar masuk Johor Bahru-Singapura setiap hari, kebanyakannya rakyat Malaysia yang berulang alik untuk bekerja di Singapura.
Penutupan sempadan telah melumpuhkan ekonomi setempat Johor Bahru. Ramai peniaga yang terkesan teruk sehinggakan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar.
Bagi pekerja yang berulang-alik, mereka terpaksa menetap di Singapura menyebabkan tambahan kos sara hidup kerana terpaksa membayar sewa rumah dan perbelanjaan harian. Bukan itu sahaja, sektor pelancongan juga turut terjejas.
Sehubungan itu, demi memulihkan ekonomi Johor, kami sebagai calon-calon Pakatan Harapan dan MUDA di kawasan Johor Selatan melalui Pelan Tindakan Johor Bangkit mengemukakan tiga cadangan untuk pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.
Pertama, membuka sempadan sepenuhnya menggunakan kaedah uji dan lepas (test-and-release) tanpa perlu kuarantin. Kaedah ini boleh digunakan kerana kebanyakan rakyat Malaysia dan Singapura telah lengkap divaksin. Kaedah ini telah berjaya dilaksanakan di negara lain.
Kedua, jika sempadan tidak boleh dibuka penuh, Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) perlu ditambah baik. VTL darat perlu diperluaskan untuk motosikal dan kereta persendirian memandangkan kedua-dua kenderaan ini lebih selamat dengan risiko jangkitan yang lebih rendah berbanding dengan bas dan kapal terbang. Dalam pada itu, jumlah tiket VTL darat dan udara perlu ditambah selain membenarkan pembelian tiket bagi kes-kes kecemasan.
Ketiga ialah usaha tambahan, iaitu dengan memperluaskan kemudahan mendapat vaksinasi. Pemberian dos penggalak perlu diperluaskan bagi meningkatkan kadar imuniti. Ia juga sebagai langkah untuk memberi keyakinan kepada semua pihak.
Pembukaan sempadan Johor-Singapura tidak patut dilengah-lengahkan lagi.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!