GST beban untuk rakyat, bukan penyelesaian untuk negara

Saya terkejut apabila mengetahui bahawa Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Perdana Menteri yang sedang menghadapi tuduhan rasuah Dato’ Sri Najib Razak bersungguh-sungguh mahu membawa kembali cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah ditolak oleh rakyat.

Idea tentang cukai ini sudah mula popular dalam kalangan beberapa pemimpin kerajaan serta ahli ekonomi pasaran bebas sejak awal dekad 1990-an. Namun, ia tidak dilaksanakan kerana kerajaan Barisan Nasional pada masa itu sedar cukai itu tidak akan mendapat sambutan majoriti rakyat.

Apabila harga minyak dan komoditi jatuh mulai Oktober 2014 dan terus merosot hingga ke tahun 2016, Najib yang cuba mencari jalan keluar berikutan kemelut ekonomi negara merasakan dirinya pandai dengan mengurangkan perbelanjaan untuk kemudahan rakyat, kononnya untuk menjimatkan wang negara.

𝗚𝗦𝗧 𝘁𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗯𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗲𝗸𝗼𝗻𝗼𝗺𝗶 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮

Apabila ekonomi terus merosot, beliau memperkenalkan cukai GST pada 1 April 2015. Najib yang kemudiannya didedahkan dengan penglibatan dalam skandal 1MDB semakin dibenci rakyat kerana membebankan rakyat dengan GST yang turut menaikkan harga barang dan perkhidmatan. Inilah antara punca utama kekalahan BN dalam pilihan raya umum 2018.

Setelah menjadi kerajaan, Pakatan Harapan menunaikan janji manifestonya dengan memansuhkan GST. Namun, hari ini suara sumbang Najib dan beberapa penyokongnya yang mahu mengembalikan GST mula kedengaran. Hujah-hujah mereka sama sahaja, iaitu GST akan memberi hasil besar kepada negara, menarik pelaburan asing dan mengukuhkan kewangan kerajaan.

Jika hujah-hujah ini benar, mengapa ekonomi Malaysia terus merosot sejak GST dilaksanakan? Tiada sebarang bukti ekonomi berkembang pesat dan rakyat hidup selesa sepanjang 2015 hingga 2018. Malah, tekanan hidup dan kos sara hidup menyebabkan rakyat menolak kerajaan BN pimpinan Najib.

Para pendakyah GST sering mengemukakan alasan bahawa hanya 16.5% rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan. Kata mereka, ini tidak cukup untuk ekonomi negara. Bagi mereka, GST akan memastikan setiap warga negara dan pemastautin dikenakan cukai.

Namun, yang tidak ditanya ialah mengapa tidak ramai rakyat membayar cukai pendapatan?

Yang menyebabkan majoriti tidak membayar cukai pendapatan ialah kerana mereka tidak cukup kaya, malah tidak cukup pendapatan untuk membayar cukai. Inilah hakikat yang enggan diceritakan oleh pendakyah-pendakyah GST.

Cuba kita fikirkan semula. Apabila Najib mengatakan GST mampu mengutip hasil yang besar kepada kerajaan, mengapa pula kerajaannya ketika itu terpaksa memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M?

Jika GST berjaya menyelesaikan masalah kewangan negara, mengapa BR1M tidak dimansuhkan mulai 2016, iaitu setahun selepas pelaksanaan GST? Di mana hasil besar GST untuk kerajaan yang Najib menguar-uarkan itu?

Yang jelas ialah apabila hanya 16.5% rakyat Malaysia mampu membayar cukai pendapatan manakala 60% lagi dianggap miskin atau sekurang-kurangnya berada dalam golongan berpendapatan rendah, ia membuktikan GST bukanlah penyelesaian terbaik untuk rakyat.

GST adalah cukai regresif yang mengenakan kadar cukai yang sama untuk setiap orang tanpa mengira kaya atau miskin, golongan berada atau golongan daif; semuanya kena bayar GST.

GST tidak adil kepada majoriti rakyat Malaysia kerana cukai ini tidak peduli sama ada golongan kaya mempunyai pendapatan yang lebih besar untuk simpanan mereka banyak untuk disimpan berbanding golongan miskin yang berpendapatan kecil serta tidak mampu untuk menabung. Inilah yang dimaksudkan bahawa GST memberi kesan regresif dalam pengagihan pendapatan.

Jangan lupa bagaimana kerajaan BN pimpinan Najib dahulu telah bermain silap mata dengan rakyat. Pada waktu itu, tangan kanannya menghulurkan BR1M kepada 60% rakyat yang berpendapatan rendah tetapi tangan kirinya mengambil balik apa yang diberikannya itu melalui GST. Apatah lagi GST dilaksanakan sewaktu negara mengalami krisis ekonomi yang meruncing sewaktu pentadbiran Najib.

𝗔𝗽𝗮 𝗸𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗿𝗹𝘂 𝗯𝘂𝗮𝘁

Jika GST tidak dikembalikan, apakah yang patut kerajaan lakukan untuk menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku sekarang?

Sudah tentu tidak ada formula ajaib atau skim cepat kaya untuk memulihkan ekonomi negara.

Yang penting, kerajaan perlu menstruktur semula model ekonomi Malaysia supaya sekurang-kurangnya 60% rakyat berpendapatan rendah akan mampu meningkatkan pendapatan keluarga dalam tempoh satu dekad akan datang. Apabila ini berjaya dilaksanakan, barulah majoriti rakyat Malaysia akan mampu membayar cukai pendapatan yang berpatutan.

Untuk menstruktur semula ekonomi, kita perlu mencipta peluang pekerjaan – bukan pekerjaan sembarangan tetapi pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik. Sektor-sektor baru perlu dikembangkan untuk menghasilkan pekerjaan-pekerjaan ini.

Kita juga perlu megurangkan kebergantungan kepada pekerja asing yang tidak berkemahiran, sebaliknya mengutamakan usaha ke arah automasi dan peningkatan teknologi dalam usaha menghasilkan tenaga kerja yang mahir yang boleh dibayar gaji lebih tinggi.

Ia bermaksud kita akan menuju ke arah melahirkan majoriti rakyat dalam kalangan masyarakat kelas pertengahan yang berpendapatan lebih baik yang mampu berbelanja untuk menjana ekonomi negara.

𝗝𝗮𝗱𝗶, 𝗮𝗽𝗮𝗸𝗮𝗵 𝗮𝗹𝘁𝗲𝗿𝗻𝗮𝘁𝗶𝗳 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗚𝗦𝗧?

Cukai progresif adalah cukai yang lebih adil untuk semua. Kadarnya meningkat mengikut pertambahan jumlah boleh-cukai. Maksudnya, lebih banyak pendapatan yang diperoleh seseorang (yang bererti jumlah boleh-cukai lebih tinggi), maka lebih tinggi kadar cukai yang dikenakan.

Sebagai contoh, kita boleh mengenakan cukai yang tinggi kepada 1% hingga 2% golongan yang berpendapatan sangat tinggi. Berbanding golongan pertengahan yang walaupun tinggi pendapatan mereka, terlalu jauh jika dibandingkan dengan sekumpulan kecil pemilik kekayaan negara.

Hari ini masih banyak pelabur asing di Malaysia yang masih menikmati kemudahan bebas cukai walaupun sudah bertahun-tahun beroperasi di Malaysia. Malah, kemudahan yang mereka nikmati memberi kelebihan berbanding industi kecil dan sederhana tempatan. Sepatutnya mereka tidak boleh lagi menikmati kemudahan bebas cukai ini.

Jika kemudahan itu perlu juga diteruskan, mesti ada syarat baru, iaitu semua syarikat pelabur asing ini perlu mengutamakan teknologi baru serta peningkatan produktiviti tanpa perlu bergantung kepada buruh asing. Sebaliknya mereka perlu menghasilkan peluang kerja untuk warga Malaysia dengan gaji yang lebih baik. Jika gagal, tiada lagi kemudahan bebas cukai untuk mereka.

𝗣𝗲𝗿𝗶𝗻𝗴𝗮𝘁𝗮𝗻 𝘂𝗻𝘁𝘂𝗸 𝗣𝗲𝗿𝗱𝗮𝗻𝗮 𝗠𝗲𝗻𝘁𝗲𝗿𝗶

Kepada Perdana Menteri kita sekarang, saya ingin berkongsi satu kisah benar. Sewaktu mantan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengadakan dialog dengan pelabur Korea Selatan di Seoul pada 4 Jun 2008, saya yang turut bersama dengan beliau mendapat tahu ketika itu bahawa kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 40%!

Kami berdua terkejut dan tergamam mendengar berita itu. Harga RON95 naik daropada RM1.92 kepada RM2.70 manakala diesel daripada RM1.58 kepada RM2.58. Kerajaan BN menaikkan harga minyak sebagai langkah “bijak” untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Akibatnya, kerajaan Abdullah yang telah kehilangan lima negeri dan tiada lagi majoriti dua pertiga Parlimen selepas PRU 2008 pada bulan Mac sebelum itu terus merudum popularitinya. Beliau akhir terpaksa meletak jawatan untuk digantikan oleh Najib.

Agar tidak lupa, kita perlu bertanya: Siapa yang menasihatkan Abdullah untuk melakukan apa yang beliau telah lakukan? Penasihat utamanya dalam Kabinet ketika itu ialah Najib Razak selaku Timbalan Perdana Menteri.

Siapa yang untung selepas tumbangnya kerajaan Abdullah akibat keputusan menaikkan harga minyak? Najib Razak.

Siapa yang menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009? Najib Razak.

Hari ini, siapa yang paling lantang menjerit mahu mengembalikan GST? Najib Razak.

Nasihat saya kepada Dato’ Sri Ismail Sabri ialah beliau patut siasat latar belakang orang-orang yang menjual idea kepadanya untuk membawa kembali GST yang telah ditolak oleh rakyat. Apatah lagi, cadangan ini diuar-uarkan apabila PRU akan datang bakal diadakan dalam masa satu tahun ini. Mungkin ada udang di sebalik cadangan mengembalikan GST.

Sekali lagi saya turut ingatkan, GST merupakan cukai yang membebankan golongan B40, malah golongan M40 turut terkesan teruk; tidak menambah hasil kerajaan; dan tidak memberi banyak faedah kepada ekonomi negara. GST bukan penyelesaian kepada masalah ekonomi Malaysia.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi