Bersediakah kerajaan Johor untuk menjadi menyewa rumah lebih mudah dan terjamin sebagai penyelesaian kepada masalah kerumahan?

Dalam soalan tambahan saya kepada EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor di Dewan Negeri Johor pada pagi ini, saya mengemukakan satu persoalan yang penting:

Adakah Kerajaan Negeri Johor bersedia untuk menjadikan menyewa rumah lebih mudah dan terjamin, dan individu atau tidak semestinya wajib membeli rumah, sebagai penyelesaian kepada masalah perumahan?

Apabila ramai ADUN membangkitkan isu perumahan, Speaker Dewan telah mengumpulkan lima soalan utama dan juga memberi peluang kepada saya untuk mengemukakan soalan tambahan dalam Dewan yang mulia ini.

Situasi di hadapan kita sekarang adalah satu keadaan yang bercanggah.

Dari satu sudut, terdapat lebihan bekalan rumah (housing glut) di Johor Bahru.

Dari sudut yang lain pula, ramai golongan B40, malah ada juga kalangan M40 yang memerlukan rumah kerana selama ini pemaju lebih cenderung membina rumah mewah berbanding rumah mampu milik.

Kini kita berhadapan dengan dua cabaran besar yang turut melanda seluruh dunia.

Pertama, kenaikan kadar faedah bank akan melonjak naik.

Ini bermakna pemaju kurang berminat untuk membina rumah, sama ada rumah mewah atau rumah mampu milik.

Rakyat Malaysia, terutamanya golongan B40, malah sesetengahnya kumpulan M40 yang sudah dibebankan dengan hutang isi rumah, akan sukar mendapat pinjaman bank.

Menurut Bank Negara, wang simpanan keluarga bagi 76% isi rumah Malaysia hanya cukup untuk menampung perbelanjaan tidak lebih daripada 3 bulan.

Nisbah hutang isi rumah berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk Malaysia ialah pada kadar 89%, iaitu yang tertinggi di rantau ini berbanding Filipina 9.9%, Indonesia 17.2%, Singapura 69.7% dan Thailand 89.3%.

Dalam Laporan Tahunan 2021 Bank Negara, 65% penghutang mempunyai sama ada pinjaman kereta atau pinjaman peribadi.

Ini akan menyekat kemampuan bakal peminjam untuk membuat pinjaman bank. Sewa beli dan pinjaman peribadi merupakan penyumbang utama bagi keseluruhan hutang isi rumah, dan ia termasuk hutang kad kredit yang merupakan 28% daripada jumlah keseluruhan hutang.

Jika bank terus memberi pinjaman kepada isi rumah yang sudahpun dibebankan dengan hutang, ia mungkin mencetuskan krisis perbankan yang serius.

Kedua, gangguan rantaian bekalan telah menyebabkan kos pembinaan meningkat secara mendadak sejak setahun yang lalu. Kos membina rumah akan terus meningkat dan menjejaskan proses pembinaan bagi tempoh sekurang-kurangnya setahun yang akan datang.

Penubuhan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) pada awal tahun 2022 untuk menyelaras dan menguruskan sektor perumahan adalah dialu-alukan.

Soalan saya ialah, berdasarkan latar belakang yang saya nyatakan tadi, apakah Kerajaan Negeri Johor bersedia untuk melaksanakan satu langkah baharu di luar kebiasaan bagi menyediakan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana?

Bagi saya, tugas PKPJ bukan untuk menjamin setiap individu atau keluarga mempunyai rumah sendiri tetapi ia mesti memastikan setiap keluarga di Johor dapat tinggal di rumah yang sesuai, sama ada yang dibeli atau disewa.

Buat masa ini, menyewa rumah tidak dilihat sebagai pilihan yang menarik dalam kalangan rakyat. Namun, ia boleh menjadi jalan keluar kepada masalah bercanggah dalam sektor perumahan yang saya sebutkan tadi.

Saya juga ingin mencadangkan PKPJ menggubal rang undang-undang yang melindungi hak kedua-dua pemilik dan penyewa supaya proses penyewaan rumah menjadi lebih telus, adil dan mudah.

Penyewaan rumah bukan sahaja dapat memberi pendapatan hasil sewa kepada pemilik tetapi ia juga mampu menghalang kemungkinan berlakunya “jualan terdesak” (fire sale) apabila kadar faedah naik terlalu tinggi sehingga menyebabkan pemilik gagal membayar balik pinjaman bulanan rumah.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, kita memerlukan cara-cara baharu untuk menangani krisis perumahan, iaitu masalah lebihan bekalan rumah dan kekurangan rumah mampu milik untuk keluarga.

Liew Chin Tong

21 Jun 2022

Di Dewan Negeri Johor

Kota Iskandar

Kongsikan artikel ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Artikel Berkaitan