
Pengurangan Kesesakan Lalu Lintas di SMK Seri Perling
- 22 Jun 2022
- Johor

Untuk mengurangkan kesesakan di pintu utama berikutan kesan daripada SOP mencegah Covid-19, pihak SMK Seri Perling telah membuka pintu tepi sekolah bagi memudahkan ibu bapa datang mengambil anak mereka.
Apabila menanti anak-anak mereka, ibu bapa biasanya berhenti di tepi jalan sambil menunggu di dalam kereta. Masalahnya, pintu tepi sekolah ini serta kawasan di mana ibu bapa menunggu anak-anak mereka terletak betul-betul di hadapan rumah penduduk.
Keadaan ini telah menyebabkan kesesakan lalu lintas dan menghalang laluan masuk keluar di hadapan pagar rumah sehingga ada penduduk yang tidak dapat masuk ke rumah sendiri.
Setelah beberapa kali melawat serta berbincang dengan pihak SMK Seri Perling, kami telah mencapai kata sepakat untuk mengatasi masalah. Mengikut persetujuan yang dicapai, pihak sekolah memaklumkan ibu bapa supaya menunggu dalam kereta di sebelah sekolah, dan bukannya di hadapan rumah penduduk.
Selain itu, pejabat saya juga telah menyediakan papan tanda untuk diletakkan di hadapan rumah penduduk sebagai pengingatan.
Di samping itu, saya menyampaikan sedikit sumbangan kepada PIBG sekolah untuk mendapatkan perkhidmatan kawalan trafik. Usaha kawalan trafik ini telah bermula sejak awal bulan ini dan akan berterusan selama sebulan. Kami berharap agar pengguna jalan di kawasan ini akan mematuhi peraturan bagi mengurangkan kesesakan yang turut memberi kelegaan kepada penduduk sekitar.
Semalam, saya kembali ke SMK Seri Perling bersama pembantu saya untuk meninjau keadaan trafik sebaik sahaja tamat sesi sekolah. Pengerusi PIBG, Dato’ Suhailah dan para penduduk memaklumkan saya bahawa kesesakan lalu lintas dan halangan di hadapan pagar rumah sudah berkurangan.
Semoga semua pihak terus bekerjasama dan prihatin dengan keperluan masing-masing. Malah, saya berharap tidak lama lagi, tiada lagi sebarang halangan di hadapan rumah penduduk. Pejabat saya akan terus memantau keadaan di kawasan ini.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 24 Feb 2023·
Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!