Lawatan ke flat PPR Melana Indah

Melawat ke flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 1 di Taman Perling bersama Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub untuk meninjau masalah penyelenggaraan bangunan yang membelenggu penduduk di sana.

PPR Melana Indah Fasa 1 siap pada tahun 2015. Malangnya, tak sampai 10 tahun, banyak kemudahan awam di sana telah rosak dan dalam keadaan yang kurang memuaskan.

Pejabat saya terima aduan daripada para penduduk mengenai masalah bekalan air yang sering terputus tiba-tiba. Pam air utama selalu mengalami kerosakan sehingga perlu dijalankan secara manual. Ada penduduk yang terpaksa menetap di hotel buat sementara waktu kerana ketiadaan bekalan air menyusahkan kehidupan harian mereka.

Bukan itu sahaja, lif di blok-blok PPR ini yang selalu rosak menyukarkan pergerakan golongan warga emas, OKU dan pesakit yang menggunakan kerusi roda.

Wakil penduduk juga maklumkan bahawa pengurusan sisa buangan oleh kontraktor tidak dijalankan secara berkala dan kawasan tong sampah dipenuhi sampah sarap yang bersepah dan berbau.

Semua aduan ini telah kami saksikan semasa turun padang ke PPR Melana Indah. Saya sedih melihat penduduk terpaksa melalui kesusahan seperti ini.

Para penduduk melalui KRT Blok 5,6 & 7 telah menulis surat rasmi kepada EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Dato’ Mohd Jafni bin Md Shukor.

Saya berharap kerajaan negeri Johor akan mengambil tindakan pantas dan mencari jalan penyelesaian jangka panjang untuk masalah penyelenggaraan flat PPR. Masalah sebegini sering berlaku di PPR serata negeri, bukan sahaja di Melana Indah.

Tambahan peruntukan penyelenggaran harus diperuntukkan oleh kerajaan negeri. Kontrak yang diberikan kepada syarikat-syarikat penyelenggaraan perlu dipantau untuk memastikan kualiti kerja kontraktor.

Flat PPR dihuni oleh mereka yang kurang berkemampuan untuk menyewa atau membeli perumahan swasta. Selaku kerajaan yang prihatin dengan rakyat, kekurangan dari segi pengurusan dan penyelenggaraan PPR harus ditangani secara berkesan secepat mungkin.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi