
Liku-liku perjalanan politik saya
- 10 November 2022
- Politik

Saya ingin berkongsi kisah perjalanan politik saya sepanjang dua setengah dekad lalu yang turut dipenuhi dengan perubahan-perubahan besar dalam arena politik Malaysia.
Krisis kewangan Asia pada Julai 1997 dan gerakan Reformasi 1998 yang membawa kepada pemenjaraan Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencetuskan kebangkitan anak muda zaman saya.
Namun, walaupun ia berjaya menghakis 20% sokongan orang Melayu kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum 1999, gerakan Reformasi turut menyebabkan sesuatu yang tidak dijangka, iaitu menambah sokongan pengundi bukan Melayu terhadap parti pemerintah. Ini berlaku apabila BN menggunakan media massa untuk menakutkan pengundi bukan Melayu dengan menyiarkan suasana huru-hara Reformasi di Indonesia.
Kesannya, pada PRU 1999, tokoh-tokoh DAP seperti Sdr Lim Kit Siang dan Sdr Karpal Singh, masing-masing tewas di Bukit Bendera dan Jelutong yang dikatakan kawasan selamat untuk parti di Pulau Pinang.
Darah muda membisikkan kepada hati saya agar jangan membiarkan DAP tenggelam keseorangan akibat kekalahan teruk pada PRU tersebut. Pada Disember 1999 saya memutuskan untuk menyertai DAP dengan niat mahu mengembalikan kekuatan parti.
Namun, yang bangkit adalah BN. Pada PRU 2004, gabungan pemerintah menang 91% kerusi dan 64% undi popular. Pada saat itu, UMNO dan BN kelihatan kukuh dan tidak akan dapat digugat oleh para pencabarnya.
Pad 2005, saya kembali ke tanah air selepas menyambung pengajian di Australia dengan memperolehi ijazah sains politik dan ijazah kepujian dalam bidang pengajian Asia.
Pada tahun yang sama, dengan hasrat untuk menyatupadukan pembangkang, sekumpulan pemimpin pelapis DAP, PKR dan PAS duduk semeja untuk menubuhkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH). Saya ditugaskan untuk mengendalikan sekretariatnya. Anda boleh mendapatkan buku terbaru karya Danny Lim yang bertajuk We Are Marching Now: The Inside Story of BERSIH 1.0 untuk mengetahui dengan serba lengkapnya usaha gigih BERSIH sepanjang tempoh 2005-2007.
Pada 10 November 2007, kira-kira 50,000 rakyat Malaysia berkumpul di Kuala Lumpur untuk menuntut kerajaan memastikan pilihan raya diadakan dengan bebas dan adil. Tunjuk perasaan itu dipimpin oleh Sdr Mohamad Sabu. Sewaktu era kerajaan Pakatan Harapan, pada 2018, Sdr Mat Sabu dilantik menjadi Menteri Pertahanan manakala saya pula timbalannya. Dalam satu pertemuan dengan pimpinan tinggi tentera, saya menceritakan kepada mereka bahawa seawal 2007, dalam gerakan BERSIH, Mat Sabu sudahpun menjadi seperti โPanglimaโ manakala saya pula lebih kurangnya sebagai โKetua Stafโ beliau.
Tahun-tahun 2004-2008 serta pengalaman BERSIH mengajar saya bahawa apabila dilanda kegelapan yang membantutkan perjuangan, kita jangan sekali-kali mengaku kalah, malah kita mesti sentiasa meneruskan langkah ke hadapan. Cahaya tetap ada di hujung terowong, cuma kita tidak tahu bila ia akan muncul. Sama ada esok atau tidak lama lagi, sinaran cahaya pasti menjelma.
Pada PRU 2008, DAP mengarahkan saya untuk bertanding di Bukit Bendera, iaitu kerusi Parlimen yang menyaksikan kekalahan Lim Kit Siang pada 1999. Lawan saya ialah penyandang yang juga merupakan orang yang menewaskan Kit Siang, iaitu Setiausaha Agung Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye. Gerakan telah menjadi teraju utama kerajaan BN yang memerintah Pulau Pinang sejak 1969.
Usia saya ketika itu baru sahaja mencapai 31 tahun, dan pencalonan saya dilihat umpama sembelihan korban sahaja. Maksudnya kekalahan sudah berada dalam tangan saya.
Namun, PRU 2008 mengejutkan banyak pihak. Bukan sahaja saya menang tanpa disangka tetapi juga DAP serta sekutu-sekutu politiknya berjaya menubuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan majoriti dua pertiga.
Buat kali pertama sejak penubuhannya pada 1966, DAP berjaya mencatatkan kemenangan besar di peringkat negeri. Selain menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera, saya juga berkhidmat sebagai penasihat dasar untuk Setiausaha Agung DAP ketika itu Sdr Lim Guan Eng apabila beliau memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Pada 2012, saya mecadangkan idea untuk DAP dan Pakatan Rakyat menggempur Johor. Atas jemputan Jawatankuasa Negeri DAP Johor, saya memulakan usaha itu walaupun masih menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera.
Pada PRU 2013, dengan kehadiran Sdr Kit Siang yang bertanding di Gelang Patah manakala Sdri Teo Nie Ching di Kulai dan saya pula di Kluang, kami telah berjaya mewujudkan pangkalan barisan hadapan di Johor.
Tahun-tahun 2013-2018 bukanlah era yang gemilang buat kami. Johor masih lagi menjadi kubu kuat BN. Keadaan menjadi lebih buruk apabila para pemimpin dan ahli BN berlagak seolah-olah Johor milik mereka buat selama-lamanya, dan ada antara mereka berperangai seperti penjahat jalanan.
Saya pernah dihalau dua kali oleh samseng UMNO daripada bazar Ramadan di kawasan Parlimen saya sendiri di Kluang, kali pertama pada 2014 dan kali kedua 2017 di mana saya bersama pasukan saya diserang dan dipukul. Saya juga pernah dicekik oleh sekumpulan samseng UMNO di pasar Borneo di Pasir Gudang pada 2015, serta dihalau keluar oleh samseng MIC daripada bazar Deepavali di Kluang pada 2013.
Keadaan seperti inilah yang menyebabkan ramai orang takut dengan UMNO dan BN. Malah, pimpinan BN angkuh di puncak kuasa. Namun, pengundi Johor yang sudah tidak tahan lagi dengan gelagat kepimpinan negeri telah menghukum mereka pada PRU 9 Mei 2018.
Setahun sebelum itu, saya adalah antara beberapa orang yang berani meramalkan bahawa UMNO dan BN akan hilang kuasa jika peralihan undi yang sekata berlaku di kerusi-kerusi separa bandar yang mempunyai sekitar 50-70% pengundi Melayu (dan 30-40% pengundi bukan Melayu). Ketika itu, ramai penganalis masih sinis dengan penuh yakin bahawa UMNO dan BN sentiasa mempunyai cara untuk terus memegang kuasa.
Pada 2018, saya mengorak langkah ke kerusi yang sukar untuk dimenangi, iaitu Parlimen Ayer Hitam yang disandang oleh Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong. Sewaktu berkempen pada PRU14, saya memberitahu hadirin ceramah bahawa dengan memenangi Ayer Hitam, Pakatan Harapan akan memperolehi sekurang-kurannya 15 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor. Dengan itu, Pakatan Harapan mampu menubuhkan kerajaan persekutuan.
Apa yang tidak disangka sama sekali ialah Pakatan Harapan menang dengan kejayaan yang lebih besar, iaitu mendapat 18 daripada 26 kerusi tersebut. Buat kali pertama dalam sejarah, Pakatan Harapan berjaya menubuhkan kerajaan pusat, dan yang paling mengejutkan, menubuhkan kerajaan negeri Johor. Namun, di sebalik kejayaan gemilang itu, saya sendiri tewas di Ayer Hitam.
Melalui pelantikan sebagai Senator, saya dilantik menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada Julai 2018 dan berkhidmat sehingga berlakunya rampasan kuasa Sheraron pada Februari 2020.
Dalam pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022, pengundi memilih saya menjadi Ahli Dewan Negeri untuk Perling, dan sebulan selepas itu, dilantik oleh Pakatan Harapan sebagai Ketua Pembangkang Johor.
Saya telah bersama dengan DAP selama 23 tahun. Mengingatkan kembali kisah lama, sudah 15 tahun berlalu apabila saya diminta oleh parti pada November 2007 untuk bersiap sedia menjadi calon kerusi Parlimen di Pulau Pinang.
Liku-liku perjalanan saya dipenuhi dengan pelbagai perubahan besar dalam politik negara. Saya sedar perjalanan ini perlu diteruskan.
Kini PRU15 berada di hadapan kita. Ia merupakan pilihan raya umum yang paling sukar diramalkan keputusannya. Namun, tanda-tanda perubahan semakin jelas. Persoalannya: adakah semua ini akan menghasilkan tsunami pengundi Malaysia pada hari mengundi 19 November ini?
Berdasarkan pengalaman dalam perjalanan politik, saya yakin dengan kemampuan rakyat Malaysia untuk melakukan perubahan. Saya tetap optimis walaupun sentiasa mengambil sikap berhati-hati. Yang penting, kita boleh!
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022ยท
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022ยท
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besarย JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!