
Wahai penghantar makanan, bersatulah
- 9 November 2022
- Politik

Memang benar ada sebilangan kecil penunggang motosikal p-hailing yang menghantar makanan, minuman dan bungkusan tidak begitu peduli dengan lampu isyarat trafik.
Namun, tahukah anda bahawa kebanyakan mereka terpaksa melanggar lampu isyarat untuk mengejar masa penghantaran demi mengelakkan diri daripada dimasukkan dalam kategori “lambat” oleh majikan masing-masing? Jika “lambat”, majikan akan “menghukum” mereka.
Kesesakan lalu lintas di negara kita yang semakin teruk turut membahayakan nyawa penunggang p-hailing. Semakin banyak kes kematian dan kecederaan dilaporkan sejak beberapa bulan lalu.
Saya telah bertemu dengan sekumpulan penunggang p-hailing di Iskandar Puteri, Johor Bahru untuk mendengar masalah mereka. Selain berharap rakyat memahami keperitan hidup mereka, persoalan juga mereka tujukan kepada pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang dikatakan tidak mempedulikan nasib mereka.
Sewaktu pertemuan saya dengan kumpulan penunggang ini, hujan lebat sekali. Ketika mendengar kisah mereka, seorang penunggang meminta diri setelah menerima pesanan untuk menghantar makanan. Walaupun hujan mencurah-curah, dia terpaksa meninggalkan dialog tersebut kerana perlu meneruskan usaha mencari nafkah untuk keluarganya. Sebak saya mendengar kata-katanya.
Daripada kumpulan 10 penunggang yang saya temui itu, sembilan pernah bekerja di Singapura sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19. Gaji mereka yang dibayar dalam matawang dollar Singapura ketika itu tinggi nilainya setelah ditukar kepada ringgit di Malaysia.
Tentunya perbelanjaan keluarga mereka agak tinggi berbanding rakan-rakan mereka yang bekerja di Malaysia. Beberapa pekerja p-hailing itu mempunyai rumah sendiri tetapi kini menghadapi masalah pembayaran berikutan kenaikan kadar faedah bank. Peningkatan kos sara hidup menekan kehidupan mereka.
Mereka kembali ke Malaysia sewaktu pandemik. Ketika sekatan pergerakan, jalan raya yang lengang membolehkan mereka menambah pendapatan apabila ramai orang memerlukan khidmat mereka menghantar makanan.
Apabila keadaan kembali pulih, pendapatan mereka merosot kerana semakin ramai orang menjamu selera di luar rumah. Pada masa yang sama, syarikat-syarikat p-hailing pula yang mempunyai kuasa besar mula menetapkan syarat-syarat ketat untuk membolehkan mereka meraih untung tanpa perlu memberi bayaran setimpal untuk pekerja mereka.
Ini menimbulkan kemarahan penunggang yang sudahpun kecewa dengan harga barangan yang terus meningkat sedangkan gaji mereka masih di takuk lama.
Kebanyakan mereka mendapati sukar untuk bekerja makan gaji kerana gaji yang ditawarkan di Johor Bahru terlalu rendah bagi menanggung keluarga masing-masing. Sesetengah mereka memang sudah ada pekerjaan tetapi masih menunggang menghantar makanan untuk menampung pendapatan keluarga.
Apabila mereka menghubungi rakan-rakan sekerja lama di Singapura, mereka kecewa dengan kerajaan Malaysia apabila mendapat tahu kerajaan Singapura menjaga kebajikan pekerja p-hailing dengan baik.
Kerajaan Malaysia pula lebih suka mengenakan pelbagai peraturan untuk penunggang tetapi enggan mewajibkan majikan menjaga kebajikan pekerja masing-masing. Sepatutnya, kerajaan menjadi orang tengah atau pengadil, dan bukannya berpihak kepada majikan.
Kerana itulah para penunggang p-hailing menuding jari kepada Wee Ka Siong yang menjadi wajah Barisan Nasional yang gagal melindungi hak pekerja.
Para penunggang penghantaran makanan mula sedar tentang keangkuhan Wee apabila mereka bertandang ke pejabatnya pada 17 Julai 2020 untuk menyerahkan satu memorandum berhubung tuntutan mereka. Apa yang berlaku selepas itu? Menteri Pengangkutan diam membisu.
Hanya apabila para penunggang bertindak mengadakan “food delivery boycott” pada 5 Ogos 2022, barulah Wee tergopoh-gapah mahu bertemu dengan wakil-wakil mereka. Mungkin dia sedar pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.
Namun, yang diharapkan tidak muncul, bertambah pula tekanan daripada kerajaan Barisan Nasional. Dalam pertemuan dengan Wee pada 10 Ogos 2022, penunggang diberitahu bahawa mereka akan diwajibkan mengambil lesen yang sama dengan kenderaan komersil pengangkut barang.
Begitu juga cadangan menteri yang mahu mendaftarkan mereka sebagai penunggang p-hailing serta mewajibkan mereka mengambil kursus pendek untuk menjadi penunggang berdaftar.
Sedangkan apa yang mereka mahu terlebih dahulu ialah kerajaan mengenakan peraturan terhadap majikan supaya bersikap adil dengan memberi pembayaran setimpal dan layanan yang lebih berperikemanusiaan. Namun, kerajaan BN masih terikat dengan perangai lama yang mahu memaksa pekerja tunduk kepada kehendak majikan.
Mendengar kisah para penunggang penghantar makanan ini memilukan hati saya, namun ia juga memberi semangat baru. Kerana saya melihat bahawa inilah wajah-wajah rakyat Malaysia yang membanting tulang berusaha gigih mencari nafkah untuk keluarga tersayang.
Seperti orang lain, mereka juga mempunyai harapan dan cita-cita untuk keluarga masing-masing. Mereka hanya mahu kerajaan bersikap prihatin dan memahami keperluan mereka sebagai pekerja yang menyumbang kepada kegiatan ekonomi negara.
Dalam perbincangan kami, ada yang bertanya kepada saya, jika Pakatan Harapan diberi mandat oleh rakyat, apa yang akan dilaksanakan oleh kerajaan baharu ini?
Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, yang penting ialah memulihkan ekonomi Malaysia melalui usaha mewujudkan ekonomi berasaskan kemahiran. Ini akan membolehkan pekerja mahir warga Malaysia dibayar dengan gaji yang lebih tinggi. Tidak semua orang, termasuk warga Johor, yang perlu bekerja di Singapura. Juga tidak semua orang perlu menjadi penunggang p-hailing.
Saya juga memberitahu mereka bahawa kerajaan Pakatan Harapan memang sepatutnya memberi suara kepada pekerja p-hailing dengan menjadi penimbang tara di antara majikan dan pekerja. Perlu ada peraturan tentang pembayaran serta jaminan untuk penunggang di samping memastikan majikan lebih berperikemanusiaan.
Kita tahu jika BN menubuhkan kerajaan selepas PRU15, Perdana Menteri mereka ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi manakala Wee akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Pengangkutan. Para penunggang p-hailing sudah kenal siapa Wee Ka Siong.
Inilah masanya untuk semua pekerja penghantar makanan dan barangan bertekad membulatkan hati untuk membantu Pakatan Harapan menewaskan Wee Ka Siong di kawasannya di Parlimen Ayer Hitam.
Siapa sahaja daripada kerajaan Pakatan Harapan yang bakal dilantik menjadi Menteri Pengangkutan sudah pasti jauh lebih baik, prihatin dan berperikemanusiaan berbanding Wee yang juga Presiden MCA.
Saya berharap agar rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk kembali mentadbir, dan apabila menjadi kerajaan, ia perlu menunaikan janji serta memastikan rakyat, khususnya golongan marhaen, mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Kita mampu mewujudkan ekonomi yang lebih berperikemanusian melalui kerajaan Pakatan Harapan yang prihatin rakyat. Kita Boleh!
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!